Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Petisyen PRU-13 dipersoal

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

KUALA LUMPUR 10 Julai - Tindakan pembangkang mengemukakan petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, menimbulkan persoalan kerana tidak langsung menyelitkan alasan kewujudan pengundi Bangladesh seperti didakwa mereka sebelum ini.

Persoalan itu dibangkitkan oleh bekas pembantu peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay yang turut mempersoalkan ke mana 'hilangnya' alasan bekalan elektrik terputus semasa pengiraan undi sehinggakan pembangkang melancarkan perhimpunan haram bulan lalu.

"Jika benar berlaku bekalan elektrik terputus dan warga Bangladesh menjadi pengundi, persoalannya, mengapa tiada satu pun petisyen yang dikemukakan pembangkang menyebut perkara-perkara tersebut?

"Jangan beritahu saya dalam kalangan 40,000 warga Bangladesh yang didakwa pembangkang menjadi pengundi, mereka tidak mampu menangkap seorang pun," katanya seperti dipetik dalam surat terbaharunya yang disiarkan menerusi sebuah portal berita hari ini.

Yuktes sebelum ini menjadi perhatian apabila mendedahkan beberapa 'cerita dalaman' berhubung kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan menerusi dua pucuk surat terbuka yang boleh diakses menerusi beberapa laman blog.

Yuktes sewaktu bersama pasukan peguam bela Anwar, merupakan pembantu kepada peguam, Sankara Nair.

Beliau memberitahu, atas persoalan terbabit, pengalaman sepanjang bersama pembangkang mengajarnya satu perkara iaitu segala apa yang mereka lakukan bukanlah untuk kepentingan rakyat.

Tetapi jelasnya, perkara itu hanyalah untuk merealisasikan impian menawan Putrajaya.

''Dua tahun lalu, rakyat berkumpul serta berhimpun (perhimpunan haram Bersih). Malangnya, tiada siapa yang tahu bahawa ia merupakan satu helah dan idea pembangkang untuk menanam kebencian serta kemarahan.

''Perhimpunan ini terkenal dengan kekejaman polis. Walau bagaimanapun, berapa ramai tahu apa yang sebenarnya berlaku,'' katanya.

Petisyen Pas bagi kerusi DUN Selising ditolak

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

KOTA BHARU 10 Julai - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen yang difailkan oleh Pas untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim turut menetapkan pempetisyen iaitu Pengarah Pilihan Raya Pas DUN Selising, Semsudin Muhammad membayar kos sebanyak RM30,000.

Hakim Zamani ketika membaca penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan untuk menolak petisyen itu kerana tidak mematuhi kaedah-kaedah pilihan raya.

"Setelah meneliti kesemua hujah, saya membuat keputusan untuk menolak petisyen ini kerana ia tidak mematuhi kaedah 15 iaitu cara penyampaian petisyen ini kepada responden," kata beliau.

Keputusan mahkamah itu sekali gus mengekalkan kerusi DUN tersebut di tangan BN.

BN diwakili peguam-peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Abu Bakar As-Sidek Datuk Mohd. Sidek, Mohd. Ilias Mohd. Noor, Nor Azli Ahmed dan Raihanah Ashriqin Ariffin manakala Pas diwakili Hisham Fauzi dan Mohamed Hanipa Maidin.

Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md. Arshad; Kalmizah Salleh dan Najib Zakaria mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pegawai pilihan raya.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Selising dimenangi calon BN, Zulkifle Ali yang mengalahkan calon Pas, Saipul Bahrin Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Sementara itu, mahkamah menolak bantahan awal Pas terhadap petisyen yang difailkan oleh BN bagi kerusi Parlimen Bachok dan kerusi DUN Jelawat serta Gaal.

Hakim Zamani turut memutuskan responden pertama daripada Pas; responden kedua, pegawai pilihan raya dan SPR sebagai responden ketiga membayar kos mahkamah RM30,000 untuk setiap kerusi tersebut.

Beliau menetapkan 12 sehingga 15 Ogos ini dan dari 18 hingga 22 Ogos ini perbicaraan bagi kerusi Parlimen Bachok dan DUN Jelawat.

"Perbicaraan untuk kedua-dua kerusi ini akan berjalan serentak manakala bagi DUN Gaal yang terletak dalam Parlimen Pasir Puteh ditetapkan pada 1 sehingga 5 September ini," katanya.

Calon BN bagi kawasan Parlimen Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin tewas kepada calon Pas Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi manakala bagi kerusi DUN Jelawat, calon BN, Datuk Dr. Ilias Husain kalah kepada calon Pas, Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi.

Di DUN Gaal, calon BN, Redzuan Stapha kalah kepada calon Pas, Tuan Mazlan Tuan Mat dengan majoriti 302 undi.

Sementara itu, Mohd. Hafarizam yang ditemui pemberita selepas itu, bersyukur dengan penolakan petisyen DUN Selising atas faktor tidak memenuhi peruntukan undang-undang.

Katanya, keputusan itu adalah wajar kerana tidak ada asas untuk mahkamah meneruskan perbicaraan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved