Selasa, 21 Mei 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


2 penyamun dicekup, 35 kes selesai

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Zainuddin Yaacob (kanan) menunjukkan pistol, lencana kastam dan parang yang berjaya dirampas berikutan tertangkapnya 2 suspek dalam sidang akhbar di Balai Polis Sentral, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 20 Mei - Polis percaya berjaya menyelesaikan 35 kes samun tepi jalan dan ragut dengan tertangkapnya dua lelaki pada 16 dan 17 Mei lalu.

Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barang termasuk parang yang dipercayai digunakan kumpulan terlibat untuk menyamun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, dalam kejadian di sebuah pusat hiburan keluarga di Plaza Sentosa pada Jumaat lalu, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan ketika cuba menyamun premis itu dengan bersenjatakan parang.

"Kita percaya lelaki itu cuba melakukan samun di premis yang turut menjadi riuh-rendah apabila sebahagian pelanggan bertempiaran lari semasa insiden berlaku," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, polis percaya kejadian samun itu dilakukan suspek bersama dua rakannya apabila dua bilah parang turut ditemui di premis itu disyaki ditinggalkan oleh rakannya sebelum melarikan diri.

Polis turut merampas sejumlah wang tunai dan sebuah telefon bimbit jenama iPhone. Polis percaya berjaya menyelesaikan 20 kes berkaitan yang berlaku di sekitar beberapa daerah di negeri ini.

"Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata, dalam kes kedua pada Khamis lalu, seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan di Jalan Tebrau off Jalan Kebun Teh Majidee ketika cuba melarikan diri menaiki sebuah kereta.

Beliau berkata, suspek ditahan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan bersama kereta Proton Waja yang dipercayai dicuri.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, polis menjumpai dua keping surat pajak dan pasport antarabangsa yang didaftarkan atas nama seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan menjadi mangsa ragut.

"Polis turut menemui dua bilah parang, tiga alat untuk mencuri kenderaan, tukul besi dan pemutar skru. Dengan tertangkapnya lelaki itu, kita percaya berjaya menyelesaikan 15 kes samun tepi jalan dan ragut di daerah ini," katanya.

Persatuan belia lesu akan diaktifkan

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

BATU PAHAT 20 Mei - Masalah persatuan belia di negeri ini yang dilihat semakin 'lemah dan lesu' akan menjadi perhatian dan agenda utama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Zulkarnain Kamisan.

Beliau berjanji akan berusaha menyuntik semangat baru kepada persatuan berkaitan supaya kembali menjadi platform golongan belia melakukan aktiviti termasuk riadah.

Menurut Zulkarnain, penelitian beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Exco mendapati kebanyakan persatuan belia kini hanya tinggal nama dan 'lesu' serta semakin dilupakan.

"Berikutan itu, saya akan mengadakan perjumpaan dengan persatuan belia di negeri ini bagi membincangkan masalah yang mereka hadapi selain mencari jalan penyelesaian yang dapat menaikkan semula nama persatuan belia.

"Menerusi perjumpaan itu nanti, kita yakin persatuan belia yang 'lesu' dan semakin 'tenggelam' dapat diaktifkan semula dengan melakukan pelbagai aktiviti yang mampu membimbing belia dan membentuk kumpulan pewaris masa depan negeri dan negara," katanya selepas merasmikan Kursus Kepimpinan Belia Siri 1 di Hotel Nouvo Park, di sini hari ini.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan itu, Zulkarnain berkata, pihaknya merancang menganjurkan Sambutan Hari Belia peringkat negeri yang berkonsepkan rohaniah pada pertengahan Jun ini di daerah Batu Pahat.

"Pelbagai program dirancang pada sambutan kali ini, termasuk usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada golongan belia," katanya.

Beliau memberitahu, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Jabatan Belia dan Sukan negeri tidak lama lagi.

Katanya, kerajaan negeri akan tetap menggerakkan semula persatuan belia selain bekerjasama dengan organisasi tersebut dalam menjalankan aktiviti untuk golongan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved