Selasa, 14 Mei 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Pesta Unggas Antarabangsa meriah

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com

Sebahagian orang ramai melihat Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2013 di Arena Candik Sri Cemerlang, Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 13 Mei - Negeri Kelantan sememangnya cukup terkenal dengan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakatnya sehingga kadang kala dianggap luar biasa oleh pihak luar kerana jarang melihatnya.

Keunikan negeri itu sendiri dapat dilihat melalui pelbagai nama jolokan yang diberikan antaranya, 'Negeri Serambi Mekah', 'Negeri Cik Siti Wan Kembang' dan 'Tanah Serendah Sekebun Bunga'.

Bukan sekadar kaya dengan budaya dan adat resam, masyarakat Kelantan turut kaya dengan pelbagai permainan rakyat seperti dikir barat, main puteri, mak yong, wau dan gasing.

Antara permainan rakyat yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat Kelantan adalah pertandingan seni suara burung candik dan ayam serama.

Bermula sekadar hobi mengisi masa lapang pada hujung minggu di peringkat kampung, ia telah diangkat ke peringkat antarabangsa sehingga dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri.

Terbaharu, telah berlangsung Pesta Unggas Antarabangsa Kelantan 2013 di Arena Candik Sri Cemerlang dekat sini baru-baru ini.

Pertandingan tersebut ternyata sungguh meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih kurang 300 penggemarnya meskipun hadiah yang ditawarkan tidaklah terlalu lumayan.

Hampir 1,000 burung candik dan ayam serama diperagakan dalam pelbagai kategori pada pertandingan tersebut.

Bagi peserta, pesta itu bukan semata-mata untuk bertanding bagi merebut kejuaraan, tetapi merupakan serampang dua mata kepada mereka.

Hal ini kerana, pesta tersebut turut membolehkan peserta memasarkan burung candik dan ayam serama mereka ke peringkat lebih luas, tidak terbatas di kampung-kampung atau dalam negeri sahaja.

Lantaran itu, hadiah bukanlah fokus utama mereka, sebaliknya gelaran juara menjadi rebutan kerana ia akan mengangkat nilai atau harga burung dan ayam serama dalam pasaran terbuka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah berkata, ini merupakan pesta kali ke-10 diadakan melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang mempunyai minat sama.

Katanya, pesta yang mempunyai tarikan yang tersendiri ini turut mendapat sambutan daripada peminat ayam serama dari Thailand dan Singapura.

"Pesta ini diadakan dengan kerjasama ahli-ahli Persatuan Seni Suara Burung Candik dan Kelab Peminat Warisan Kesenian dan Kecantikan Ayam Serama Kelantan yang berjaya mengumpulkan peminat seni warisan rakyat ini," ujarnya ketika ditemui dalam pesta tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan diterima berikutan ayam serama atau burung candik yang menang mampu mencapai harga jualan tinggi apabila menyertai pertandingan itu.

"Pesta sebegini juga akan menggalakkan orang ramai untuk menternak burung candik dan ayam serama bagi menambah sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Suara Burung Candik Kelantan, Mohd. Arif Mohd. Yaacob berkata, pertandingan seni suara burung candik semakin mendapat sambutan daripada masyarakat kerana keunikannya yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Ini terbukti apabila kira-kira 552 ekor burung candik dan 415 ekor ayam serama dipertandingkan pada pesta kali ini," katanya.

Mohd. Arif berkata, pertandingan seni suara burung candik dinilai melibatkan gaya burung, 'air suara' burung dan 'hujung suara' burung.

Dalam pada itu, johan kategori burung candik milik peserta dari Thailand, Fauzi Yassin, 43, amat gembira dengan kejayaan tersebut.

"Walaupun ini bukan kali pertama saya dinobatkan sebagai johan, namun ia cukup memberi kepuasan buat saya selepas berkecimpung hampir 20 tahun dalam seni suara burung candik.

"Kejayaan ini akan menguatkan lagi semangat saya untuk terus maju dalam seni burung candik ini," katanya yang mempunyai lebih enam ekor burung candik dipertandingkan dalam pesta tersebut.

Tambah Fauzi, keunikan yang ada pada burung candik menyebabkan dia berhasrat terus membela serta menambah bilangan burung berkenaan pada masa akan datang.

Sementara itu, johan kategori Seni Kecantikan Ayam Serama milik Ismail Awang dari Bachok yang membawa pulang hadiah wang tunai, piala pusingan dan sijil.

Hadiah-hadiah wang tunai, sijil dan pingat disampaikan oleh Rashidi kepada para pemenang.

PBPM Kelantan sumbang kerusi roda kepada ahli

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Mohd. Ali Mat Sen bersalam dengan Roba'e Jaini selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini.

RANTAU PANJANG 13 Mei - Penderitaan seorang pegawai polis, Inspektor Roba'e Jaini, 47, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu, mendapat perhatian Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan negeri ini apabila menyampaikan sumbangan kerusi roda untuk membantu pergerakannya.

Bantuan disampaikan oleh Pengerusi PBPM Kelantan, Mohd. Ali Mat Sen kepada Roba'e di rumahnya di Kampung Gual Tinggi di sini Khamis lalu.

Roba'e memberitahu, dia disahkan menghidap penyakit tersebut dipercayai berpunca daripada penggunaan ubat tahan sakit untuk menyakit gout yang dialaminya pada 2005.

Menurutnya, penggunaan ubat tahan sakit itu menyebabkannya mengalami pelbagai penyakit kronik sehingga terpaksa menjalani empat pembedahan setakat ini.

"Empat pembedahan yang telah saya jalani adalah pembedahan buah pinggang, tiroid dan pembedahan angioplasty sebanyak dua kali," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PBPM negeri, Yusoff Hashim dan Ketua PBPM Cawangan Pasir Mas, Kamaruzaman Majid.

Roba'e yang mula berkhidmat pada April 1997 dan kini merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas berkata, hasil rawatan yang dijalaninya secara berterusan membolehkan dia terus berkhidmat dengan pasukan keselamatan itu.

"Bagaimanapun dua bulan lalu, saya terjatuh di rumah dan patah tangan selain mengakibatkan saya tidak bertenaga untuk bangun dan bergerak secara aktif," katanya.

Apa yang mengejutkan Roba'e, hasil pemeriksaan di hospital mendapati, dia turut mengalami penyakit 'tulang lemah' dan mengambil masa yang panjang untuk kembali pulih serta terpaksa menggunakan kerusi roda bagi membantu pergerakannya.

"Saya berterima kasih kepada PBPM kerana menyumbangkan kerusi roda ini kerana ia dapat membantu memudahkan saya bergerak," katanya yang mempunyai lima anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun.

Sementara itu Mohd. Ali memberitahu, pihaknya pada tahun lalu telah menyumbangkan sebanyak 30 kerusi roda dan 60 tongkat kepada bekas anggota polis dan individu yang memerlukan.

"PBPM Kelantan melahirkan penghargaan kepada pelbagai badan bukan kerajaan yang bersama-sama menyumbangkan peralatan itu untuk kegunaan orang ramai," ujarnya.

Semarakkan kegiatan seni

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Salah satu hiasan yang kelihatan agak jelek di pusat bandar raya Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 12 Mei - Kalangan aktivis budaya di negeri ini berharap kegiatan seni di negeri ini yang seakan malap dan tidak terarah dapat disubur serta disemarakkan secara terancang melalui rombakan barisan Exco kerajaan negeri yang dilakukan semalam.

Mereka percaya Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permaisuri, Datuk Mohd. Jidin Shafee yang dipertangungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat memenuhi harapan itu.

Mereka juga berharap, sejajar dengan pengertian kebudayaan membawa skop yang luas, jawatankuasa yang diterajuinya tidak harus tertumpu semata-mata kepada penganjuran persembahan dalam corak pementasan semata-mata dan cuma diadakan sekali sekala bagi pelengkap program atau majlis.

Wan Ahmad Ismail, 63, berkata, portfolio yang dipegang oleh Mohd. Jidin cukup penting dalam mencorak wajah dan masa depan negeri beridentiti sendiri dan pada masa sama dapat memanfaatkan perkembangan industri pelancongan yang disasarkan dapat menjadi tulang belakang ekonomi negeri kelak.

''Sekurang-kurangnya Mohd. Jidin boleh memulakan tugasan awalnya dengan bertemu para penggerak, pencinta dan ilmuwan budaya di negeri ini bagi mengutip pandangan mereka daripada pelbagai sudut.

''Ini termasuklah soal bahasa kerana ketika pembangunan pesat melanda, penggunaan Bahasa Melayu atau nama Melayu bagi bangunan dan tempat tarikan pelancong pula sudah semakin ditinggalkan. Begitu juga soal seni bina agar identiti negeri Melayu tidak hilang," ujarnya.

Katanya, adalah wajar Pulau Warisan dihidupkan sebagai kawasan yang mengekalkan warisan Melayu termasuk perkampungan dengan kegiatan perniagaan dan pameran yang berteraskan konsep itu.

''Di sebelahnya merupakan penempatan dan pusat perniagaan Kampung Cina yang terus dipertahankan dengan peruntukan yang begitu besar.

''Mengapa tidak kita satukan kawasan itu dengan perkampungan warisan Melayu?" ujarnya.

Di samping itu katanya, dalam mencorakkan landskap bandar raya, arca-arca untuk seniman tempatan wajar menghiasi persekitaran dengan identiti setempat yang melambangkan kehidupan atau warisan bangsa.

Othman Zaharuddin Haron, 59, pula menyarankan agar seni persembahan tradisional seperti rodat, balai, saba yang menjadi pengenalan negeri sewajarnya dicorakkan semula dengan ramuan lebih kreatif sebagaimana yang berlaku terhadap persembahan ulit Mayang sehingga menjadi begitu menarik.

''Dari segi pakaian sahaja, ia sudah mengelirukan kerana sama dengan persembahan lain termasuk bangsawan, dikir barat, inang dan zapin," ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar pentas terbuka turut diwujudkan di pusat bandar raya dan lokasi terbaik di pulau warisan bagi membolehkan pelbagai kegiatan seni dapat dijalankan termasuk teater.

Katanya, melalui pendekatan kreatif banyak aspek warisan dapat digunakan untuk tarikan pelancongan termasuk pertandingan lumba perahu tradisional peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

''Perahu itu juga seharusnya cantik dan menarik, dikagumi buatannya kerana itu tarikan yang lebih besar untuk negeri dan negara," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved