Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Muhdalena hidap kemurungan psikotik - Doktor

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

PUTRAJAYA 12 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Muhdalena Ahmad yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu, menghidap gejala gangguan penyakit mental iaitu kemurungan psikotik.

Peguam M. Visvanathan yang mewakilinya memberitahu, perkara itu dinyatakan dalam sepucuk sijil cuti sakit yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan dari Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Putrajaya.

Menurutnya, surat bertarikh semalam itu diserahkan kepadanya oleh ahli keluarga Muhdalena malam tadi menyatakan, tertuduh diberi cuti sakit selama sebulan bermula semalam hingga 11 Julai depan.

Sehubungan itu, Visvanathan memohon perbicaraan yang sepatutnya didengar hari ini dan esok ditangguhkan. Permohonan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh.

Hakim Mohd. Kamil Nizam membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan disambung pada 29, 30, dan 31 Julai ini serta 22 dan 23 Ogos depan.

Muhdalena, 28, didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Koperal Ridzuan Megat Ahmad dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.

Wanita itu turut didakwa atas tuduhan tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Dia juga didakwa tidak mematuhi perintah menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Dalam kejadian itu, Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi' terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari dan tangan kiri manakala Muhdalena cedera pada paha kanannya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.

Warga Filipina didakwa tipu Maybank RM3 bilion

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Jun - Seorang lelaki warga Filipina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu sebuah bank tempatan dengan mengemukakan sekeping sijil deposit tunai palsu berjumlah RM3 bilion, April lalu.

William Morales Vizon, 75, dari bandar Deo Balacat, Papangar, Filipina didakwa menipu Maybank Bhd., kira-kira pukul 3.30 petang, 23 April lalu di Tingkat 28, Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan sebutan semula kes pada 12 Julai ini dan tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diikat jamin kerana bukan warga tempatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved