Rabu, 24 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


'Kami bahagia bersama BN'

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
editor.johor@utusan.com.my

Pusat Rukun Tetangga Kangkar Baru yang dibina untuk kemudahan rakyat seperti yang dijanjikan oleh BN sewaktu PRU 2008.

AYER HITAM 22 April - "Kami bahagia bersama BN (Barisan Nasional)."

Demikian kata-kata yang diluahkan penduduk di sekitar Parlimen Ayer Hitam apabila ditanya tentang prestasi pentadbiran BN di kawasan tersebut.

Bagi penduduk, bahagia yang dimaksudkan bukan retorik tetapi realiti yang lahir dari hati apabila wakil rakyat dan kerajaan BN tidak pernah berjauhan daripada mereka.

Sebaliknya setiap kepayahan, tuntutan dan masalah penduduk sentiasa diambil berat serta diselesaikan oleh wakil rakyat BN yang diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Percaya atau tidak, penduduk memberitahu, BN telah bekerja keras bersama mereka sehingga berjaya menyelesaikan sebanyak 95 peratus masalah penduduk di kawasan Parlimen berkenaan sejak 2008.

Bukan sekadar itu, tetapi penduduk juga berbangga apabila kerajaan negeri tidak terlepas pandang untuk menaik taraf bandar Ayer Hitam kepada bandar yang lebih moden, mesra pengguna dan tersusun ketika ini.

Penduduk Kangkar Baru, Wong Chu Ngouyoh berkata, walaupun tinggal berjauhan dari bandar Yong Peng, namun penduduk di kawasan tersebut sentiasa mendapat perhatian wakil rakyat BN selain bantuan daripada kerajaan negeri dan Pusat.

"Sebagai bukti tuntutan penduduk terhadap hak milik tanah yang diduduki sejak turun menurun telah diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Dalam tuntutan itu seramai 184 penduduk pelbagai kaum telah mendapat geran tanah bagi tapak kediaman mereka dan baki puluhan penduduk lagi dari Kampung Melayu Kangkar Baru dikhabarkan akan diberikan hak dalam tempoh tersekat," katanya.

Berikutan penerimaan geran berkenaan, dia meminta penduduk pelbagai kaum supaya menghargai jasa kerajaan BN dan terus menyokong kuat parti berjiwa rakyat itu.

Selain itu, seramai 69 penduduk Parit Lapis Khalid, di sini antara yang turut menerima geran pemilikan tanah masing-masing daripada Pejabat Tanah dan Galian daerah yang keseluruhanya seluas 66 hektar.

Penerima geran tanah, Abdul Malik Abdul Aziz, 43, berkata, rata-rata penerima geran tersebut terdiri daripada generasi ketiga peneroka yang mengusahakan kebun kelapa sawit dan mendirikan rumah di atas tanah milik kerajaan.

"Pemberian kerajaan dalam tempoh enam tahun selepas tuntutan dibuat merupakan hadiah terbesar bagi keluarga di sini untuk mereka terus menetap dan mengusahakan kebun masing-masing.

"Tuntutan ini tidak akan berjaya sekiranya ia bukan berpunca daripada keprihatinan kerajaan negeri termasuk wakil rakyat BN di sini. Ini kerana wakil rakyat turut berusaha bagi mendapatkan hak tanah untuk kami," katanya.

Bagi Rusmiah Ariff, 60, dari Temehel, penduduk Parlimen Ayer Hitam kini bahagia bersama BN apabila keseluruhan masalah mereka telah diselesaikan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk berdepan dengan pelbagai masalah seperti banjir, jalan kampung tidak berturap, jalan berlubang serta kekurangan tempat rekreasi seperti balai raya.

"Bagaimanapun, semua masalah itu telah diselesaikan menerusi projek tebatan banjir dan pembinaan parit baharu termasuk di kawasan kampung saya sendiri.

"Dengan adanya parit tersebut, kami tidak perlu risau apabila hujan lebat kerana air dapat mengalir dengan sempurna. Begitu juga yang dirasai penduduk di kampung-kampung lain di sini," ujarnya.

Selain itu, kerajaan turut membina tujuh balai raya baharu, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil serta gelanggang futsal.

Dengan pembinaan kemudahan tersebut, ia telah memberikan impak besar kepada penduduk khususnya tentang masa depan dan hala tuju Ayer Hitam.

Berikutan itu, penduduk menganggap mereka bahagia di bawah pentadbiran BN ketika ini dan tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang hanya hadir semasa pilihan raya.

Menurutnya, disebabkan segala usaha yang telah dilakukan BN di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ, penduduk tidak mempunyai pilihan lebih baik daripada BN.

"Kalau dilihat ceramah pembangkang di sini mereka juga tidak mampu mencari masalah penduduk tempatan untuk diperbesarkan kerana kesemuanya telah diselesaikan sebaik mungkin.

"Penduduk dapat merasai gagasan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu rakyat didahulukan serta janji ditepati menerusi kerajaan BN negeri serta wakil rakyatnya," katanya.

Kelas mengaji Parit Haji Ali lahirkan ramai qari, qariah

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Kelas pengajian al-Quran di Masjid Jamek Al Hidayah, Parit Haji Ali, Semarang sejak 13 tahun lalu telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah di kawasan berkenaan.

AYER HITAM 22 April - Siapa sangka di sebalik kawasan perkampungan serta ladang kelapa sawit di Parlimen Ayer Hitam sebenarnya terdapat sebuah kelas pengajian al-Quran tersohor di daerah ini iaitu di Parit Haji Ali, Semarang di sini.

Walaupun kelas pengajian itu tidak diadakan di bangunan persendirian dan dilengkapi peralatan canggih termasuk meja dan kerusi, namun ia tidak menjadi halangan kepada seramai 169 pelajar untuk meneruskan pengajian di Masjid Jamek Al Hidayah.

Setelah menjangkau usia 13 tahun, kelas pengajian al-Quran itu kini mempunyai 82 pelajar dewasa dan 87 kanak-kanak, menjadikan keseluruhan pelajar sebanyak 169 orang.

Jika dilihat semasa kelas pengajian itu berlangsung pada tengah hari dan malam, ia kelihatan cukup tenang dengan pelajar hanya duduk di lantai ruang depan masjid.

Pengerusi Masjid Jamek Al Hidayah, Masran Mohd. Roslan berkata, setiap pengajian tidak diadakan dalam keadaan formal, sebaliknya lebih terbuka supaya ia tidak memberi tekanan kepada penduduk.

Menurutnya, kelas pengajian untuk lelaki dikendalikan oleh Misri Senim, manakala pelajar wanita dipimpin Normala Jamaan.

"Selain perkara asas tajwid dalam pembacaan al-Quran, penduduk yang telah lama mempelajari pembacaan al-Quran akan membantu pelajar baharu atau penduduk yang lebih muda bagi melahirkan qari dan qariah daripada pelbagai lapisan umur.

"Walaupun tiada wakil dari kelas pengajian ini yang ke peringkat negeri, tetapi kami bersyukur kerana mampu menghantar wakil ke pertandingan peringkat mukim dan zon," katanya di sini baru-baru ini.

Masran memberitahu, selain kesepakatan penduduk dalam mengimarahkan masjid, kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri turut memberi sokongan tidak berbelah-bahagi.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini bercadang untuk membina bangunan bagi menambah keselesaan pelajar tetapi ahli jawatankuasa masjid lebih selesa dalam keadaan sekarang.

"Bagaimanapun, BN tetap memberi sokongan padu selain menyokong majlis yang diadakan serta menghantar wakil bagi menghadiri program masjid.

"Hingga sekarang kami tidak pernah menghadapi sebarang masalah atau halangan daripada kerajaan negeri, malah mereka menyokong dan berharap kelas ini diteruskan lagi untuk jangka masa panjang," kata Masran.

Menurutnya, kelas pembelajaran al-Quran bagi kanak-kanak dapat membantu kerajaan negeri dalam memperkasakan sekolah agama yang terletak di kawasan sekitar.

Kata beliau, kelas bacaan al-Quran itu juga menjadi platform bagi penduduk membantu kerajaan negeri meningkatkan syiar Islam di sini serta daerah lain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved