Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


3 lagi KR1M di Terengganu

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Za'abar Mohd. Adib (tengah) melihat barangan yang dijual di dalam Kedai Rakyat 1Malaysia semasa majlis perasmiannya di Kampung Tiong Pulau Serai, Dungun, kelmarin.

DUNGUN 7 April - Sambutan masyarakat yang menggalakkan terhadap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di negeri ini mendorong kewujudan tiga lagi kemudahan itu di negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman berkata, selain KR1M yang dirasmikan hari ini di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini, dua buah lagi akan menyusul pembukaannya iaitu di Kuala Nerus dan Marang.

Katanya, menjelang tahun depan, kerajaan menjangkakan lima buah lagi KR1M diwujudkan di seluruh negeri ini bagi melengkapkan taburannya di setiap kawasan Parlimen.

"Pada tahun lalu dua buah telah beroperasi di Kemaman dan Kuala Terengganu. KR1M bertujuan membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk mendapatkan bekalan keperluan pada harga lebih rendah.

"Barang-barang yang dibekalkan mempunyai kualiti yang sama dengan barangan di pasar raya lain, jadi tidak timbul soal barangan jenama 1Malaysia tidak bagus kerana kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan dan kualiti barang yang dijual di KR1M," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis perasmian KR1M daerah Dungun di Kampung Batu Tiong, Pulau Serai dekat sini semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun dan pemlik KR1M Kampung Batu Tiong, Zaki Ismail.

KR1M Kampung Batu Tiong beroperasi sejak akhir tahun lalu dan merupakan KR1M ketiga selepas KR1M di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu dan di Taman Permai Jaya, Kemaman yang dibuka awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Za'abar berkata, pembukaan KR1M tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan itu.

Jelasnya, pembukaan KR1M di kawasan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di kawasan sekitarnya.

Beliau turut mencadangkan agar pemilik KR1M dapat memberikan peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu untuk memasarkan produk mereka.

"Jika kita lihat, di KR1M telah sedia ada produk 1Malaysia dijual dan kita harap selepas ini produk-produk penduduk setempat dapat dijual di KR1M kerana ia sekali gus dapat membantu ekonomi rakyat sekitarnya," jelasnya.

Hotel wakaf beroperasi 15 April

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

KUALA TERENGGANU 7 April - Hotel wakaf pertama di negeri ini yang dinamakan Hotel Grand Puteri setinggi tujuh tingkat di Jalan Masjid Abidin di sini, akan mula beroperasi pertengahan bulan ini sebagai model hotel berciri Islam.

Pengurusnya, Wan Mohd. Ariffin Wan Mustafa memberitahu, hotel bertaraf tiga bintang di kawasan strategik di tengah pusat bandar raya ini menawarkan sebanyak 180 bilik dengan promosi kadar harga di bawah RM100 bagi jenis bilik tertentu sempena pembukaannya.

"Selain berada bersebelahan Masjid Abidin atau lebih dikenali Masjid Putih yang merupakan masjid tertua, hotel itu juga terletak berhampiran pasar Kedai Payang yang menjadi tarikan pelancong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi hotel itu digerakkan kira-kira 100 kakitangan, sebahagiannya merupakan kalangan anak-anak penerima zakat dalam usaha membantu keluarga mereka melalui peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Katanya, majlis penyerahan kunci akan diadakan esok oleh Jabatan Kerja Raya kepada Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia (Jawhar) yang kemudiannya menyerahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Maidam memperoleh peruntukan bagi membiayai pembinaan hotel itu dari Jawhar dalam usaha mempelbagai pendekatan menjana ekonomi tanah wakaf dan sektor pelancongan merupakan salah satu bidang berpotensi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan projek yang dimulakan pada Mei 2010 dengan kos sebanyak RM37.4 juta itu dijangka siap awal tahun lalu dan mulai beroperasi pada pertengahan tahun ini.

Maidam juga dilaporkan turut bercadang membina tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan Masjid Abidin bagi memberi lebih kemudahan kepada pelanggan hotel kerana kawasan tumpuan umum itu sering menghadapi masalah tempat letak kereta.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved