Rabu, 24 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Imam Mahadi,' tertuduh ditembak kerana enggan serah diri - saksi

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Muhdalena Ahmad

PUTRAJAYA 24 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, seorang anggota polis bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah dua individu dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu selepas mereka enggan meletakkan senjata yang dipegang serta menyerah diri.

Koperal Ridzuan Megat Ahmad, 32, memberitahu, dia melepaskan dua das tembakan ke arah Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, serta satu das lagi ke arah tertuduh, Muhdalena Ahmad , 28, selepas empat amaran dikeluarkan.

Anggota Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu menceritakan, dia bersama seorang lagi anggota bergegas ke JPM sebaik sahaja menerima panggilan berhubung satu kejadian amuk.

Saksi menyatakan, setibanya di situ, kedua-duanya yang ketika itu bersenjatakan parang panjang dilihat mara ke arah mereka dalam jarak kira-kira 15 meter menyebabkan dia mengeluarkan arahan agar mereka meletak senjata dan menyerah diri.

Ujarnya, Khalil Afandi bagaimanapun enggan mematuhi arahan dan sebaliknya menggertak polis supaya jangan mencampuri urusan kedatangannya ke situ sambil mengugut untuk memancung kepala mereka dengan parang panjang.

Menurut Ridzuan, kedua-duanya semakin menghampiri polis menyebabkan dia mengeluarkan tiga lagi amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah bahagian bawah tubuh mereka.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh, saksi pendakwaan itu menyatakan, dia terpaksa melepaskan tembakan kerana jaraknya dengan kedua-dua individu tersebut terlalu dekat iaitu kira-kira tiga meter sahaja.

"Saya terpaksa mengambil tindakan kerana saya diserang dan tiada ruang untuk menyelamatkan diri manakala kedudukan mereka yang ketika itu bersenjata terlalu hampir," ujarnya pada sesi pemeriksaan utama.

Ridzuan menyatakan, kedua-duanya yang tercedera kemudian bergerak ke kaki lima jalan dan duduk di situ sambil meletakkan senjata. Lelaki itu selanjutnya menyatakan: 'Saya menyerah.'

Dalam kejadian itu, Khalil Afandi yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi' terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari dan tangan kiri manakala Muhdalena cedera pada paha kanannya.

Ridzuan turut disoal balas oleh peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena, mengapa dia tidak melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menghentikan kedua-duanya daripada terus mara ke arah polis.

Anggota polis berkenaan menyatakan, dia tidak dapat berbuat demikian kerana kejadian berlaku di kaki lima bangunan berbumbung.

Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa perbuatannya melepaskan tembakan adalah melampau kerana tindakan yang sepatutnya diambil ialah menangkap mereka, bukannya menembak kedua-duanya.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhdalena yang didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Ridzuan dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.

Muhdalena turut didakwa atas tuduhan lain iaitu tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.

Dia turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Kamil Nizam bersambung pada 12 dan 13 Jun depan.

'Tuhan Harun' didakwa atas 11 pertuduhan

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Harun Mat Saad dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 24 April - Seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan ajaran sesat dikenali sebagai 'Tuhan Harun' didakwa di Mahkamah Syariah di sini hari ini atas 11 pertuduhan termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan.

Harun Mat Saad, 47, menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 pertuduhan lagi di Mahkamah Rendah Syariah, kesemuanya mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Syariah, Harun didakwa menyebarkan ajaran sesat yang bercanggah dengan syariat Islam dengan mengaku sebagai 'Tuhan Harun' di sebuah premis di B16-1st Lorong Pandan Damai 2/201 di sini antara awal Februari dan 4 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 162(1) Enakmen tersebut yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau sebatan tiga kali atau ketiga-tiganya.

Hakim Syarie, Mohd. Yusof Ab. Ghani membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin sementara menunggu perbicaraan selama tiga hari mulai 2 Julai depan.

Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah pula, bagi tuduhan pertama, Harun pada masa dan tempat yang sama, didakwa secara lisan dan bertulis membawa secara penghinaan kepada agama Islam dengan mengaku diri sebagai 'Tuhan 2013'.

Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Enakmen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan kedua, ketiga dan keempat, Harun didakwa mencetak dan menerbitkan dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak bertajuk buku teks 'Maha Graduan, Harun Tuhan 2013' dan 'Tuhan 2013'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga premis masing-masing beralamat A165, tingkat atas Farmasi Ghazali, Lorang IM 16/1, Bandar Indera Mahkota; B36, Tingkat 2, Lorong Seri Teruntum 39, Jalan Bukit Ubi; dan B16-1st Lorong Pandan Damai 2/201 di sini.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 164(1) boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan kelima hingga ketujuh pula, tertuduh didakwa dalam kawalannya telah menyimpan dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak bertajuk buku teks 'Maha Graduan, Harun Tuhan 2013' dan 'Tuhan 2013' di ketiga-tiga premis yang sama.

Pertuduhan kelapan hingga ke-10 pula menyebut, Harun didakwa menyimpan dokumen yang bertentangan dengan hukum syarak bertajuk buku teks 'Maha Graduan, Harun Tuhan 2013' dan 'Tuhan 2013' yang boleh memberi sebab dengan membawa maksud untuk disebarkan.

Ketiga-tiga pertuduhan terakhir itu dikemukakan mengikut Seksyen 164(2) yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sementara pertuduhan kelima hingga ketujuh dikemukakan mengikut Seksyen 165 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali Al-Fakwie membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 bersama dua penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 20 dan 21 Ogos depan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie negeri, Salehuddin Ab. Manaf.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved