Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


40 kedai makan diarah tutup

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

KEADAAN lengang premis makanan yang menjalani pemeriksaan kebersihan di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

KOTA TINGGI 9 Julai - Sebanyak 40 daripada 674 premis makanan di sekitar bandar ini diarah tutup setelah didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

Pengarah Perubatan Kesihatan Awam Daerah Kota Tinggi, Dr. Nor Hamimah Abdullah berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Makanan 1983 bagi memastikan pelanggan di premis berkenaan tidak terdedah kepada risiko keracunan makanan.

"Kesemua 40 gerai dan restoran tersebut diarah menghentikan operasi serta-merta bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

"Arahan ditutup berkuat kuasa selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Bagaimanapun jika premis-premis ini berjaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengikut piawaian ditetapkan jabatan, premis itu boleh dibuka lebih awal dari tempoh itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sekitar bandar ini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDKT, Hasrin Kamal Hashim.

Dr. Nor Hamimah berkata, operasi yang dilakukan bertujuan memberi kesedaran kepada pengendali kedai makanan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam operasi harian mereka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati sesetengah pengusaha makanan mengabaikan kebersihan diri selain tidak mendapatkan suntikan typhim.

"Beberapa premis juga didapati gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan dan terdapat kehadiran tikus serta lipas berkeliaran dan ini amat berbahaya kepada pelanggan," katanya.

Kampung Parit Haji Ali juara Desa Cemerlang

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

BATU PAHAT 9 Julai - Kampung Parit Haji Ali, Semarang di sini diumumkan sebagai johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri apabila menewaskan 11 kampung lain dalam pertandingan itu.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan Batu Pahat sebagai daerah yang memiliki kampung tercantik dan cemerlang bagi mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan sejak tiga tahun lalu.

Dengan pengumuman itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Haji Ali layak menerima wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil.

Naib johan iaitu Kampung Parit Mastar, Benut, Pontian memperoleh RM6,000 dan Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya mendapat RM4,000 sebagai pemenang tempat ketiga.

Pengerusi JKKK Kampung Parit Haji Ali, Jemiran Muharam berkata, kemenangan tersebut merupakan kejayaan bagi setiap penduduk kampung yang sepakat mengindahkan kampung mereka sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, jika tahun lalu kampung tersebut hanya muncul naib johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat daerah, namun hasil usaha penduduk yang tidak pernah mengenal penat lelah, mereka berjaya menjulang kejayaan lebih besar kali ini.

"Kemenangan ini adalah hasil usaha semua penduduk, bermula dengan mengindahkan kampung sehinggalah kerjasama dalam menjaga fasiliti yang ada. Dengan usaha tanpa henti ini, akhirnya kami mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada tahun ini.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak lain yang menyokong seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan," katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, pertandingan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu pada dasarnya ingin memupuk perhubungan dan keakraban dalam kalangan penduduk kampung.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved