Utusan Online - Kota |
- Undang keresahan orang ramai
- Pengundi ibarat keluarga saya sendiri - Tengku Adnan
- Pemantauan berterusan dilakukan - MPSJ
Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Abdul Rahim Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama rakannya melihat keadaan longkang yang dipenuhi sampah sarap di Perhentian Bas Pantai Hill Park, Bukit Angkasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 12 Mei - Masalah longkang tersumbat sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di Perhentian Bas U74, Pantai Hillpark, Bukit Angkasa di sini terus mengundang keresahan orang ramai. Mereka mendakwa keadaan longkang yang dipenuhi kotoran dan air bertakung itu juga turut menjadi punca banjir kilat. Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati, keadaan longkang sepanjang 120 kaki itu benar-benar menyakitkan mata apabila dipenuhi sampah terapung yang turut mengeluarkan bau busuk. Seorang pemandu bas, Abdul Rahim Abdul Aziz, 48, berkata, masalah tersebut telah berlarutan sejak tujuh bulan lalu. "Jika musim hujan air dari longkang ini akan melimpah keluar bersama-sama sampah dan sisa makanan ke jalan raya sekaligus mengundang kejadian banjir kilat. Kami telah membuat aduan beberapa kali kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun tiada sebarang tindakan diambil," katanya ketika ditemui di sini. Turut dibangkitkan, masalah jalan berlubang di hadapan hentian bas itu yang didakwa mengundang bahaya kepada orang ramai. "Keadaan jalan di sini amat merbahayakan terutama kepada penunggang motosikal yang melaluinya pada sebelah malam. "Bagi penyelesaian jangka pendek kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batu dalam lubang tersebut,"katanya. Rakannya Ibrahim Karim, 37, berkata, kira-kira dua minggu lalu pihak DBKL ada meninjau lokasi terbabit dan mengambil gambar. Katanya, apa yang dikesalkan sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tindakan susulan diambil. "Kami amat berharap DBKL dapat datang ke sini dengan segera kerana kami sudah tidak tahan dengan masalah ini, lebih-lebih boleh mengancam keselamatan," ujarnya. Perasaan sama turut dikongsi penduduk berhampiran, Aminah Mat Parlu, 52. Dia berkata, sebagai pengguna pengangkutan awam keselesaan amat perlu diberikan. Katanya, setiap kali menunggu bas di situ, dia berasa tidak selesa melihat keadaan sampah sarap yang memenuhi longkang berhampiran. "DBKL perlu bertindak segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku," katanya. |
Pengundi ibarat keluarga saya sendiri - Tengku Adnan Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT Tengku Adnan PUTRAJAYA 12 Mei - "Kekuatan saya terletak kepada hubungan rapat yang terjalin erat sejak sekian lama antara saya dan para pengundi yang rata-rata terdiri daripada penjawat awam, mereka lebih mengenali saya," kata Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Setiausaha Agung UMNO itu memberitahu, sebagai orang lama, hubungannya dengan pengundi muda ibarat bapa dan anak manakala dengan yang senior tidak ubah seperti sahabat karib. "Kami sudah biasa bergurau senda, buat macam-macam program bersama dan ada yang boleh tidur baring di rumah, selalunya kami duduk bersembang sampai larut malam, bercerita, bergelak ketawa dan saling tegur menegur. "Semua ini dia (Datuk Husam Musa) tak tahu walaupun dia bawa satu gelombang kononnya Putrajaya akan jatuh ke tangan pembangkang berdasarkan kehadiran orang ramai dalam ceramah-ceramah anjurannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Tengku Adnan memberitahu, walaupun menerima kehadiran sehingga mencecah 25,000 orang pada ceramah anjuran pakatan pembangkang berbanding ceramah beliau yang dihadiri sekitar 4,000 hingga 5,000 orang, beliau tidak sedikit pun berasa gentar. Beliau sebaliknya berbangga kerana siri ceramah Barisan Nasional (BN) dihadiri pengundi Putrajaya manakala kehadiran puluhan ribu ke ceramah pakatan pembangkang rata-ratanya adalah pengundi luar. "Saya akui dalam ramai yang menyokong pembangkang itu, 10 peratus adalah pengundi saya. Tetapi yang penting apabila diminta membuat penerangan berkenaan Pas, siapa Pas sebenarnya, maka warga Putrajaya dapat membuka mata untuk menilai Pas sebenarnya bukan seperti yang digembar-gembur," katanya. Menurutnya, lagak Husam yang kononnya hendak menyelesaikan masalah sekolah agama di Putrajaya amat melucukan kerana sekolah rendah dan menengah agama rakyat sudah ada di Presint 9 dan 11 manakala sekolah menengah agama berasrama penuh di Presint 11 sedang dalam proses mendapatkan kelulusan. Isu perumahan untuk kakitangan awam katanya, sudah lama diperjuangkan dan apabila proses pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Husam mendakwa kerajaan mengambil idea beliau. "Saya berterima kasih kepada para pengundi dan bersyukur kerana masih diterima sebagai wakil rakyat, walaupun Husam datang dengan imej Islam hakikatnya dia tidak tahu bahawa saya sudah arahkan surau-surau diimarah dengan program pengajian tiga kali seminggu," katanya. Tengku Adnan juga percaya para pengundi semakin bijak untuk menilai dan tidak mudah dipermainkan oleh mereka yang menaburkan pelbagai janji manis. Menurutnya lagi, Putrajaya akan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada dirosakkan oleh pengundi-pengundi luar. Mengulas lanjut pertembungannya dengan Naib Presiden Pas itu, beliau berkata, selepas dua penggal menjadi wakil rakyat, Pas mungkin tidak menyangka beliau akan sekali lagi dicalonkan untuk penggal ketiga. "Mereka ingat senang nak makan tapi terperangkap bila tersalah baca, Perdana Menteri lebih tahu siapa calon yang boleh mempertahankan kerusi-kerusi tertentu. Sebab itu saya dicalonkan semula, terima kasih kepada Perdana Menteri dan pengundi di Putrajaya kerana terus memberi kepercayaan kepada saya," katanya. |
Pemantauan berterusan dilakukan - MPSJ Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT Asmawi Kasbi (kiri) melepaskan para peserta pada Program Kayuhan Hidup Sihat MPSJ Siri 3/2013 di Serdang, Selangor, kelmarin - UTUSAN/WAHIDAH ZAINAL SUBANG JAYA 12 Mei - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melakukan pemantauan secara berterusan di Pangsapuri Beringin, Puchong, dekat sini bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh 26 Mac lalu berulang. Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemantauan itu akan dilakukan dengan kerjasama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi memastikan kawasan terlibat benar-benar selamat. "Kita berharap tiada lagi kejadian seumpama ini berlaku kerana ia melibatkan keselamatan penduduk," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kayuhan Hidup Sihat MPSJ Siri 3/2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), dekat sini hari ini. Dalam kejadian tanah runtuh itu, seramai 228 penghuni di Blok B, Pangsapuri Seri Beringin, terpaksa dipindahkan ke Dewan MPSJ berhampiran berikutan kawasan itu tidak selamat untuk didiami. Selepas hampir dua minggu penduduk terlibat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah mendapat persetujuan MPSJ. Mengulas mengenai program tersebut, Asmawi berkata, program anjuran bersama MPSJ dan UPM itu diadakan bertujuan menerapkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan kayuhan basikal secara berkumpulan. "Selain itu, melalui program seperti ini ia mampu meningkatkan imej MPSJ selaku pentadbir perbandaran yang mesra rakyat dan alam sekitar. "Program ini juga dilihat berupaya menggalakkan penggunaan basikal untuk tujuan riadah," ujarnya. Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai Akademik UPM Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, program yang dianjurkan itu berbentuk santai dan bukan perlumbaan. "Seramai 80 peserta yang terdiri daripada 50 pelajar UPM dan 30 kakitangan MPSJ menyertai program kayuhan ini. "Para peserta akan berbasikal secara berkumpulan sejauh 30 kilometer mengelilingi keseluruhan kawasan kampus UPM dan kawasan perumahan Seri Serdang," katanya. Program kayuhan tersebut bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengah hari. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan