Selasa, 21 Mei 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Menghijau alam, melestari bumi

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

Kakitangan Samsung SDI diajar cara menanam anak pokok dengan betul oleh pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan di Hutan Lipur Lintang, Lenggeng dekat Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 20 Mei - Menjaga kehijauan alam dan melestarikan bumi merupakan mesej yang dibawa oleh 53 pekerja kilang Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd. di Senawang dekat sini bersama Jabatan Perhutanan negeri dalam aktiviti tanam pokok sempena Kempen Bumi Hijau di Hutan Lipur Lintang, Lenggeng dekat sini.

Inisiatif yang dibuat itu selaras untuk melihat bumi ini dipenuhi tumbuhan sekali gus memberikan kehidupan yang lebih segar dan sihat.

Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia kilang berkenaan, Dzulfadly Vasan Abdullah berkata, program tersebut adalah susulan daripada usaha berterusan syarikat dalam menjayakan kempen bumi hijau itu.

''Hari ini, kami mahu bergerak seiring dengan usaha kerajaan negeri terhadap kempen bumi hijau dan telah menaja 150 anak pokok daripada tiga jenis pokok untuk generasi akan datang.

''Pokok-pokok yang ditanam hari ini terdiri daripada jenis Bouganvilla, Siang-Malam dan Lily, kami juga menyediakan baja organik untuk ditabur ke atas setiap anak pokok yang baru ditanam," katanya semasa program berkenaan yang berlangsung di Hutan Lipur Lintang Lenggeng dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihak Samsung SDI memang menggalakkan kakitangannya untuk mengaplikasikan matlamat Kempen Bumi Hijau ini dalam rutin harian mereka di pejabat mahupun di rumah.

''Sebagai contoh pihak Samsung telah mengurangkan penggunaan bahan cucian yang mengandungi bahan kimia berbahaya dan mengurangkan kawasan merokok di kawasan kilang," katanya.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Servis dan Keselamatan kilang sama, Ismanizam Yahaya berkata, pada tahun 1999, Samsung telahpun mengambil Hutan Lipur Lintang Lenggeng sebagai 'hutan angkat' syarikat itu.

''Dahulu kakitangan Samsung SDI pernah mengadakan program menyelenggara hutan ini secara berterusan dan menjaga keadaan tempat rekreasi ini dan kini kami meneruskan usaha itu lagi.

''Program ini adalah salah satu aktiviti sosial korporat Samsung SDI untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan menjaga kebersihan alam sekitar terutama sekali hutan simpan negara," katanya.

Menurut Ismanizam, aktiviti penanaman pokok di Hutan Lipur Lintang Lenggeng ini dapat memberi kesedaran kepada semua kakitangan yang terlibat tentang kepentingan memelihara flora dan fauna.

"Pokok-pokok ini ditanam untuk kemudahan generasi muda 20 atau 30 tahun akan datang, dalam masa yang sama, kami juga berharap sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada kakitangan kami tentang cara penanaman pokok," katanya.

Selain penanaman pokok, program itu turut melibatkan kerja gotong-royong membersihkan kawasan yang disertai kakitangan Jabatan Perhutanan negeri serta pekerja kilang Samsung SDI.

Sementara itu, Ismanizam berharap, lebih banyak pihak swasta tampil dalam membantu kerajaan negeri menjayakan program hijaukan bumi.

Semakin ramai sedar kepentingan hutan

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

SEREMBAN 20 Mei - Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba. Ia dicemar manusia yang jahil ketawa. Bumi yang tiada udara, bagai tiada nyawa. Pasti hilang suatu hari.

Itu antara bait lagu yang bertajuk Hijau nyanyian penyanyi Zainal Abidin yang amat sinonim dengan Kempen Bumi Hijau, seperti mana yang dilancarkan beberapa tahun dahulu bagi menyatakan rasa prihatin rakyat terhadap kelestarian bumi ini dengan tumbuhan menghijau.

Menyedari hakikat itulah, maka ramai peserta yang mengikuti program anjuran Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri di Hutan Lipur Lintang Lenggeng dekat sini baru-baru ini merasa tenang apabila dikelilingi pohon menghijau dan sedar kepentingan untuk menjaganya.

Pegawai perhutanan, Mat Jais Mat Nor berkata, maklum balas untuk menjaga kawasan hutan itu disebabkan sikap masyarakat yang semakin prihatin terhadap kebaikan program tersebut.

''Kita berterima kasih kepada pihak Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd. kerana mengadakan kempen mencintai hutan ini, kalau boleh kita harap mereka dapat mengadakan kempen seperti ini tiga bulan sekali.

''Dengan adanya kerjasama yang erat antara agensi-agensi swasta dan kerajaan untuk memajukan semula hutan simpan negeri, maka lebih banyak aktiviti pembaikpulihan hutan dapat dilaksanakan," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia dalam program 'Tanam Pokok' di Hutan Lipur Lintang Lenggeng dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihak Jabatan Perhutanan negeri menggalakkan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk memelihara tempat rekreasi dan kawasan Hutan Simpan yang terdapat dalam negeri ini.

''Antara hutan simpan yang ada di negeri ini termasuk tempat rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah, Jeram Toi dan Hutan Simpan Kenaboi di Jelebu, Hutan Simpan Serting Hulu, Hutan Simpan Sungai Menyala di Port Dickson dan Hutan Simpan Debana di Pasoh," katanya.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Sumber Manusia, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., Nur Jumaatun Fazani Md. Zawawi, 23, berkata, peluang untuk melibatkan diri dalam program 'Tanam Pokok' di Hutan Lipur Lintang Lenggeng telah membuka matanya tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

''Jika sebelum ini saya memang tidak ambil kisah untuk memelihara alam sekitar secara menyeluruh, selalunya saya hanya pastikan persekitaran rumah dan tempat kerja saya bersih sahaja.

''Belajar cara tanam pokok ini seronok juga, bukan sahaja dapat menikmati udara yang segar di hutan tetapi kini saya sedar betapa pentingnya untuk memastikan alam sekitar kita dalam keadaan yang baik," katanya.

Menurutnya, pihak Samsung SDI kerap melakukan aktiviti kempen hijau malah mereka semua diberikan kemeja T yang bertulis Keep Calm and Love Green untuk menjayakan kempen ini.

Noor Aishah Roslan, 22, berkata, banyak perkara baru yang dipelajari semasa program itu dijalankan, malah dapat memupuk kerjasama yang erat dalam kalangan kakitangan dan pihak atasan syarikat.

''Kami bukan sahaja menanam pokok malah kami bersama-sama mengutip sampah yang bertaburan di kawasan air terjun itu, mencabut rumput-rumput liar serta membersihkan pondok istirehat yang telah disediakan di situ.

''Bila kami sendiri yang melakukan semua ini, barulah kami sedar bahawa masih ada lagi segelintir masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri dengan membuang sampah merata-rata di kawasan ini," ujarnya.

Dia yang berasal dari Johor tidak menyangka terdapat banyak hutan simpanan yang belum diteroka dan masih indah di negeri ini yang boleh dijadikan tempat istirehat bersama keluarga.

Ini diperakui oleh rakannya, S. Kalaivani, 25, yang menganggap program itu umpama waktu rehat untuk lari seketika daripada kebisingan dan kekecohan di kilang untuk semua kakitangan yang terlibat.

''Kebiasaannya setiap hari kami hanya mendengar bunyi bising, tetapi hari ini tenang dengan bunyi air sungai mengalir, bunyi burung dan sungguh tenang.

''Dalam masa yang sama, kami dapat beramah mesra dengan pihak atasan. Kalau dalam pejabat atau di kilang selalunya bertegur sapa dengan ketua-ketua jabatan hanya jika ada sebab kerja, di sini kami bagaikan sebuah keluarga," katanya.

Seorang pelatih To Know Samsung (TKS), Izanol Azreen Hamzah, 25, berkata, kempen 'Tanam pokok' di hutan simpan ini dapat memupuk sikap cintakan kehijauan alam sekitar.

"Kami generasi muda dapat mengenali jenis-jenis pokok yang terdapat di dalam hutan dan saya rasa ramai anak muda zaman ini yang bersikap tidak ambil tahu tentang keadaan alam sekitar," katanya.

Generasi kedua perlu rumah

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 20 Mei - Generasi kedua Felda Gugusan Palong Sembilan dekat sini optimis kerajaan akan memberi lebih tumpuan bagi menyegerakan projek perumahan untuk mereka, sekali gus 'menghidupkan' pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam kawasan berkenaan.

Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) cawangan Felda Palong Sembilan, Nor Hairul Lizam Nordin, 36, berkata, sokongan generasi itu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) amat baik dan ia akan diteruskan melalui penempatan kekal untuk generasi ini.

''Kita ucapkan tahniah kerpada kerajaan BN diatas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, sekali gus dapat membentu kerajaan di negeri ini.

''Generasi kedua akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan apatah lagi dalam usaha pembangunkan kawasan Felda ini, khususnya aspek kediaman kekal," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Nor Hairul, biarpun Felda berhasrat membina rumah di kawasan Palong 16 dekat sini, tetapi ramai golongan belia di Felda Gugusan Palong Sembilan tidak memohon untuk mendiami kawasan berkenaan kerana kedudukan yang jauh.

''Kami bekerja di sini (Felda Gugusan Palong Sembilan) dan rasanya tidak perlu kami membeli rumah di kawasan Palong 16 yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari sini.

''Kawasan di sini juga ada tanah kosong yang luas dan berharap pihak Felda dapat mempertimbangkannya," ujarnya.

Bagi, Khairul Anar Mahat, 35, pula, projek perumahan generasi kedua di Felda Palong Sembilan amat dinantikan selepas terpaksa menetap dalam kedai bersama isteri serta dua anaknya sejak enam tahun lalu.

''Apabila sudah berkeluarga pastinya saya mahu berdikari dan tidak mahu tinggal bersama keluarga. Saya amat berharap Felda dapat segera membina rumah generasi kedua ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Peneroka negeri, Othman Parman menjelaskan pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak atasan.

''Memang kita sudah ada tanah cuma mahukan projek di kawasan ini. Untuk membeli rumah, generasi kedua harus melepasi syarat yang ditetapkan oleh pihak bank.

''Oleh itu Felda akan mengeluarkan satu surat pengesahan mengenai gaji mereka. Cara ini kita pernah lakukan jika ada anak Felda mahu membeli kenderaan. Saya amat berharap pihak bank dapat menerima cara ini untuk tujuan perumahan pula,'' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved