Isnin, 10 Jun 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perubahan sokongan parti politik

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

PROFESOR DR. AHMAD ATORY HUSSAIN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

FAKTOR PROGRAM PARTI

Kajian yang dilakukan oleh Coleman , J.J (1996) mendapati organisasi dan program parti politik yang kuat dapat memberi sumbangan kepada rakyat seterusnya menarik sokongan rakyat kepada parti. Kajian itu juga menunjukkan sokongan pengundi boleh berubah jika program parti tidak menarik dan dengan itu tidak dapat dijadikan ukuran dan justifikasi apabila parti itu diberi peluang memerintah.

Huckshom, R.J (1986) menyokong kajian di atas di mana kekuatan organisasi parti di peringkat negeri dapat melambangkan kekuatan parti peringkat nasional dan seterusnya kekuatan kerajaan apabila dibentuk selepas memenangi pilihan raya. Justeru, selagi UMNO dapat mempamerkan program dan organisasi parti yang baik dan menarik, maka rakyat akan terus memberi sokongan.

Tetapi apa yang berlaku, pelbagai program yang diwujudkan oleh kerajaan BN seperti subsidi kepada golongan miskin, bantuan prasarana sekolah, program pemimpin turun padang serta program mengadakan konsert rakyat yang dihadiri beribu-ribu orang dan sebagainya kurang memberi kesan semasa PRU-13. Pengundi tidak melihat faktor itu!

FAKTOR PERTUMBUHAN EKONOMI

Kemampuan kerajaan mengendalikan ekonomi negara dengan baik adalah faktor kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya lalu. Sebelum mengisytiharkan pilihan raya, faktor ekonomi yang stabil sering diberi pertimbangan. Kajian Monroe, K dan Erickson, L (1986) melihat kepentingan ekonomi dalam meraih sokongan terhadap parti politik.

Kebanyakan para ilmuwan dan ahli politik percaya variabel ekonomi ini memberi kesan kepada sokongan terhadap parti politik. Bagaimanapun variabel (pemboleh ubah sesuatu faktor) ekonomi tidaklah mutlak, kerana terdapat kes di mana walaupun ekonomi diberi perhatian dan berjaya membantu rakyat, terdapat parti politik yang kalah kerana faktor-faktor lain pula. Ini terbukti pada pilihan raya kecil di Anak Bukit (2002), Kedah atau di Kelantan dan Terengganu pada 1999.

Namun demikian, sebagai parti politik seperti UMNO, ia perlu terus memberikan perhatian kepada faktor ekonomi kerana kebanyakannya adalah menyokong variabel ini untuk mendapat sokongan rakyat. Pun begitu, seperti disebutkan Najib, faktor ini belum boleh menjamin BN akan kekal memerintah!

FAKTOR DALAM PARTI (BERKRISIS ATAU TANPA KRISIS)

Kajian John Funston (2000) mengesahkan bahawa jika berlaku krisis besar dalam sesebuah parti politik, maka survival parti itu akan terancam. Ini dibuktikan dalam kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu, atau pun pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO pada 1987 dan banyak lagi contoh yang membuktikan bahawa krisis dalam parti, jika tidak diselesaikan akan meruntuhkan sebuah parti walau sekuat mana pun, parti itu.

Ternyata UMNO menepati faktor ini di mana terdapat ketua-ketua bahagian yang bersikap degil dan ego yang tidak bersetuju dengan keputusan parti itu dalam menentukan calon, dan ini merupakan masalah politik dalam menghadapi PRU-12 dan 13 lalu.

Faktor demokrasi dan kepimpinan yang dijalankan oleh Hussain Mohamad (1992) menekankan demokrasi dalam UMNO sedikit sebanyak telah menjadi penentu kepada kekuatan UMNO. Pimpinan UMNO menggunakan konsep demokrasi iaitu bermesyuarah, selain demokrasi ala-Malaysia yang diamalkan.

Sejauh manakah gaya demokrasi dan kepimpinan yang dibawa UMNO ini boleh mengekalkan survival parti, bergantung kepada penerimaan ahli-ahli UMNO yang terdiri daripada generasi baru nanti. Apa pun, konsep dan prinsip demokrasi itu adalah perlu konsisten diamalkan, walaupun berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO.

Faktor Imej dan Ideologi Parti yang dilakukan oleh Syed Arabi (1986) Von Der Mehden F.R (1987), jelas membuktikan bahawa imej dan ideologi parti sangat penting dalam menentukan survival parti politik. Walau pun pilihan parti berasaskan kepada beberapa variabel, pengundi juga berfikir mengenai parti politik atau calon yang dianggap berupaya membela nasib mereka.

Oleh itu imej dan ideologi yang dipancarkan oleh parti dan pemimpin-pemimpin parti berkenaan serta isu yang diketengahkan adalah penting kepada pengundi tersebut dan seterusnya boleh menentukan survival parti politik itu. Selain itu bukan sahaja imej parti perlu kelihatan menarik, tetapi sahsiah pemimpin juga perlu kelihatan menarik dan berketerampilan.

Pendapat yang mengatakan jika letakkan tunggul pun UMNO/BN akan menang sudah tidak boleh dipakai lagi. Bagaimanapun dalam PRU lepas, terdapat kes di mana calon yang diletakkan di suatu kawasan pilihan raya tidak disokong oleh pengundi walaupun disebabkan faktor imej dan ideologi parti yang menarik.

Faktor perkauman dan faktor ICT (Penggunaan Siber atau Internet dalam kempen tidak dibicarakan secara khusus oleh sarjana sains politik). Kalau ada pun ia dimasukkan ke dalam kategori 'faktor ideologi'. Tetapi ia tidak menepati maksud 'perkauman'. Mungkin ia amat menepati dengan keadaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Kenyataannya ialah, faktor perkauman telah menyebabkan sebahagian pengundi Cina menyokong DAP yang dikenali sebagai parti orang Cina di Malaysia. Bukti menunjukkan faktor ini mengatasi (override) apa juga penentu/faktor seperti ekonomi, pembangunan, bantuan subsidi dan sebagainya.

Dalam PRU-12 dan PRU-13 lalu pengundi Cina mengundi DAP dan sangat kurang memberi sokongan kepada parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Kesimpulannya, kemenangan pembangkang PR khususnya DAP lebih kepada faktor 'perkauman'. Sementara itu, penggunaan siber atau Internet dalam kempen juga merupakan satu lagi penentu kejayaan sesebuah parti politik selepas era 1990-an.

Penggunaan ini jika diperkasa dan digunakan dengan sepenuhnya boleh mempengaruhi pengundi untuk mendapatkan sokongan mereka. Sebab itu dalam kedua-dua PRU yang lalu, dikatakan parti pembangkang menggunakan ICT ini secara berlebihan dan mereka menggunakan sentimen kaum dan banyak pembohongan di dalam blog mereka sehingga pengundi Cina terpengaruh dengan dakyah pembangkang dengan hanya mengakses Internet.

Pengundi-pengundi Melayu terutama golongan muda di bandar-bandar juga sebahagiannya terpengaruh dengan dakyah pembangkang ini. Sebetulnya semua faktor itu masih penting cuma persoalannya apakah ada penentu-penentu lain atau strategi baharu selain yang disebutkan para sarjana untuk dapat mengekalkan sesebuah parti politik itu kekal menjadi relevan untuk masa kini dan akan datang. Ini yang penulis rasa Najib meminta ahli-ahli BN memikirkannya dengan serius!

Kita terus dihina sebab penguatkuasaan undang-undang kurang berkesan

Posted: 10 Jun 2013 11:01 AM PDT

Pahit-Pahit Kopi

BAGAIKAN putaran roda terhadap penghinaan ke atas orang Melayu yang juga beragama Islam. Entah mengapa lepas satu demi satu isu penghinaan ke atas bangsa Melayu. Belum lagi selesai isu penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, timbul kembali isu lagu Negaraku dihina.

Percayalah, selepas ini berlegar semula mengenai penghinaan ke atas bendera Jalur Gemilang. Selepas itu putaran kembali kepada penghinaan ke atas kalimah Allah, Nabi Muhammad SAW, agama Islam dihina, dan al-Quran.

Kita jangan berasa pelik apabila mendengar kembali kedudukan orang Melayu digugat, Perlembagaan diperkotak-katikkan, undang-undang tidak dihormati, apatah lagi kritikan dan penghinaan terhadap pasukan Polis Di-Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang majoriti anggotanya ialah orang Melayu dan Islam.

Lazimnya, setiap kali berlaku penghinaan maka ia diikuti berbagai-bagai bantahan. Kita juga akan mendengar pelbagai amaran diberi oleh pihak berkuasa. Bermacam-macam bentuk kemarahan ditunjukkan oleh orang Melayu melalui pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Selepas itu apa tindakannya? Tidak ada?

Sebab itu, banyak orang berkata, buatlah banyak mana perhimpunan dan demonstrasi besar-besaran, namun sedikit pun tindakan itu tidak akan menggerunkan penghina-penghina yang mengaku warga Malaysia itu.

Saya yakin mereka akan terus menghina Institusi Raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu.

Sebab utama perkara ini terus berlaku, kita pun sudah tahu. Boleh dikatakan tiada tindakan dan hukuman tegas pernah dikenakan ke atas pelaku kesalahan termasuk menghina perkara yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Dalam sesuatu isu penghinaan, kita boleh baca beratus-ratus laporan polis dibuat di seluruh negara. Tapi apa yang berlaku kesudahannya? Adakah penghina ditangkap dan didakwa di mahkamah? Atau kita ada mendengar hukuman berat telah dijatuhkan kepada penghina terbabit? Mungkin ada, tapi kadang-kadang.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pihak berkuasa yang berkenaan kena buktikan mereka peka dengan suara dan harapan orang Melayu!

Ambillah tindakan berani dan drastik dengan menangkap individu yang terlibat, jangan nanti orang Melayu sendiri jatuhkan hukuman akibat hilang sabar. Sampai bila orang Melayu dan umat Islam diminta terus bersabar.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, penghina-penghina orang Melayu, institusi raja dan agama Islam dikatakan sudah berjaya dikesan tetapi mana batang hidung mereka. Jika mereka disiasat, tunjukkan kepada umum supaya wajah mereka dikenali oleh orang Melayu. Melalui cara ini, mereka tidak akan berani untuk tunjuk besar kepala selepas ini.

Orang Melayu sudah bosan dan jemu dengan kenyataan amaran demi amaran yang diberi. Kita tak mahu lagi bantahan demi bantahan dalam demonstrasi sekadar menuntut penghina menarik balik kata-kata dan memohon maaf sahaja.

Kini zaman amaran dan bantahan sudah berlalu kerana tidak menunjukkan kesan diharapkan. Inilah masa untuk mengajar penghina berkenaan berasa bersalah dan insaf? Jika tidak suka undang-undang Malaysia, mereka boleh cari negara lain.

Sedih juga bila mengenang semasa wujud Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun tidak ada tindakan tegas terhadap penghina. Penggunaan undang-undang di bawah Akta Hasutan pula jarang-jarang sekali digunakan.

Yang ada hanya kata-kata gertak. Siapa nak takut kalau berpuluh-puluh kali kata-kata gertak dikeluarkan tapi tindakan tegas tidak juga dilaksanakan.

Dasar pihak berkuasa kita mungkin atas arahan penguasa politik atasan - lazimnya mengambil langkah berlembut dengan harapan penghina akan insaf. Terbukti sudah, dasar sebegini tidak berkesan malah menyebabkan keadaan semakin teruk jadinya.

Untuk mengajar dan mendidik warga Malaysia sekarang, mungkin tindakan undang-undang tegas perlu dikuatkuasakan.

Percayalah selagi tidak ada undang-undang dan hukuman tegas dikenakan kepada penghina, maka mungkin bentuk penghinaan yang lebih dahsyat akan berlaku pada masa depan.

Setakat ini, penulis blog, facebook, twitter yang hina orang Melayu dan agama Islam hanya menyatakan mohon maaf. Cukupkah setakat itu sahaja?

Pihak berkuasa Malaysia patut contohi negara-negara Islam lain. Misalnya dalam satu kes di Kuwait pada 8 Mac lalu, mahkamah di negara itu menjatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan ke atas seorang aktivis selepas didapati bersalah menghina Amir Kuwait selain menyeru perhimpunan antikerajaan dan menyebarkan berita palsu menerusi akaun twitternya.

Di Mesir pada 2 Jun lalu pula, sebuah mahkamah di Kaherah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap seorang lelaki Kristian atas kesalahan menghina al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam.

Benarkah tahap penguatkuasaan undang-undang di Malaysia kurang berkesan kerana kita mahu menjaga hati kaum dan penganut agama lain? Baik sangatkah mereka kepada umat Islam?

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved