Rabu, 12 Jun 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Terjebak cinta pengkid

Posted: 11 Jun 2013 11:53 PM PDT

Marisa (bukan nama sebenar) saya kenali sejak di sekolah menengah lagi. Persahabatan kami agak erat memandangkan kami bukan saja rakan sekelas bahkan tempat tinggalnya juga tidak jauh dari rumah saya.

Raut wajah bujur sirih dengan kulit kuning langsat ditambah lagi kata-kata yang disusun begitu tersusun dan lembut, membuatkan ramai pelajar lelaki 'makan hati' pada Marisa.

Selepas tamat tingkatan lima, kami terputus hubungan apabila ibu bapanya pindah balik kampung dan kami melanjutkan pelajaran ke universiti berbeza.

Namun, baru-baru ini kami bertemu semula dalam satu majlis perkahwinan bekas rakan sekolah.

Wajah dan penampilan Marisa tidak jauh berubah, cuma nampak lebih kemas dan matang seiring dengan peningkatan usia.

Mengenakan kebaya merah muda dipadan dengan batik lepas, kecantikan Marisa nampak menyerlah lebih-lebih lagi dengan rambut dilepas paras bahu.

Sempat bertanya khabar dan bertukar-tukar nombor telefon, ternyata dia tidak menunggu lama kerana keesokan harinya saya menerima panggilannya.

Bezanya kali ini nada suara Marisa agak kurang ceria berbanding semalam - bagai menyimpan rahsia yang mahu dikongsi.

Benar bagai ditelah, Marisa mengaku dia kini dalam dilema selepas 'terjebak' dalam satu perhubungan terlarang sejak enam tahun lalu.

"Hidup saya bergelumang dosa. Nabi pun tidak mengaku saya umatnya," keluhnya dengan nada yang cukup berat.

Menurut Marisa, segalanya bermula ketika dia baru melangkah ke alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Di tempat kerja dia berkenalan dengan rakan sekerja, Rabiah atau lebih gemar membahasakan diri sebagai Rudy, yang cukup ramah dan sentiasa ceria.

"Walaupun perawakan dan penampilannya nampak seperti lelaki, dia seorang rakan yang baik dan sangat mengambil berat. Mulanya saya cuak juga dengan tingkah-laku dan kata-katanya yang agak kasar tapi lama-kelamaan semakin lali.

"Memang ada rakan-rakan membisikkan ke telinga agar berhati-hati terhadap Rudy kerana dia bernafsu songsang.

"Begitupun saya tidak berasa bimbang kerana waktu itu saya sudah ada teman lelaki dan saya kenal diri saya, tidak mungkin saya menyukai kaum sejenis," katanya.

Dijadikan cerita, hubungan dengan teman lelakinya, Hakimi, sedikit goyah dan sering tidak sefahaman dalam banyak perkara membuatkan Marisa seakan tidak disayangi dan dihargai.

Sebagai teman sekerja, Rudy jadi tempat Marisa mengadu bukan setakat masalah kerja bahkan berkaitan hal teman lelaki.

"Setiap kali bergaduh dengan teman lelaki, Rudy tempat saya meluah perasaan. Memang tidak saya nafikan dia pandai memujuk, kata-katanya membuatkan hati saya tenang dan hilang segala kesedihan.

"Dia kerap menasihatkan saya agar lupakan saja teman lelaki saya itu. Katanya, saya patut memperoleh pasangan yang lebih baik yang menghargai dan menyayangi saya.

"Bila difikir ada betulnya kata-kata Rudy. Apa perlunya saya tunggu lelaki yang sering menyakiti dan tidak pandai mengambil hati saya," katanya.

Marisa nekad meninggalkan Hakimi biarpun sayang dan cintanya masih bersisa pada lelaki itu. Bagi mengubat kesedihan dia menghabiskan masa keluar dan kerap kalinya akan ditemani Rudy.

"Malah Rudy banyak membantu saya melupakan Hakimi. Kebetulan Rudy bekerja di bahagian penganjuran acara, jadi saya kerap mengikutnya apabila ada tugasan luar.

"Sehinggalah pada suatu hari dia menyatakan dia sangat menyayangi saya dan mahu menjadikan saya 'teman wanitanya'.

"Sejak dari itu layanannya terhadap saya sangat luar biasa. Setiap pagi ada saja bungkusan makanan atau jambangan bunga daripada dia di meja kerja saya. Sebelah malamnya dia akan menghubungi saya meluahkan kata-kata cinta dan pujuk rayu.

"Mulanya saya rasa rimas dan cuba menolak kerana saya bukan jenis macam itu. Saya mula menjauhkan diri dari dia dan mengelak panggilan telefonnya," ujar Marisa.

Menyedari keadaan itu, Rudy mula mengubah strategi. Hampir setiap hari dia akan menunggu Marisa balik kerja dan begitu juga ketika pergi kerja, tahu-tahu dia sudah terpacul dengan keretanya di depan rumah.

Tidak sampai hati untuk mengecewakan Rudy, akhirnya Marisa akur. Pergi dan balik kerja kini dihantar dan dijemput Rudy.

Bukan itu saja, Marisa turut dihujani dengan pemberian pelbagai hadiah daripada pakaian, kasut hinggalah kepada beg tangan dan barang kemas.

Keadaan itu membuatkan Marisa semakin tenggelam dan lemas dengan segala pujuk rayu Rudy sehingga tanpa disedari mereka telah menjadi 'pasangan kekasih'.

Marisa juga sudah tidak peduli dengan rakan-rakan sepejabat yang mengatanya menjalin hubungan songsang bercinta dengan 'pengkid'.

Baginya, Rudy cukup membahagiakan malah hampir semua keinginannya dipenuhi oleh pengkid itu.

"Kami memang asyik-masyuk bercinta. Kami sudah tidak peduli apa orang keliling kata, malah kami memutuskan untuk tinggal serumah dan hidup bagai 'suami isteri'.

"Kami 'melayari' rumah tangga kami dengan cara kami sendiri secara zahir dan batin. Jika di rumah saya memanggilnya 'hubby' dan dia panggil saya 'baby'.

"Ada juga rakan-rakan baik yang datang nasihatkan saya. Mereka kata perbuatan saya berdosa dan hubungan seperti ini tidak ada masa depan.

"Nasihat mereka bagai masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Malah bila saya ceritakan pada Rudy, rakan saya itu pula yang kena marah dan Rudy melarang saya berkawan dengannya lagi.

"Sebagai kekasih, Rudy sememangnya sangat cemburu. Dia sentiasa mengawal gerak-geri saya. Ke mana dan dengan siapa saya berada mesti beritahunya dahulu.

"Walaupun berasa agak terkongkong, tapi kerana sayangkan dia saya tak kisah. Malah sejak bersama Rudy saya mula menjauhkan diri dari kawan-kawan kerana tidak mahu dengar sindiran mereka.

"Dunia saya hanya dengan Rudy. Ke mana-mana pergi kami berdua," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Marisa terdiam sebentar. Dahulu, saya kenal keluarga Marisa mempunyai latar belakang agama yang agak kuat.

Malah, ayahnya sering dipanggil menjadi imam di surau tempat kami tinggal sebelum mereka berpindah.

Kata Marisa, sehingga sekarang keluarganya di kampung tidak tahu hakikat sebenar hubungan dia dengan Rudy.

"Saya pernah bawa Rudy balik kampung. Masa itu saya kenalkan Rudy sebagai rakan serumah. Mungkin disebabkan kami sama-sama perempuan, ayah dan emak tidak mengesyaki apa-apa.

"Ada juga emak tanya tentang cara Rudy berpakaian, tapi saya katakan pada emak itu memang gaya dia dari awal. Lepas itu, perbualan tersebut mati di situ," katanya.

Sesekali apabila ibu bapanya datang ke Kuala Lumpur dan menginap di rumahnya, Rudy akan pindah tidur di bilik lain.

Ditanya tentang dosa pahala, Marisa mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan dia mula merasakan jalan yang dilaluinya sekarang tidak betul.

Ada juga dia terfikir untuk meninggalkan cara hidupnya sekarang, tetapi dia tidak cukup kuat dan tidak berani berhadapan dengan Rudy.

Dia tidak mahu merasai lagi peritnya penampar Rudy yang pernah hinggap di pipinya beberapa tahun lalu gara-gara dia menyatakan untuk berpisah kerana semakin tidak yakin dengan hubungan tersebut.

"Saya sedar usia saya semakin bertambah. Sebagai wanita saya juga mempunyai naluri untuk berkahwin dan mempunyai anak. Tapi saya tahu dengan perhubungan seperti ini tidak mungkin saya dapat penuhi impian tersebut.

"Saya juga sedar jalan yang saya pilih ini penuh dengan dosa. Doakan saya agar punya kekuatan untuk mencari jalan keluar. Saya tidak mahu selamanya macam ini," ujar Marisa diiringi esakan kecil yang sayup-sayup kedengaran di hujung talian.

Busana pengantin untuk sang juara

Posted: 11 Jun 2013 11:53 PM PDT

Nurul Awanis Ariffin dan Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir melihat busana pengantin yang akan dipakai pada hari persandingan mereka.

JUSTERU, pemilihan pakaian pengantin merupakan salah satu perkara dalam senarai teratas untuk dilakukan.

Begitu jugalah yang berlaku kepada pemenang tempat pertama Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4, Nurul Awanis Ariffin, 27, dan tunangnya, Kapten Mohd. Hafidz Shamsir Md. Nasir, 26.

Bakal ke jenjang pelamin pada 23 Jun ini, pasangan ini dilihat cuba menyiapkan persiapan dengan seberapa segera memandangkan segala-galanya dipercepatkan.

Menurut Nurul Awanis, dia telah melakukan persediaan sebaik sahaja diberitahu memenangi tempat pertama peraduan.

Kini katanya, segala-galanya berjalan lancar dan Insya-Allah semuanya dapat disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan.

"Alhamdulillah setakat ini boleh dikatakan hampir 80 peratus persediaan telah pun dilakukan.

"Segala-galanya telah pun dilakukan termasuklah berjumpa dan berbincang dengan pihak penaja," ujarnya ketika sedang mengenakan baju tajaan di Dios Astana Bridal, Puchong, baru-baru ini.

Busana pengantin yang direka khas oleh pereka Dios Astana Bridal, Ernie Yusnita Mohd. Nordin, 26, memperlihatkan pasangan ini bakal mengenakan persalinan berwarna coklat keemasan.

Begitupun, pasangan ini akan diraikan dengan penuh istiadat tentera udara di mana bagi persalinan pertama Mohd. Hafidz akan mengenakan pakaian istiadat yang berwarna biru gelap.

Berbicara lanjut mengenai baju rekaan Ernie tersebut, ia merupakan rekaan moden tetapi masih lagi mengekalkan ciri-ciri muslimah.

Menggandingkan kain syifon dan satin, mampu menjadikan pakaian tersebut terletak cantik pada badan si pemakai.

Tidak terhad dengan gabungan dua fabrik mewah tersebut, Ernie turut menyerlahkan lagi busana dengan perincian indah taburan manik.

"Rekaan yang diberikan kepada Nurul Awanis akan diperincikan lagi dengan manik-manik agar ia kelihatan eksklusif dan mahal.

"Ia bertujuan untuk menjadikan Nurul Awanis betul-betul raja sehari yang indah dalam persalinan mewah.

"Sentuhan kali ini lebih menekankan kepada kepentingan potongan yang baik agar busana yang digayakan tampak terletak di tubuh pengantin biarpun kelihatan ringkas," kata Ernie lagi.

Yang pasti, walaupun cita rasa wanita dalam pemilihan busana raja sehari seiring dengan peralihan zaman yang menginjak kemodenan, untuk Nurul Awanis, ia masih mengekalkan ciri-ciri muslimah, bersesuaian dengan penampilannya yang berhijab.

Jika dilihat pada bahagian kain yang dihasilkan, Erni menjadikannya bertingkat kerana ia akan menampakkan Nurul Awanis lebih tinggi.

Jelas, busana rekaan Erni hasil perbincangan dengan Nurul mampu menampilkan kelainan ketika hari persandingan.

Sementara itu, Dios Astana Bridal selaku pusat sehenti membekal, memproses dan menjual barangan dan keperluan pengantin, turut menawarkan pelbagai rekaan busana dan persalinan perkahwinan yang menarik mengikut perkembangan semasa.

Baju rekaan di Dios Astana Bridal sentiasa mengikuti perkembangan fesyen selari dengan kehendak pelanggan yang semakin teliti dan memilih untuk majlis mereka.

Dalam pada itu, pemilik Dios Astana Bridal, Zaidi Osman berkata, seiring dengan pertukaran selera pasangan yang berkahwin pada masa ini, pihaknya sentiasa memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan.

Selaku penaja pakaian pengantin bagi pemenang Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia bermula dari musim kedua hingga keempat, Zaidi mengakui pelbagai pilihan rekaan dan warna baju perkahwinan disediakan memenuhi cita rasa dan kehendak pelanggan.

Selain menjadi pembekal barangan perkahwinan kepada mak andam, Dios Astana Bridal juga menghasilkan sendiri baju-baju pengantin melibatkan aspek potongan, rekaan dan jahitan manik.

Dios Astana Bridal yang telah mempunyai enam cawangan di seluruh Malaysia, akan membuka cawangan baharu yang terletak di Shah Alam, Selangor dan dijangka memulakan operasi sekitar September ini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan produk-produk perkahwinan boleh mengunjungi Dios Astana Bridal yang terletak di Pusat Perdagangan Puchong Prima atau terus hubungi talian 03-80633020. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved