Selasa, 14 Mei 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PM minta generasi muda cabar diri sendiri keluar dari zon selesa

Posted: 14 May 2013 03:01 AM PDT

SUBANG 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta masyarakat khususnya generasi muda untuk mencabar diri seterusnya keluar dari zon selesa dan melakukan perkara yang boleh membanggakan negara.

Perdana Menteri berkata, kejayaan negara bergantung kepada semangat daya saing rakyatnya seperti yang dibuktikan oleh penerbang solo, Kapten James Anthony Tan, 21, yang memecahkan tiga rekod sebagai juruterbang solo termuda mengelilingi dunia dalam tempoh 48 hari.

"Saya sempat berbual dengan James sebentar tadi dan beliau berkongsi pengalaman menyeberangi Selat Bearing pada suhu negatif 20 darjah celsius, jadi ia pastinya bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyempurnaan Kecemerlangan 1Malaysia Around The World (1RTW) sempena kepulangan James di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE

10 produk penyelidik UniSZA rais pingat emas, perak di ITEX 2013

Posted: 14 May 2013 02:52 AM PDT

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraih masing-masing lima pingat emas dan perak daripada 10 penyertaan pada Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Mei lepas.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed berkata, ia merupakan penyertaan kedua UniSZA di pameran ITEX iaitu tahun lepas UniSZA menghantar empat produk dan meraih tiga pingat perak dan satu gangsa.

"Alhamdulillah tahun ini kita berjaya meraih pingat untuk kesemua produk yang dipertandingkan. UniSZA akan berusaha untuk mengetengahkan produk-produk ini ke peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi.

Selain itu, produk 'Exgenoba System' memenangi anugerah khas 'Ram Rais Award' bagi kategori ciptaan terbaik dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

Ia hasil ciptaan tujuh pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat iaitu Azwa Abdul Aziz, Koh Chu Sien, Norlina Udin @ Kamaruddin, Ahmad Nazari Mohd. Rose, Irma Shayana Samaden, Julaily Aida Jusoh dan Wan Mohd Rizhan Wan Idris.

Azwa berkata, Exgenoba System memudahkan untuk membuat soalan peperiksaan secara automatik menggunakan sistem yang direka khas.

"Kalau dahulu pensyarah dan guru perlu membuat soalan secara manual dan memerlukan masa yang panjang untuk menganalisis soalan terlebih dahulu, tetapi dengan adanya sistem ini masa untuk menyiapkan soalan dapat dijimatkan dan proses untuk membuat soalan lebih teratur.

"Produk ini juga dapat meningkatkan kualiti serta mutu kerja untuk membuat soalan peperiksaan akhir di universiti mahupun di sekolah.

"Kumpulan itu juga menghasilkan satu sistem untuk menganalisis tahap pencapaian pelajar dan ia dapat membantu untuk menganalisis dan meningkatkan pencapaian pelajar," katanya. - BERNAMA

ADUN Pulai Sebatang taat titah Sultan jadi wakil Cina dalam Exco Johor

Posted: 14 May 2013 02:35 AM PDT

JOHOR BAHRU 14 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong dilantik menganggotai barisan Exco kerajaan negeri Johor yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Pelantikannya itu dititah oleh Sultan Johor yang mahukan masyarakat Cina diwakili di dalam barisan Exco kerajaan negeri di bawah teraju Menteri Besar yang baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya adalah wakil MCA dan juga anak Johor. Saya tidak mempunyai pilihan lain kerana ini (pelantikan) adalah titah Tuanku (Sultan Johor)," katanya pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan hari ini.

Siew Kiong yang juga Ketua MCA Bahagian Pontian berkata, MCA tidak pernah mengemukakan sebarang calon bagi jawatan Exco di Johor berikutan keputusan MCA pusat untuk menolak jawatan di peringkat persekutuan dan negeri selepas parti mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ditanya mengenai perasaannya dilantik sebagai Exco, beliau berkata "ia bercampur-campur".

Menurutnya di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, Sultan Johor berhak melantik mana-mana wakil rakyatnya untuk menganggotai barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga telah dimaklum tentang titah Sultan Johor itu dan beliau bersetuju mengenai pelantikannya itu kerana Tuanku mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Datuk Seri Chua juga telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku Pengerusi Barisan Nasional) memaklumkan tentang perkara ini (pelantikan sebagai Exco oleh Sultan Johor)," katanya.

Siew Kiong yang akan memegang portfolio Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bagi melaksanakan tugas sebagai anggota Exco.

Beliau yang berpengalaman luas sebagai pegawai Soi Lek ketika Presiden MCA itu memegang jawatan Exco negeri Johor, juga akan berusaha memperkukuhkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di Johor sebagaimana diminta oleh Sultan Johor. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved