Utusan Online - Rencana |
Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT TAN SRI ZAINUDIN MAIDIN ialah Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia. PADA permukaan, jelas nampak hubungan diplomatik Malaysia dengan Republik Rakyat China tetapi sebenarnya dalam bidang hubungan rakyat dengan rakyat - yang lebih rapat ialah antara Malaysia dengan Taiwan. Persahabatan ini terjalin dalam bidang perniagaan dan juga pelajaran apabila banyak pelajar Malaysia berketurunan Cina belajar di universiti-universiti Taiwan. Walaupun dulunya Malaysia mempunyai dasar anti komunis tetapi setelah Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China, pejabat konsulat Taiwan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah ditutup. Hubungan dalam bidang perniagaan dan lain-lain antara Kuala Lumpur-Taipei tidak begitu ditonjolkan malah lawatan ke Taiwan tidak begitu digalakkan oleh kerajaan kerana tidak mahu menyinggung perasaan Republik Rakyat China terutama sekali pada era Tun Abdul Razak yang merintis hubungan diplomatik dengan China di bawah dasar luar yang bebas dan dinamik. Sebagai Pengarang Berita Kumpulan Utusan Melayu dalam tahun 1970-an, saya sering diingatkan oleh Ketua Pengarang agar saya tidak memberikan tempat kepada berita-berita lawatan rakyat Malaysia atau pegawai-pegawai Malaysia ke Taiwan. Kebanyakannya berlaku secara sulit tetapi pegawai-pegawai Taiwan secara agresif mendekati media Malaysia terutamanya akhbar-akhbar untuk mempromosikan hubungan dengan Malaysia, malah mempengaruhi Malaysia untuk mengiktiraf Taiwan kembali diterima dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat terus berlaku hingga sekarang, malah dengan lebih bebas dalam kalangan akhbar-akhbar Cina tanpa diberikan perhatian oleh kerajaan Malaysia yang percaya penuh kepada globalisasi tanpa batasan. Sekalipun sekarang dunia hanya mengiktiraf satu China tetapi kepada Amerika Syarikat (AS) tetap ada dua China. Iaitu Republik Rakyat China (di tanah besar China) dan Republik China atau Taiwan. AS memerlukan Taiwan sebagai clandestine (rakan sulit atau rakan tersembunyi) untuk mengimbangi kemaraan Republik Rakyat China sebagai kuasa baru dunia dalam bidang ekonomi dan ketenteraan. Usaha-usaha Taiwan untuk menubuhkan Negara China Ketiga di atas kekayaan dan penyatuan orang Cina di seberang laut atau di mana sahaja mereka berada sedang berjalan dengan giat terutama di Malaysia tanpa mendapat pemantauan sewajarnya daripada kerajaan. Semakin ramai pelajar Malaysia yang mendapat tempat dengan mudah di universiti-universiti Taiwan dan diberikan pelbagai kemudahan istimewa kerana mereka adalah kader (cadre) politik kepada gerakan kebangkitan China Ketiga di seberang laut. Sebahagian besar daripada mereka adalah kader daripada sebuah parti politik Cina di Malaysia. Taiwan yang mempunyai banyak pengalaman kecekapan dan kelicinan dalam bidang komunikasi dan perang saraf untuk memerangi komunis Republik Rakyat China boleh dianggap sebagai negara yang mempunyai kepakaran canggih dan hebat dalam bidang ini. Saya sendiri pernah menjadi tetamu kerajaan Taiwan pada masa Perang Dingin dan dapat menyaksikan kecekapan dan keupayaan mereka dalam bidang ini dengan penampilan pakar-pakar komunikasi yang meyakinkan dan mengagumkan. Republik Rakyat Cina tetap terus mencemburi Taiwan sebagai American's Clandestine (rakan sulit). Kerajaan Singapura juga mengawasi kegiatan anasir ini, kerana Singapura tidak mahu generasi barunya kembali jadi kecinaan setelah kejayaan dasar Singaporean Singapore yang dilaksanakan dengan tegas dan keras oleh Lee Kuan Yew. AS memerlukan Taiwan dan juga ASEAN sebagai rakan kongsi strategik bagi menghadapi sebarang kemungkinan bahaya daripada kuasa dunia yang akan menandinginya. Dalam pergolakan politik Malaysia, nama Taiwan tidak pernah muncul sebagai penyumbang kewangan terbesar kepada parti-parti politik Malaysia, sebaliknya yang selalu ditonjolkan ialah Yahudi dan Amerika Syarikat. Anwar Ibrahim dan DAP juga tidak pernah dikaitkan dengan Taiwan. Perkara ini tidak pernah dibangkitkan walaupun dari masa ke masa Malaysia dilanda tiupan semangat patriotik Cina dari Taiwan. Singapura yang memerlukan kestabilan politik Malaysia tidak akan membiarkan rakyatnya terlibat disusupi semula oleh semangat Cina dari Taiwan atau Republik Rakyat China. Kuan Yew telah menghancurkan chauvinisme Cina dengan menutup sekolah -sekolah Cina dan Universiti Cina dari awal pemerintahannya. Penyusupan anasir-anasir politik Taiwan ke Malaysia yang pada mulanya tidak begitu jelas, tetapi tertonjol sebagai pangkalannya apabila mereka terlihat masa yang sesuai telah tiba untuk menjadi lebih berani dan lebih terbuka. Penonjolan yang pertama ialah seorang berkelulusan Ming Chuan University, Taiwan, Wee Meng Chee yang lebih poopular dengan nama Namewee - begitu berani mengubah lagu Negaraku mengikut irama rap dengan lirik yang menghina negara, malah turut menghina pasukan polis, Melayu dan laungan azan. Tetapi Namewee telah diberikan kemaafan oleh kerajaan Malaysia. Dan yang kedua dan terkini ialah pelajar-pelajar Malaysia di Taiwan yang menterbalikan bendera Jalur Gemilang dan kemudian meminta maaf dengan alasan melakukanya atas dasar demokrasi. Apa yang berlaku ialah 'lurus jarum, lurus telunjuk'. Kesan kemaafan yang diberikan kepada Namewee itu membibitkan keberanian yang lebih besar yang menyusup, menerap dan akhirnya mendorong kebangkitan 'revolusi hitam' di jalanan yang sedang berlaku sekarang. Pelajar-pelajar Malaysia di Taiwan berpakaian hitam, penyokong politik pembangkang diketuai Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim juga berpakaian hitam dan di Singapura juga kumpulan revolusi hitam itu berpakaian hitam. Bagaimanakah adanya rangkaian hitam dan persamaan antara Taiwan dengan Malaysia? Siapakah yang membiayai pakaian hitam untuk ribuan penyokong pakatan pembangkang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Cina untuk menidakkan dan memburukan demokrasi Malaysia? Ini adalah revolusi hitam untuk menghitamkan nama Malaysia. Kumpulan revolusi hitam mungkin merasakan sebagai kemenangan politik bila Namewee dengan berpakaian biadap diterima masuk ke Bangunan Parlimen, tetapi sejak itu satu demi satu perasaan hormat kepada kepimpinan Melayu, kepada Perlembagaan dan kedaulatan negara semakin terhakis. Apakah tidak terfikir oleh kepimpinan Malaysia, ada parti politik yang telah menjadikan Taiwan sebagai pusat latihan pengkaderan bagi melancarkan revolusi hitam dan menjatuhkan kerajaan Melayu di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebahagian daripada Negara China Ketiga. Dalam hal ini pastinya Republik Rakyat Cina dan Singapura adalah rakan setia kita. |
Apabila Cina terus ikut angan-angan Anwar Spring Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT Pahit-Pahit Kopi KESAN dakwat kekal sudah hilang pada jari telunjuk tangan sebelah kiri. Kalau ada pun, mungkin kesan warna dakwat itu cuma kabur sebab terselit di celah kuku dan jari atau tak dicuci bersih. Hari ini, sudah lebih seminggu pemilihan wakil rakyat untuk menentukan pembentukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat telah berlalu. Semua orang masih memperkatakan kesan Pilihan Raya Umum Ke-13 - dikatakan ibu segala pilihan raya. Rasanya banyak pihak terkejut dengan keputusan itu. Barisan Nasional, dengan segala kekuatan jentera pilihan raya parti berasa yakin sebelum 5 Mei lalu bahawa calon-calon yang dianggap boleh menang mampu menambah jumlah kerusi yang dimenangi. Tetapi orang ramai yang memerhati satu demi satu keputusan pengundian pada malam keputusan berasa terkejut. Bagaimana beberapa nama hebat dan yakin menang itu akhirnya tewas besar. Begitu juga pakatan pembangkang, terutama Anwar Ibrahim yang terkejut kerana dia gagal untuk menawan Putrajaya. Tidak mahu mengaku hakikat sebenar, Anwar mendakwa undi untuk pakatan pembangkang telah dirompak. Macam biasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jadi sasaran untuk dipersalahkan. Anwar tuduh berlaku penipuan dalam PRU-13. Pengundi Cina yang terpedaya bahawa DAP dan pakatan pembangkang lain boleh menang besar turut ikut Anwar. Golongan Cina ini dan kaum kerabatnya yang ada di Singapura dan Taiwan mungkin terlalu ghairah mahu menumbangkan kerajaan yang dipimpin Melayu melalui orang Melayu juga. Mereka yang tertutup minda kerana taksub Cina akan berkuasa di negara ini, percaya melalui demonstrasi berbaju hitam, rakyat akan bangkit dengan gelombang hitam dan mungkin sehingga tercetus rusuhan kaum. Apakah sehingga peringkat inikah yang mereka mahu lakukan? Atas dasar apa Anwar dan Lim Kit Siang tuduh berlaku penipuan? Apa yang pelik, undi-undi yang memberi kemenangan kepada pakatan pembangkang di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sehingga berjaya mengekalkan kerajaan negeri tidak pula dipertikaikannya. Jika benar berlaku penipuan, eloklah semua peti undi dikira semula, baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Nampaknya Anwar macam lupa pada Rukun Iman yang keenam iaitu percaya qada dan qadar. Adakah dia mahu nafikan Rukun Iman itu? Dia sahaja yang betul? Lalu dia cuba menghasut penyokongnya supaya ikut siri demonstrasinya ke seluruh negara bermula dengan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya pada Rabu minggu lalu. Anwar tidak mahu terima kenyataan yang dia sudah tewas. Nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri belum padam. Anwar mahu rampas kerusi Perdana Menteri dengan cara tidak demokratik dan bermaruah. Apa tujuan dia menghasut rakyat supaya mempercayai PRU-13 tidak bersih. Apa mesejnya dengan slogan Tipu, Tipu, Tipu yang dijaja ke seluruh negara? Anwar dan pemimpin pembangkang terus bernafsu untuk meliwat pemikiran rakyat dengan tuduhan palsu tentang PRU-13. Pemantau pilihan raya bebas dan SPR sudah mendedahkan bahawa tiada pengundi daripada pendatang asing, tidak berlaku black-out ketika proses pengiraan undi, tiada peti undi hilang dan tiada pengundi hantu. Jika pembangkang ragu-ragu, mereka wajar buat petisyen di mahkamah. Guna saluran mahkamah dan bukan mengadakan perhimpunan haram dan menyebar fitnah. Niat pembangkang untuk menafikan pilihan rakyat secara sah cukup tidak demokratik. Tidakkah tindakan Anwar itu semata-mata untuk membakar semangat penyokongnya. Biar mereka bangkit menentang pihak berkuasa dan akhirnya tercetus kekecuhan. Jika perbuatan Anwar dan penyokongnya tidak dibendung, tidak mustahil Anwar Spring boleh berlaku di negara kita. Anwar sudah terdesak daripada menunggu lima tahun lagi diadakan pilihan raya umum. Pada masa itu, macam-macam boleh berlaku kepada pengundi atau dirinya sendiri. Bekas pemimpin ABIM itu mahu Anwar Spring berlaku dan kerajaan yang dipilih pada 5 Mei lalu ditumbangkan oleh segelintir rakyat yang tidak tahu menghormati undang-undang. Anwar mungkin percaya dengan sokongan dari dalam dan luar negara, Anwar Spring akan berjaya menobatkannya sebagai Perdana Menteri. Anwar tidak peduli agenda pembangunan menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang tujuh tahun sahaja lagi. Anwar tidak peduli kepayahan dan kesukaran rakyat menjalankan urusan harian apabila sesuatu lokasi sudah ditawan oleh penyokong pembangkang. Anwar tidak mahu ambil tahu urusan perniagaan dan lalu lintas terjejas atau tidak akibat tindakan perhimpunan mereka. Apa yang Anwar ambil tahu ialah biar jalan sesak untuk menunjukkan sokongan kepada misinya ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri. Apabila misinya tercapai, secara logik mungkin segala dakwaan berkaitan rayuan keputusan mahkamah terhadap kes liwat antara Anwar dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan serta dakwaan perbuatan jahat dan tidak bermoralnya akan dikatup tanpa banyak soal. Kita sudah nampak, niat siri perhimpunan Anwar Spring yang akan dianjurkannya bukan untuk membela rakyat dan keamanan negara, bukan untuk keadilan, sebaliknya usaha menimbulkan gelombang permusuhan antara dua pihak - mungkin BN dengan pembangkang atau Melayu dengan Cina. Tidak bolehkah rakyat Malaysia, usah ambil peduli apa yang Anwar lakukan, biarkan dia dengan angan-angannya! |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan