Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Penjenayah larikan MPV polis

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh ASLIZA MUSA dan OTHMAN YAHAYA
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 10 Julai - Seorang lelaki yang pada mulanya ditangkap oleh penduduk Kampung Pak Dollah, Kamunting di sini pagi ini kerana disyaki mencuri, menimbulkan kelam-kabut apabila dia nekad merampas kenderaan peronda polis (MPV) daripada dua anggota yang hendak membawanya ke balai polis berdekatan.

Lebih membimbangkan pihak polis, di dalam MPV itu ada selaras senjata api yang mungkin boleh disalahguna oleh lelaki berkenaan yang mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes kecederaan, kecurian dan dadah.

Polis menubuhkan pasukan khas untuk memburu suspek, Muhamad Hafiz Saidin, 32, yang berasal dari Kampung Tampang, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dengan mengadakan sekatan jalan raya dan bantuan Pasukan Gerakan Udara PDRM.

Antara kawasan operasi ialah pinggir hutan sempadan antara Perak dan Kedah dengan kali terakhir suspek dilihat melepasi Plaza Tol Jawi pada pukul 10 pagi.

Muhamad Hafiz yang disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian ditangkap orang ramai semasa sedang tidur di bawah sebuah lori buruk di kampung tersebut sebelum diserahkan kepada polis pada pukul 7.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Md. Diah berkata, setelah polis membuat pemeriksaan, suspek terpaksa di bawa ke Balai Polis Kamunting kerana tidak memiliki kad pengenalan.

"Namun ketika kedua-dua anggota itu hendak membawa suspek ke balai polis, suspek tiba-tiba mencapai stereng MPV sebelum menolak keluar anggota polis. Suspek kemudian melarikan MPV berwarna perak dan bernombor pendaftaran WLR 6857 itu dipercayai ke arah utara.

"Kita percaya kejadian ini berlaku atas kelemahan anggota sehingga menyebabkan suspek berjaya meloloskan diri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk di beberapa buah kampung sekitar Ara Kuda, Kampung Padang Cempedak dan beberapa kampung bersempadan dengan Lunas di sini cemas selepas melihat kehadiran anggota polis lengkap bersenjata dan helikopter yang terbang rendah pagi ini.

Mereka yang keluar untuk melihat kejadian itu kemudian kembali ke rumah masing-masing selepas dimaklumkan penjenayah yang diburu mempunyai senjata api.

Dalam pada itu, MPV tersebut ditemui ditinggalkan di Taman Sentosa, Bukit Minyak dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang pukul 9.30 malam ini.

Sepasukan anggota forensik masih membuat pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut.

Empat warga Indonesia maut

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh ZAAIN ZIN
pengarang@utusan.com.my

Keadaan MPV jenis Toyota Innova dan lori terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei, Sri Aman, Sarawak, semalam. - Gambar ihsan Sin Chew

SRI AMAN 10 Julai - Empat warga Indonesia maut dalam keadaan ngeri setelah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan 10 tan sebelum MPV itu meletup di Kilometer 56, Jalan Sri Aman-Sarikei dekat sini pagi ini.

Dalam nahas yang berlaku pukul 10.25 pagi itu, tiga daripada mereka termasuk seorang wanita hamil rentung akibat terperangkap dalam MPV jenis Toyota Innova yang terbakar. Kesemuanya sehingga kini masih gagal dikenal pasti identiti.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang juga pemandu MPV berkenaan, Tinus Salleh, 45, mati di tempat kejadian setelah kepalanya pecah akibat tercampak keluar beberapa meter daripada kenderaan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Mohamad memberitahu, sehingga kini, pihaknya mengalami kesukaran mengenal pasti jantina dua lagi mangsa kerana mayat mereka sudah rentung.

"Siasatan awal mendapati Toyota Innova dipandu Tinus yang menghala ke Betong hilang kawalan lalu terbabas sebelum bertembung dengan lori tanpa muatan yang datang dari arah bertentangan.

"Rempuhan kuat itu mengakibatkan MPV berkenaan terperosok di bawah lori sebelum meletup," katanya.

Menurut Mat Jusoh, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

"Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat manakala pemandu lori serta dua orang kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved