Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Bot pancing rempuh bot nelayan

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

ROMPIN 8 April - Dua lelaki warga Singapura terbunuh, manakala seorang lagi hilang dan lima cedera setelah bot memancing yang mereka naiki merempuh sebuah bot pukat tunda di 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Gemok berhampiran Pulau Payang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Raymond Cheng Yuen Chi, 35, dan Ng Eng Hua, 37, akibat cedera parah di bahagian kepala selepas terkena hentakan kuat selepas pelanggaran itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, kejadian berlaku ketika bot dinaiki lapan pemancing itu tidak menyedari kehadiran bot pukat tunda dari arah Pulau Tioman menuju ke Tanjung Gemok.

"Bot dinaiki kesemua mangsa dipercayai keluar dari Jeti Kampung Sungai Puteri sejak awal pagi untuk melakukan aktiviti di sekitar perairan Tanjung Gemok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Johari berkata, sehingga kini pihaknya masih belum berjaya mengesan seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang sehingga pukul 7 petang semalam.

Menurut beliau, pihaknya telah menggerakkan dua bot Pasukan Polis Marin pada pukul 8 pagi ini bagi mencari seorang lagi mangsa yang hilang di sekitar perairan tersebut.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu turut dibantu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot-bot persatuan memancing dari Kampung Sungai Puteri di sini.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat, manakala tiga rakan mereka yang cedera turut dirawat di hospital sama dan dua lagi dihantar ke Poliklinik Kuala Rompin untuk rawatan lanjut," katanya.

Ahli perniagaan, adik perempuan cedera parah ditembak

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

BUKIT MERTAJAM 8 April - Seorang ahli perniagaan dan adik perempuannya cedera parah selepas ditembak lima das oleh seorang daripada dua suspek di hadapan rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, Bukit Tengah di sini malam tadi.

Ketika kejadian pada pukul 8.45 malam itu, N. Ashok Charles, 36, dan adik perempuannya, N. Elengeswary, 30, dikatakan sedang berbual bersama tiga ahli keluarga di hadapan rumah mereka sebelum muncul suspek yang bertopeng dan melepaskan tembakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, siasatan mendapati suspek datang ke rumah mangsa bersama seorang rakannya dengan menaiki sebuah kereta.

"Suspek kemudian turun dan melepaskan lima das tembakan ke arah kedua-dua mangsa sebelum memecut kenderaan mereka. Tembakan yang dilepaskan suspek mengenai dada kiri ahli perniagaan itu manakala adik perempuannya pula cedera di tangan kiri.

"Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mazlan menambah, polis sedang menyiasat motif kejadian itu dan sekiranya ada kaitan dengan insiden serangan terhadap adik lelaki mangsa pada 21 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, pemilik syarikat pengangkutan, N. Mugesh Egmond diserang oleh beberapa lelaki berparang yang menaiki dua buah kereta di Jalan Tembikai di sini.

Kedua-dua suspek mengejar Mugesh dan menetak tangannya sehingga putus dan dilarikan oleh penyerang terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved