Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Lahad Datu: Murid di zon merah mula kembali ke sekolah

Posted: 08 Apr 2013 01:14 AM PDT

MURID-MURID Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian menyanyikan lagu 'Negaraku' semasa perhimpunan pagi setelah sekolah mereka dibuka semula hari ini dengan dikawal oleh pihak keselamatan. - BERNAMA

LAHAD DATU 8 April - Pakaian seragam sekolah, buku teks dan peralatan sekolah semuanya musnah akibat pencerobohan militan dari selatan Filipina di Sabah lebih sebulan lepas.

Bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat pelajar dari Kampung Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Lok Buani untuk kembali belajar apabila sekolah mereka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian dan SK Lok Buani dibuka semula hari ini, setelah lebih sebulan ditutup berikutan insiden pencerobohan itu.

Malah sebilangan besar daripada mereka hanya berpakaian biasa dan membawa sebuah buku yang diletakkan di dalam beg plastik ke sekolah hari ini.

"Dia bersemangat untuk menyambung kembali pembelajarannya walaupun semua keperluan sekolahnya musnah kerana rumah kami dibakar," kata Siti Rogayah Mahatmah, 46, seorang ibu yang menghantar anak lelakinya yang bersekolah di SK Tanjung Labian.

Suri rumah dari Kampung Tanjung Batu itu berkata kehadiran anggota tentera yang lengkap bersenjata serta jaminan guru tentang tahap keselamatan di sekolah itu membuatkan dirinya rasa selamat untuk menghantar anak lelakinya di Tahun Empat memulakan persekolahan.

Tinjauan Bernama di dua sekolah itu mendapati enam anggota tentera lengkap bersenjata mengawal sekitar kawasan sekolah sejak perhimpunan pagi bermula pukul 7 pagi.

Bagi Rahmah Abu, 43, pula insiden pencerobohan itu tidak sedikit pun dijadikan alasan untuk tidak menghantar tiga anak lelakinya ke sekolah.

Berlainan pula dengan seorang bapa, Nasarallah Mohamad, 50, yang belum berani menghantar anaknya ke sekolah itu kerana ingin meninjau keadaan keselamatan kawasan sekolah itu terlebih dahulu.

Buat masa ini, anaknya bersekolah di sekolah lain berdekatan rumah saudara yang ditumpangi beliau sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih.

Sementara itu, perhimpunan pagi sekolah itu memberi suasana berbeza apabila diselitkan dengan ucapan kata-kata semangat kepada pelajar, terutama mereka yang terjejas teruk ekoran insiden itu.

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan doa yang menyelitkan tentang musibah yang melanda, sebelum ucapan para guru yang menaikkan semangat murid, ucapan syabas dan tahniah kerana kehadiran mereka dan sedikit makluman mengenai operasi sekolah setelah sebulan ditutup.

Walaupun kehadiran murid agak kurang ekoran ada antaranya masih bersekolah sementara di kawasan sekitar, mereka yang hadir dilihat cukup bersemangat ketika menyanyikan lagu "Negaraku", "Perajurit" dan lagu negeri Sabah. - BERNAMA

Masanya sudah tiba - Najib

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL, HELMI MOHD. FOAD dan HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

NAJIB Tun Razak memakai topi keledar IM4U bersama Noh Omar (kanan), Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri), Mohd. Zin Mohamed (dua dari kiri) dan Ungku Salleh Ungku Jamal (belakang kanan) ketika majlis perhimpunan Patriotik Anak Muda Selangor dan mengagihkan topi keledar IM4U kepada anak muda Selangor di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

SHAH ALAM 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak 2.1 juta pengundi di Selangor termasuk 45 peratus daripadanya orang muda melakukan perubahan dengan menukar kerajaan negeri sedia ada kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum terdekat ini.

Menjadikan Selangor negeri pertama dijelajahinya selepas melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) semalam, Perdana Menteri mengingatkan selepas banyak janji gagal ditunaikan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), masa untuk peralihan kepemimpinan negeri itu sudah tiba.

"Pilihan raya kali ini untuk semua, lebih-lebih lagi orang muda sebab orang muda penentu kejayaan.

"Parti ini (pakatan pembangkang) gagal tepati janji, tadbir Selangor serta selesaikan masalah rakyat.

"Masanya telah tiba untuk melakukan perubahan dan tukar kerajaan negeri ini. Tukar...tukar...tukar. Gelombang Biru...gelombang biru...gelombang biru," tegas beliau sambil disambut yang sama daripada lebih 5,000 orang yang menghadiri Himpunan Patriotik Anak Muda Selangor di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Koordinator BN Selangor yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Rahim dan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal serta para pemimpin parti komponen BN Selangor.

Najib berkata, golongan muda memberikan mesej jelas bahawa mereka sudah bersiap sedia untuk bertindak menukar kerajaan negeri Selangor dengan memberikan sokongan padu kepada BN.

"Ibu tunggal merana sehingga mereka saman kerajaan negeri, begitu juga warga emas dan golongan muda, kita tidak boleh kekalkan kepimpinan yang tidak menepati janji.

"Manifesto pembangkang adalah fantasi dan khayalan sebab Menteri Besar kata manifesto bukan satu perjanjian," katanya.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa manifesto BN adalah aku janji kerajaan BN antaranya mahu mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaaan, satu juta rumah mampu milik dan menambah jumlah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk orang muda.

"Kita akan memberikan tumpuan kepada orang muda," katanya.

Perdana Menteri memberi jaminan akan memastikan pentadbiran negeri yang lebih baik sekiranya BN kembali memerintah Selangor.

"Kita akan menyelesaikan masalah air, kerana kita sudah melabur banyak dan terowong air sudah hampir siap. Bagi kerajaan negeri cukuplah jangan hendak kuasai syarikat (konsesi air), selesaikan masalah rakyat, sampah sarap tidak dibersih, judi haram bertambah dan banjir kilat."

''Sudah cukup tipu helah dan pembohongan mereka, BN akan melakukan perubahan besar kepada Selangor," katanya.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyerahkan pemberian 22,000 topi keledar berwarna biru untuk diedarkan kepada 22 kawasan Parlimen di negeri ini.

"Ini bukan sebarang topi keledar, KP1M misinya sudah berubah daripada misi kemanusiaan, sekarang misi mesti menang, kita warnakan semuanya warna biru.

"Selangor akan kita birukan, pemuda-pemuda akan menjadi panglima di barisan hadapan, tidak akan takut dan kita akan serang untuk pastikan BN menang pada kali ini," katanya.

Rakyat perlu nilai secara serius

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin meluangkan masa minum petang dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/Safiyana salim

KUALA LUMPUR 7 April - Rakyat perlu memandang serius aku janji Barisan Nasional (BN) kerana ia menyebut dengan jelas apa yang akan dilakukan parti itu dalam tempoh lima tahun akan datang jika diberi mandat memimpin negara.

Ini kerana berbeza dengan manifesto populis pembangkang yang terbukti sekadar janji kosong kerana banyak tidak ditunaikan sejak 2008, aku janji BN dinyatakan secara hitam putih bagi memperlihat komitmen serta iltizam parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aku janji tersebut dibuat dengan komprehensif bagi menerangkan kepada rakyat satu persatu mengenai 17 bidang utama yang bakal dilaksanakan untuk penggal akan datang.

"Tentu rakyat yang bijaksana dapat menilai antara aku janji BN dengan manifesto pembangkang, mana satu yang boleh diyakini dan ditepati. Pastinya rakyat sedar bahawa hanya BN sahaja yang komited menunaikan segala janji-janji.

"Apa yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu komitmen kerajaan serta parti BN untuk mengangkat martabat bangsa, agama dan negara Malaysia ke arah masa depan lebih gemilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Bilik Gerakan Jentera BN Bahagian Batu, di Dataran UMNO Batu, Taman Bullion Mewah di sini hari ini.

Malam semalam, Najib melancarkan aku janji bertema Menepati Janji Membawa Harapan mengandungi 17 teras utama yang disifatkan banyak pihak sebagai realistik serta komprehensif meliputi hampir semua aspek kehidupan rakyat.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang diiringi beberapa pemimpin BN tempatan meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk minum petang serta beramah mesra dengan penduduk Kampung Padang Balang, di Dataran Buah, Sentul.

Dalam perkembangan yang sama Muhyiddin berkata, rekod pentadbiran BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam menunai janji sejak empat tahun lalu harus menjadi panduan kepada rakyat ketika membuat penilaian.

Katanya, beliau yakin pengundi dapat menilai parti mana yang jauh lebih komited dan mempunyai rekod cemerlang dalam mendahulukan rakyat kerana apabila diberi peluang mentadbir negara ternyata pakatan pembangkang telah gagal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved