Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kes denggi Johor kritikal

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

SEBAHAGIAN orang ramai memungut sampah dalam Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN Baazlan Ibrahim

JOHOR BAHRU 7 Julai - Orang ramai diingatkan agar menjaga kebersihan di kawasan perumahan dan premis masing-masing berikutan kes denggi di negeri ini mencapai tahap kritikal dengan peningkatan hampir 100 peratus tahun ini berbanding statistik pada tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Khairi Yakub berkata, sehingga kini terdapat 1,707 kes denggi berbanding hanya 846 pada tahun lalu yang memperlihatkan peningkatan sebanyak 96 peratus sekali gus meletakkan Johor di tempat kedua kes denggi paling tinggi.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kematian direkodkan dengan kesemua kes adalah di daerah Johor Bahru dan melibatkan warga emas yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, sakit buah pinggang dan sebagainya.

"Sepanjang tahun ini juga sebanyak 277,463 rumah diperiksa dengan 5,381 didapati membiak nyamuk aedes manakala sebanyak 278 notis telah dikeluarkan sebagai amaran. Bilangan kompaun yang dikeluarkan setakat ini adalah sebanyak 1,890 melibatkan nilai RM945,000.

"Johor Bahru menyumbang 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan manakala Kulaijaya, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Pontian turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu," katanya ketika berucap sempena majlis Pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tambah Mohd. Khairi, jumlah lokaliti wabak tahun ini juga meningkat kepada 194 buah, meningkat dua kali ganda atau dua ratus peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu dengan Johor Bahru mencatatkan jumlah sebanyak 160, Kluang (10) dan Kulaijaya (sembilan).

"Apa yang kita lihat daripada pemeriksaan dan tinjauan anggota vektor di seluruh negeri, kita masih belum dapat mengatasi masalah pembiakan nyamuk aedes. Malah, kita masih menjumpai banyak tempat pembiakan di lokaliti wabak mahupun di kawasan berlakunya kes terpencil.

"Denggi masih merupakan masalah kesihatan awam yang utama di negara ini, malah Jabatan Kesihatan negeri telah mengesan trend kenaikan kes denggi awal tahun ini dan mengambil pelbagai inisiatif bagi mengawal penularannya," katanya.

Cabaran Golf UMLand-IRDA temukan rakan strategik Iskandar Malaysia

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Musa Hitam dan Ismail Ibrahim (tengah) bersama sebahagian peserta Cabaran Golf UMLand-IRDA 2013 di Le Grandeur Palm Resort, Senai, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 7 Julai - Cabaran Golf UMLand-IRDA 2013 yang berlangsung baru-baru ini bukan setakat menemukan rakan niaga dan strategik dalam pertandingan dijenamakan semula ini, malah menjadi platform kepada syarikat itu meneruskan usaha sebagai pemaju terkemuka di Iskandar Malaysia.

Pengurus Besar Seri Alam Properties (SAP) Sdn. Bhd, Frankie Tan Kiat How berkata, pertandingan kali ini melibatkan syarikat induk UMLand dan penganjur bersama sebelum ini, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berbanding SAP-IRDA Golf Challenge pada peringkat negeri sejak kali pertama diadakan pada 2010.

"Iskandar Malaysia berkembang lebih pesat dan terdapat keterujaan lebih besar berbanding sebelum ini. UMLand menyedari perkara ini melalui komitmen membabitkan tujuh projek mega seperti Seri Alam, Seri Austin, Pulai Jaya, Cahaya Baru, Suasana Iskandar Malaysia, Medini Lake Side dan Somerset Puteri Harbour dengan nilai pembangunan kasar RM12 bilion.

"Penjenamaan semula pertandingan ini kepada Cabaran Golf UMLand IRDA adalah satu testimoni kepada usaha Pengerusi kami, Tun Musa Hitam dan Pengarah Eksekutif, Datuk Ng Eng Tee untuk menjadikan UMLand pemaju terkemuka Iskandar Malaysia," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam UMLand-IRDA di Le Grandeur Palm Resort, Senai dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim; Pengarah Eksekutif SAP, Freddie Lee dan Pengurus Besar Dynasty View Sdn. Bhd., Wong Kuen Kong.

Majlis turut menyaksikan sumbangan SAP dan UMLand kepada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Majidi Bahru dengan masing-masing menerima RM5,000.

Pertandingan golf yang berjalan lancar dalam cuaca baik itu menyaksikan penyertaan 88 peserta, terdiri daripada pasukan pengurusan UMLand dan IRDA, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Badan Kawal Selia Air Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Johor, Telekom Malaysia dan satu pasukan dari China.

Menurut Kiat How, transformasi pantas di seluruh Iskandar Malaysia memerlukan usaha berterusan semua pihak sementara sumbangan kepada Mayang Pasir Gudang serta PIBG SK Majidi Bahru pula menandakan syarikat tersebut tidak lupa untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved