Isnin, 15 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor sedia import ayam

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamad (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena Ramadan di Felcra Bukit Kepong, Pagoh, kelmarin.

PAGOH 14 Julai - Kerajaan negeri sedia mengimport ayam jika harganya terus meningkat di negeri ini melebihi paras ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, keputusan itu sebagai salah satu langkah untuk tidak membebankan pengguna jika harga ayam terus meningkat.

"Kita membenarkan import ayam untuk memenuhi keperluan pada musim perayaan ini jika para peniaga terus menaikkan harga melebihi harga siling," katanya mengulas langkah kerajaan negeri jika harga ayam terus meningkat di Johor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang kepada 124 penerima sempena Ramadan di Felcra Bukit Kepong, dekat sini semalam.

Harga ayam daging di negeri ini melambung sehingga RM8.50 sekilogram (kg) sejak dua minggu lalu walaupun kerajaan menetapkannya pada kadar RM6.80 sekg.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, selain itu, pihaknya juga ada menemui Pengerusi Persatuan Ternakan Unggas Johor, Tan Tuan Cheng kelmarin bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata, persatuan berkenaan memberikan jaminan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani kenaikan harga ayam sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Dalam pertemuan itu, pihaknya diberitahu penternak menghadapi masalah tumbesaran ternakan masing-masing berpunca daripada mutu makanan, katanya.

Kebiasaannya mereka boleh menjual hasil ternakan apabila mencapai berat tertentu dalam tempoh 45 hari, tetapi kali ini memerlukan tempoh lebih lama untuk sesuai dijual.

"Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian pada musim ini. Namun, mereka tidak menaikkan harga jualan ladang," katanya.

Masyarakat diingat jaga sensitiviti kaum, agama

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

TEE Siew Kiong (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan moreh kepada salah seorang wakil bagi masjid dan surau kawasan DUN Pulai Sebatang di Surau Parit Baru, Ayer Baloi, Pontian, malam kelmarin.

PONTIAN 14 Julai - Masyarakat pelbagai kaum di negara ini diingatkan supaya sentiasa menjaga sensitiviti dan pegangan kaum lain bagi mengekalkan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, tindakan sesetengah pihak yang cuba menimbulkan suasana hubungan tidak baik antara kaum amat dikesali kerana boleh mencetuskan kemarahan dan menyinggung perasaan orang lain.

"Semua pihak sewajarnya dapat memahami sensitiviti sesuatu agama supaya tidak timbul perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat disebabkan perbuatan yang tidak seharusnya dilakukan," katanya selepas majlis penyampaian keperluan bagi berbuka puasa di Surau Parit Baru, Ayer Baloi, di sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 26 masjid dan 36 surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang menerima sumbangan seperti susu, gula, biskut, buah kurma, kopi dan teh.

Yang turut hadir Penghulu Mukim Ayer Baloi, Zaini Suhaimi dan Penghulu Mukim Api-Api, Mohd. Razali Dahlan.

Siew Kiong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri berkata demikian sebagai mengulas tindakan pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar hidangan yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Dalam laman Facebook pasangan itu, mereka mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi).

Siew Kiong berharap isu itu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mempersendakan agama lain demi menjaga keharmonian antara kaum di negara ini.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, tradisi penyampaian sumbangan bagi keperluan masjid dan surau telah memasuki tahun ke-10 sejak menjadi ADUN pada 1994.

Menurutnya, sumbangan itu merupakan tanda ingatan kepada jawatankuasa masjid dan surau yang turut memainkan peranan penting dalam institusi pembangunan di DUN Pulai Sebatang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved