Rabu, 24 April 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Tasbeeh tawar pakaian siap

Posted: 24 Apr 2013 02:00 AM PDT

Intan Zawira Ali bersama koleksi pakaian siap di butiknya.

PEMILIKNYA, Intan Zawira Ali, 36 tahun berkata, Tasbeeh sebenarnya bukanlah butik baru bagi dirinya, sebaliknya telah mula berniaga sejak tujuh tahun lalu di Kemaman, Terengganu, negeri kelahirannya.

Ketika itu Intan menumpukan kepada menyediakan cenderahati pengantin, barangan hiasan rumah, hantaran perkahwinan dan menjahit manik baju.

Bagaimanapun, kerana masalah berulang-alik dari Kemaman ke Kuala Lumpur (kerana suami bertugas di Kuala Lumpur), Intan mengambil keputusan menutup kedai di Kemaman dan mencuba nasib di ibu negara.

Kini telah setahun Tasbeeh dibuka di Ukay Boulevard, Hulu Klang dan sambutan yang diterima di kalangan pelanggan amat memuaskan.

Menurut ibu kepada tiga orang anak yang berumur 14 tahun, lapan tahun dan tiga tahun ini, Tasbeeh kini lebih kepada menerima tempahan baju juga menyediakan pelbagai rekaan baju yang sudah siap.

Selain itu beliau juga menerima tempahan daripada syarikat-syarikat haji dan umrah bagi menyediakan kain ihram, uncang kasut, uncang batu dan sebagainya.

Mempunyai dua orang tukang jahit dan tiga orang yang ditugaskan menjahit manik, Intan sendiri boleh memotong dan menjahit baju.

Pelanggannya terdiri daripada pelbagai golongan daripada sederhana kepada peringkat tinggi. Istimewanya kerana jika pelanggan tidak dapat datang ke butik, Intan sendiri sanggup berjumpa mereka untuk mengambil ukuran dan setelah baju siap, Intan akan menghantar kepada mereka.

Saya tidak kisah pergi berjumpa pelanggan. Setakat ini saya telah ke Cheras, Ampang dan Puchong untuk berjumpa pelanggan.

Dalam perniagaan ini, kita harus pandai menjaga hati pelanggan. Jika mereka tidak dapat berjumpa kita, biarlah kita pula yang berjumpa mereka, kata Intan yang ditemui di butik beliau baru-baru ini.

Intan berkata, harga tempahan sepasang baju ialah di antara RM120 hingga RM800 bergantung pada jenis kain dan jahitan manik yang diperlukan. Baju yang ditempah akan siap dalam masa 10 hari.

Selain baju kurung, dres, jubah dan sebagainya, Intan kini telah mula membuat pakaian muslimah dan akan menjual secara runcit dan borong sebagai persiapan menyambut kedatangan hari raya. Harga setiap pasang pakaian ini adalah di antara RM139 hingga RM500 bergantung kepada jenis kain.

Menurutnya, mereka yang membeli lebih daripada enam pasang pakaian muslimah ini boleh mendapat harga borong.

Intan yang memulakan perniagaan ini bermodalkan RM100,000 bercadang untuk membuka kilang pakaian sendiri menggunakan jenama Tasbeeh di mana peniaga-peniaga pakaian boleh mendapatkan terus daripadanya secara borong.

Saya memang berhasrat untuk mengenengahkan jenama Tasbeeh supaya dikenali bukan setakat di Malaysia malah di luar negara juga.

Saya sudah banyak mengeluarkan modal dan saya tidak akan menyerah malah akan terus berusaha untuk memajukan perniagaan, ujarnya yang mendapat sepenuh sokongan dan tunjuk ajar daripada suami dalam bidang perniagaan.

Intan yang boleh dihubungi di 012-9217444 mengakhiri pertemuan dengan menambah, dalam perniagaan juga kita harus jujur, amanah dan mengikut sistem Islam supaya diberkati Allah. - MERAN ABU BAKAR

Eksklusif Amee Philips

Posted: 24 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar FARIZ RUSADIO (Pelatih Peretak)

Barisan model yang menggayakan set aksesori terbaru daripada Amee Philips.

BAGI memberi lebih banyak pilihan untuk wanita yang gemarkan barang kemas mewah, koleksi eksklusif daripada jenama Amee Philips kembali lagi dengan tema Phoenix Collection.

Koleksi terbabit adalah rentetan pelancaran rangkaian terbaru Amee Philip di Mandarin Oriental's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meminjam inspirasi daripada kecantikan dan keindahan burung merak, Amee mengolah perhiasan mewah itu ke dalam bentuk barang kemas sedia dipakai.

Penampilan batu-batu permata dengan warna menarik seperti hijau, biru dan merah delima berserta hiasan berlian bergemerlapan membuatkan koleksi terbaru kali ini cukup eksklusif.

Penciptaan koleksi itu diolah berdasarkan keindahan dan kisah dongeng burung merak selain mitos Cleopatra, seorang wanita yang dipuja kerana kecantikannya dalam sejarah Mesir.

Ternyata rekaan terbaru ini membangkitkan keghairahan dan nilai eksklusif kepada si pemakai.

Pengasas kumpulan jenama tersebut, Amee Philips berkata, koleksi terbaru ini direka dengan seni kraf tangan untuk menambahkan lagi keanggunan, kecantikan dan nilai sofistikated.

"Menjadi impian saya untuk mengetengahkan kecantikan dan kekuatan dalam dunia seni rekaan aksesori. Harapan saya semoga wanita yang memakai perhiasan daripada koleksi ini akan mendapat kekuatan dalaman selain menonjolkan keindahan, kilauan dan keunikan batu permata," katanya.

Philips berkata, koleksi terbaru ini meliputi set rantai, anting-anting, kerongsang dan rantai tangan dengan semuanya direka dengan gabungan pelbagai batu permata seperti ibu mutiara, batu delima dan rubelite, berlian, aquamarine, nilam, tsavorite dan jade.

"Menariknya, setiap batu permata telah diambil dan diubah suai setiap inci secara teliti dengan mahkota yang menggunakan nilam iaitu simbolik kepada api dan keghairahan yang menggambarkan tentang karakter burung merak.

"Koleksi ini menawarkan pelbagai jenis rekaan dengan gaya yang unik dan menarik. Batu permata yang digunakan untuk setiap rekaan juga dipilih dengan warna yang berbeza, bentuk dan saiz," katanya.

Philips berkata, beliau hanya memilih batu permata terbaik bagi memuaskan hati pelanggan yang membeli barang kemas daripada koleksi eksklusif yang dihasilkannya.

"Koleksi kali ini tidak hanya menjadi simbol gaya dan fesyen, malah ia boleh dijadikan barang perhiasan untuk persalinan pengantin wanita dan juga warisan keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved