Isnin, 10 Jun 2013

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Evolusi media digital

Posted: 10 Jun 2013 12:54 AM PDT

Abdul Aziz Ishak (dua dari kiri) bersama Mohd. Salleh Ahmad Tabrani (kiri), Jaffar Derus Ahmad (tiga dari kiri) dan Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Othman Mohamad tertarik melihat video yang dipaparkan pada majlis Pelancaran Akhbar Digital Utusan Malaysia bersama Penerbangan Malaysia (MAS) di Terminal Satellite, KLIA, Sepang, baru-baru ini.

Apa pun alasannya, penggunaan akhbar maya yang tidak lagi bersifat lembaran fizikal dikatakan akan mendominasi pasaran maklumat dan berita sejajar dengan penggunaan teknologi yang ditawarkan dalam platform gajet pintar.

Sebelum ini buku elektronik sudah banyak digunakan membolehkan 'ulat buku' tidak perlu membawa bahan bacaan mereka itu ke mana-mana yang memerlukan ruang dan berat.

Malah, dengan kepesatan buku elektronik yang dipacu oleh kemunculan gajet atau alat membaca, ramai mengandaikan bahawa maklumat dalam bentuk lembaran kertas akan semakin pupus.

Hari ini pun ramai pembaca melanggan akhbar atas talian atau on-line yang ditawarkan oleh penerbit atau syarikat pembekal dengan kadar yang boleh dianggap murah.

Pembekal hanya menghantar berita kepada pelanggan dalam bentuk news alert, manakala sesetengah syarikat menawarkan langganan akhbar fizikal yang disekalikan dengan gajet untuk akhbar digital.

Persoalan pokok ialah sama ada pembaca atau pelanggan akhbar terbabit celik teknologi maklumat (IT) atau mahir menggunakan gajet seperti tablet dan telefon bimbit.

Ini kerana ada proses atau prosedur yang perlu dipelajari sebelum menikmati langganan tersebut dan tahu serba sedikit mengoperasikan gajet yang serba canggih itu.

Berdasarkan satu laporan. sejarah penggunaan akhbar digital bermula 35 tahun dahulu.

Salah satunya adalah kumpulan penyelidik daripada Xerox yang diketuai oleh Nikolas K. Sheridon yang mencipta bebola berputar Gyricon yang juga merupakan e-paper pertama dunia.

Xerox pada tahun 1970an mula memperkenalkan konsep pejabat kurang kertas (paperless office).

Bagaimanapun dengan berkembangnya teknologi komputer, mata manusia tidak dapat bertahan lama memandang skrin gajet tersebut dan kertas tetap digunakan secara besar-besaran.

Mengapa terlalu lambat untuk dikomersialkan? Ini kerana kerana e-paper yang dihasilkan pada ketika itu memerlukan kos yang mahal serta kadar resolusinya yang rendah.

Namun teknologi itu kini telah berkembang dengan baik selain teknologi gajet seperti komputer, tablet serta telefon juga telah diperbaiki.

Kini dengan kadar resolusi yang tinggi di samping teknologi paparan skrin yang terdapat kini menjadikan pembacaan menerusi akhbar digital menjadi pilihan utama kerana teknologi tersebut lebih mudah, ringkas, menjimatkan, pantas serta mesra alam.

Seperti kebanyakan akhbar utama lain di negara ini, Utusan Malaysia juga telah berjaya memperkenalkan aplikasi akhbar digital pertamanya yang dikenali e-Paper Utusan Malaysia.

Imbas... SETIAUSAHA Kerja Puteri UMNO negeri-negeri (dari kiri), Norazlina Che Harun, Norazila Salim, Izyan Shazwani Yaakob, Normah Suhaimi dan Norashikin Ngah melihat akhbar digital ketika pelancarannya tahun lepas.

Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, e-Paper Utusan telah dilancarkan pada November lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hingga kini, hampir 5,000 pelanggan yang terdiri daripada individu dan korporat telah melanggan akhbar digital (e-Paper) sejak dilancarkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan akhbar digital tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad serta Ketua Perkhidmatan Lapangan Terbang (Divisyen Perkhidmatan Pelanggan) MAS, Jaffar Derus Ahmad.

Menyedari potensi besar e-Paper Utusan Malaysia sebagai salah satu daya tarikan orang ramai, Penerbangan Malaysia (MAS) memilih akhbar digital tersebut sebagai bahan bacaan penumpangnya secara percuma.

Pemilihan tersebut sekali gus menjadikan e-Paper Utusan Malaysia menjadi akhbar digital pertama di negara ini yang dipilih oleh MAS.

Sebagai permulaan, e-Paper Utusan disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum diperluaskan ke lapangan terbang lain di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Antara lapangan terbang lain yang akan terlibat adalah di Kuching, Kota Kinabalu, dan Pulau Pinang.

Jelas Pengarah Khidmat Pelanggan MAS, Datuk Mohd. Salleh Ahmad Tabrani, keputusan MAS memilih Utusan Malaysia ialah kerana akhbar itu menjadi pilihan utama para penumpang.

"Kami yakin kerjasama dua hala ini akan memberikan kemudahan yang terbaik bukan hanya kepada penumpang MAS tetapi pembaca setia akhbar Utusan Malaysia," katanya.

Beliau menambah, pihaknya MAS juga yakin para penumpang, khususnya rakyat tempatan, akan menyambut baik kemudahan terbaharu yang disediakan untuk mereka.

Menerusi perkhidmatan e-Paper Utusan Malaysia tersebut, penumpang MAS bukan sahaja boleh membaca akhbar digital sebelum berlepas malah di sepanjang penerbangan.

Perkhidmatan akhbar digital Utusan tersebut bukan sahaja boleh diakses melalui komputer dan tablet yang disediakan di Golden Louge MAS, malah boleh di muat turun secara percuma ke dalam tablet mahupun iPad penumpang.

Penumpang hanya perlu mendapatkan kata laluan atau ID Pengguna dan Kata Laluan di kaunter Golden Lounge atau di Pintu Berlepas untuk memuat turun e-Paper Utusan tersebut.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, jalinan kerjasama itu merupakan projek perintis Kumpulan Utusan dalam menyediakan produk akhbar digital kepada pelanggan korporat yang lain.

Katanya, kerjasama itu juga membolehkan Kumpulan Utusan mengetengahkan produknya yang lain secara lebih meluas kepada umum.

Melalui talian dua hala itu, langganan e-Paper di MAS juga merupakan antara projek perintis Utusan dalam menyediakan produk akhbar digital kepada pelanggan korporat dengan jumlah langganan terbesar dengan sistem yang khusus.

Dalam pada itu, MAS turut membuka langganan kepada para petugasnya dengan kadar diskaun istimewa bagi tempoh masa setahun.

Selain Utusan, terdapat juga akhbar arus perdana lain yang turut memperkenalkan kemudahan akhbar digital antaranya adalah e-Paper Berita Harian dan e-Paper Harian Metro.

- ASHRIQ FAHMY AHMAD

Siri telefon pintar Lenovo

Posted: 10 Jun 2013 12:54 AM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Lenovo A706

DIBARISI siri yang bermula daripada telefon pintar dengan harga yang termurah sehinggalah kepada yang termahal Lenovo kini kembali memperkenalkan peranti yang mampu memenuhi citarasa setiap pengguna masa kini.

Direka berdasarkan kehendak serta keperluan pasaran termasuklah Malaysia, barisan telefon pintar Lenovo bakal mengejutkan masyarakat negara ini.

Menurut Pengurus Besar Negeri, Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, telefon pintar merupakan komponen kritikal dalam strategi syarikat berkenaan.

"Pasaran telah berubah mengikut permintaan terhadap telefon pintar.

"Komputer masih menjadi pilihan namun pertumbuhan pesat adalah di dalam segmen peranti berasaskan komputer serta pasaran telefon pintar," katanya.

Bermula dengan telefon pintar K900, model utama Lenovo buat pengguna yang mahukan telefon pintar terbaik kelasnya.

K900 unik berbanding siri-siri yang lain antaranya adalah kelebihan reka bentuk badannya yang diperbuat daripada besi aloi tahan karat untuk gaya serta gengaman yang lebih utuh.

Bagaimanapun, ciri-ciri yang yang digemari pengguna seperti ringan, nipis tetap dikekalkan tanpa mengorbankan prestasinya.

Kebanyakan telefon pintar kini dijana oleh pemproses quad-core dan sesetengahnya memiliki kelebihan dual-SIM.

"Menerusi K900, Lenovo dengan kerjasama Intel telah menaikan kualiti telefon pintar dan kumpulan kami beekrja keras untuk meningkatkan ciri-ciri penting serta kebolehan yang diperlukan oleh pengguna," katanya.

Hanya setebal 6.9 milimeter (mm), K900 merupakan antara telefon pintar paling nipis dalam kelasnya di tambah dengan berat hanya sekitar 162 gram (g) menjadikannya mudah untuk disimpan ke dalam poket, jaket mahupun beg tangan.

K900 didakwa merupakan antara satu-satunya telefon pintar yang dilengkapi paparan IPS 5.5 inci bersama resolusi berdifinisi tinggi 1080p penuh, 400+ piksel per inci serta lapisan kaca Gorilla Glass 2.

Di jana oleh pemproses terbaru daripada Intel Atom Z2580, cip dual core dan teknologi Intel Hyper-Threading bagi memantapkan prestasi.

Peranti itu juga turut dilengkapi bersama teknologi enjin Intel Graphics Media Accelerator yang menggerakkan GPU PowerVR SGX 544MP2 yang mana mampu memberikan kuasa sehingga tiga kali ganda berbanding generasi sebelumnya.

Manakala kamera bagi K900 menawarkan kelebihan 13 megapiksel dengan penderia Sony Exmor BSI serta bukaan aperture setinggi F1.8 menjadikannya antara telefon pintar pertama yang menawarkan kelebihan tersebut.

Seterusnya adalah telefon pintar siri P780, bagi mereka yang bergelar usahawan serta pengguna profesional yang memerlukan akses telefon sepanjang masa (24/7).

Khoo Hung Chuan (tiga dari kiri) dan Naib Presiden Internet Mudah Alih Digital Tempatan JD Howard bersama beberapa peragawan dan peragawati menunjukkan siri telefon pintar Lenovo pada majlis pelancarannya baru-baru ini.

Oleh yang demikian siri P tersebut menawarkan sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan telefon pintar iaitu ketahanan kuasa bateri yang lebih lama.

Bateri 4000mAH merupakan antara yang terbaik di dalam kelasnya malah digabungkan bersama perisian Lenovo Smart Energy serta pengesan bateri palsu mampu memastikan pranti tersebut terus berfungsi selama 25 hari dalam keadaan Active Stanby Time.

Kelebihan slot dua kad sim juga membantu pengguna untuk menukar talian yang memiliki isyarat yang lebih baik di satu-satu tempat.

P780 dilengkapi pemproses 1.2GHz quad core untuk prestasi yang lebih lancar serta perisian yang lebih baik untuk kegunaan usahawan seperti slot pembaca kad usahawan serta aplikasi produktiviti pejabat.

Siri seterusnya adalah S920 yang menawarkan paparan seluas 5.3 inci (1280x720) IPS yang di kelilingi sarung yang lebih licin dan bulat.

S920 menyasarkan golongan muda, jaringan yang aktif, pengamal media sosial serta penggemar permainan tegar.

Di sisi berikutanya, S920 dilengkapi bersama 'kamera super' yang memiliki kelebihan sehingga 8 megapiksel bagi menjamin kualiti gambar yang lebih baik.

Bersama rekaan yang menarik serta kelebihan paparan grafik yang berkualiti tinggi, S920 hanyalah seberat 159 gram sahaja.

Bagi siri S820 pula, telefon pintar tersebut didatangkan bersama kelebihan multimedia yang berkuasa tinggi yang mana agak berlainan berbanding telefon pintar yang pernah anda gunakan.

Di sebalik rekaan pinggiran yang agak bulat, tersembunyi pemproses quad core untuk pengalaman Android yang lebih lancar.

S820 dilengkapi bersama paparan HD 4.7 inci yang mampu memberikan kualiti paparan yagn lebih tajam, jelas serta pengalaman pemandangan yang lebih baik semasa bermain permainan video, menonton video serta melayari laman maya.

Manakala bersama kamera yang memiliki resolusi setinggi 12 megapiksel, S820 mampu merakam imej dengan lebih terperinci ditambah dengan perisian SuperCamera membolehkan pengguna melakukan pelbagai perkara yang menakjubkan seperti merakam 100 keping imej berterusan dalam mod 'burst' atau rakam imej pegun semasa merakam video.

Seterusnya adalah siri A706 yang dilengkapi dengan kelebihan pemproses quad core 1.2GHz serta 1GB RAM namun mampu dimiliki pada kadar harga yang berpatutan.

Biarpun berharga sederhana, namun Lenovo tidak mengurangkan sedikit pun prestasi sebagai sebuah telefon pintar.

Malahan, A706 dilengkapi bersama teknologi Dolby Digital Plus serta paparan 4.5 inci IPS yang mana mampu memberikan pengalaman menonton video serta bermainan permainan video tanpa sebarang gangguan serta kualiti bunyi yang terbaik.

Kelebihan dua slot kad sim juga dilihat amat memudahkan pengguna disamping kadar kamera lima megapiksel serta sistem operasi Android v4.1 JellyBean.

Terakhir adalah siri A390 yang mana siri paling mampu dimiliki dengan kadar harga RM319 namun mampu menyaingi telefon pintar pada kadar harga yang sama dengannya.

A390 dijana oleh pemproses dual core 1.2 GHz serta 512MB RAM dan unit penyimpanan setinggi 4GB yang mana boleh dipertingkatkan sehingga 32GB.

Kelebihan tersebut membolehkan A390 menampung permainan video dengan lebih lancar di samping resolusi kameranya sebanyak 5.0 megapiksel bagi memastikan imej yang dirakam lebih jelas serta tajam.

A390 dilihat amat sesuai bagi mereka yang memerlukan sebuah telefon pintar yang kemas, berprestasi tinggi namun pada kadar bajet yang amat rendah.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web Lenovo di www.lenovo.com.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved