Isnin, 10 Jun 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Kehebatan MTG

Posted: 10 Jun 2013 12:54 AM PDT

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar Nasiruddin Yazid

Syarikat tempatan yang membuktikan kemampuan membawa transformasi industri ternakan ruminan

BERMULA hanya ingin mencuba dan membuka ladang di kawasan kampungnya di Pantai Remis Perak, Nordin Mat hari ini boleh berbangga dengan pencapaiannya sebagai usahawan ternakan ruminan khususnya kambing yang kian dikenali.

Langkah awalnya bermula dengan membuka sebuah ladang kambing baka Boer dan sejumlah bilangan ayam kampung, lulusan dalam bidang geologi dari Universiti Malaya ini, akhirnya membuktikan kemampuan dengan modal yang agak rendah.

Nordin melangkah setapak demi setapak sebelum bergelar usahawan dan syarikatnya kini dikenali sebagai pengimport kambing terbesar tempatan.

Beliau menimba pengalaman semasa berada dalam syarikat tempatan, Perfect Agro Sdn. Bhd. (PASB) dan kemudian menyertai Major Transglobal Sdn. Bhd. (MTG) yang kini sedang berkembang dengan cabang perniagaan yang pelbagai, tetapi mengkhusus kepada industri ternakan.

''Bagi saya ternakan adalah adalah keselamatan makanan dan bukan semata-mata menternak sahaja sebaliknya satu ibadah," ujarnya yang berasal dari Kampung Tebuk Permatang Raja.

Projek ternakan kambing Boer di kampungnya itu memberi banyak pengalaman dan Nordin, 40 tahun bijak mempelbagaikan cabang perniagaannya dengan mengusahakan baja organik daripada tinja kambing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembabitannya dalam industri ternakan adalah secara kebetulan, tetapi minat bertambah selepas melihat industri tersebut terlalu ketinggalan dan perlu diperhebatkan atas nama tanggungjawab.

Nordin yang sebelum itu merupakan bekas pengarah dan pemegang saham PASB dan Bina Hormat Sdn. Bhd. (BHSB) menyertai MTG pada tahun 2008 dan mengetuai Bahagian Kewangan dan Pemasaran.

Beliau menggunakan pengalamannya terlibat dalam projek dan perniagaan berskala besar dan menyerapkan idea-idea kreatif, inovatif serta berani dalam memperkembangkan syarikat mencapai tahap yang disegani.

Selain bersama MTG, sebagai pengarah dan pemegang saham, beliau juga mempunyai kepentingan peribadi dalam beberapa syarikat lain, antaranya; KMJ Supplies Sdn. Bhd. yang mengendalikan francais Perfect Fresh & Frozen dan Toowoomba Deli & Meats (steak house).

Kejayaan yang dicapai ketika ini menurut beliau tidak datang sekelip mata memandangkan banyak perkara perlu ditempuh.

''Saya pernah menaiki teksi ke mana-mana destinasi selepas perniagaan menghadapi masalah dan kadangkala menaiki motosikal sahaja," ujarnya.

Namun, sikap enggan mahu mengalah dengan kegagalan menjadikan Nordin cekal dan tidak mahu dilihat meminta-meminta atau simpati.

Beliau bangun dan berjaya bersama MTG dengan dibantu dua orang rakannya, Dr. P. Azhar Zakaria yang merupakan, seorang pakar veterinar dan Hamidon Tambih, seorang jurutera.

Bersama MTG, mereka bertiga kerap keluar negara khususnya Australia dan Indonesia bagi mencari bekalan kambing untuk dibawa masuk ke negara ini. Beliau mahu menjadikan industri kambing tempatan sehebat negara luar seperti Australia tetapi bakal usahawan perlu mempunyai ilmu yang mencukupi.

Tiga teraju MTG (dari kiri) Nordin Mat, Hamidon Tambih dan Dr. P. Azhar Zakaria.

Pembabitan beliau dalam industri ternakan ruminan memberi banyak kelebihan kepada anak muda ini kerana daripada situlah Nordin mengumpulkan pengalaman dan pengetahuan serta permasalahan yang sering dihadapi oleh penternak tempatan.

Beliau bersama rakannya mencari pelbagai inovasi dan penyelesaian bagi diterapkan kepada industri penternakan tempatan.

MTG kata beliau, ditubuhkan bukan mengejar keuntungan semata-mata tetapi ingin membuktikan bahawa usahawan tempatan juga mempunyai wawasan untuk membangunkan industri yang sejak dahulu lagi masih ketinggalan.

''Wawasan kami mudah sahaja, iaitu dalam tempoh lima tahun MTG menyasarkan hendak memperbanyakkan pembiakbakaan hingga ke tahap mengurangkan import ternakan kambing dan biri biri hidup dari Australia iaitu sebanyak 130,000 ekor setahun.

''Nampak (sasaran) itu mudah sahaja tetapi kita tidak pernah mencapainya sejak merdeka lagi," ujarnya yang juga Pengarah Eksekutif, MTG.

Menurut Nordin, industri penternakan tempatan harus mengalami anjakan paradigma yang mana perlu bermula daripada pengusaha itu sendiri.

Mereka perlu mengubah cara berfikir kepada kaedah yang lebih moden memandangkan banyak kekangan dihadapi seperti kekurangan tanah, sumber makanan berkualiti dan tenaga kerja.

Oleh itu katanya, pengusaha dan bakal pengusaha sewajarnya mengubah cara berfikir dan menjadikan industri ternakan ruminan khususnya kambing sebagai perniagaan menguntungkan pada modal yang terhad.

Kata beliau, MTG mahu supaya pengusaha tempatan melihat industri ternakan dalam konteks keselamatan makanan sebagai industri strategik.

Pengusaha atau bakal pengusaha kata beliau, perlu mendapat maklumat yang betul dan mengetahui peluang peluang yang ditawarkan untuk memastikan mereka serius dan tidak terkapai-kapai dalam industri tersebut terutama apabila menghadapi masalah.

Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai pihaknya bersama Utusan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan menganjurkan Bengkel Transformasi Ternakan Ruminan yang dijadualkan pada 28 Jun hingga 30 Jun ini.

''Bengkel ini penting sebagai pendedahan bagaimana penternakan boleh dibuat dengan cara menguntungkan.

''Ramai orang bermula dengan cara salah dan hanya terikut-ikut dengan orang lain sahaja.

"Kami memberi lebih pendedahan tentang cara menjadi usahawan kambing berbanding menjadi penternak semata-mata !," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MTG Agritrade Sdn. Bhd. Hamidon Tambih berkata, sudah sampai masanya industri ruminan tempatan khususnya kambing diperkukuhkan bagi mengelakkan pergantungan kepada import dalam jangka panjang.

''Kita tahu bahawa SSL (tahap sara diri) masih rendah bagi ternakan ruminan dan sampai bila pergantungan berterusan dengan bekalan import sedangkan banyak negara tidak lagi mengeksport ke Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata, beberapa negara seperti Indonesia dan Australia kini sukar untuk membekalkan kambing ke negara ini yang mana jika senario ini berterusan, Malaysia tidak lagi mempunyai bekalan yang mencukupi sedangkan permintaan sentiasa meningkat.

Mengenai pemilihan Sungai Pelek sebagai lokasi bengkel, Hamidon berkata, MTG mempunyai tiga ladang di sekitar kawasan tersebut yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri .

Ladang 1 berfungsi sebagai pusat transit dan penjualan manakalal ladang kedua akan dinaiktaraf sebagai pusat menempatkan baka-baka kambing yang boleh diternak di negara ini dan juga program penyelidikan dan pembangunan (R&D)

''Satu lagi ladang dikhususkan untuk program pembiak bakaan, kata Hamidon.

Melahirkan usahawan ternak

Posted: 10 Jun 2013 12:54 AM PDT

DR. P. Azhar Zakaria

PAKAR industri ternakan dari Major Transglobal Sdn. Bhd. (MTG), Dr. P. Azhar Zakaria mengakui bahawa industri tersebut wajar ditransformasikan kepada pembangunan usahawan dan bukan melahirkan penternak semata-mata.

Kata beliau, penternak adalah pengeluar produk yang memikirkan bagaimana untuk mengeluarkan produk, mengikut skala yang difikirkan mampu.

Mereka perlu memfokus kepada pemerolehan ilmu berkaitan aspek pengeluaran seperti baka pemakanan, penyakit, pengurusan dan pelbagai aspek teknikal yang lain.

''Fokus mereka juga lebih kepada mengeluar dan menjual produk yang dihasilkan,'' katanya yang juga Pengarah Urusan MTG.

Usahawan ternakan pula mempunyai peranan lain yang melihat penternakan dari sudut pandangan yang lebih luas seperti peluang perniagaan dan bagaimana menghasilkan produk yang efisien.

Pada waktu yang sama mereka meneroka pelbagai pelbagai berkaitan dan menyepadukan aktiviti perladangan ternak.

Sebagai contoh, selain mengeluarkan ternakan, mereka juga menjalankan usaha mengimport, membeli dan menjual, pengeluaran baja, pengeluaran makanan ternak, agro pelancongan juruperunding dan lain-lain.

Usahawan ternak tidak semestinya melakukan segala-galanya, tetapi memadai beberapa bidang yang menjadi minat dan kecenderungan.

Mereka juga sentiasa berusaha untuk memperbaiki kualiti produk atau perkhidmatan dan pastinya berfokuskan kepada keuntungan.

Sehubungan itu katanya, peluang menyertai bengkel yang dianjurkan oleh MTG dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sewajarnya direbut oleh mereka yang ingin menjadi usahawan ternak.

Bengkel bermula 28 hingga 30 Jun ini melibatkan beberapa usahawan dan syarikat serta agensi kerajaan sebagai pembentang termasuk MTG, JPV, Agrobank dan Tekun Nasional.

Mereka yang berminat wajar merebut peluang tersebut dengan mengisi borang asli yang disertakan dan membuat pembayaran.

Mereka akan ditempat bersama keluarga angkat di Banghuris Homestay, Sungai Pelek sepanjang bengkel berlangsung dan terhad kepada 150 peserta terawal sahaja.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved