Isnin, 15 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Jadikan bidang sukan kerjaya jangka panjang - Razali

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

RAZALI Ibrahim (di belakang) bersama murid-murid sekolah yang menyertai Karnival Multilateral Institut Sukan Negara Sukan di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

MUAR 14 April - Kesedaran ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan sebagai kerjaya pada masa depan, masih berada di tahap yang rendah kerana ramai yang lebih mengutamakan akademik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, persepsi sukan tidak menjamin masa hadapan perlu diubah kerana bidang itu boleh menjadi satu profesion jangka panjang seperti bidang lain.

"Ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak-anak untuk terlibat dalam bidang sukan kerana mereka boleh menjadi jurulatih bertauliah, atlet atau ahli sukan.

"Ini bukan sahaja untuk mempraktikkan gaya hidup sihat tetapi membantu menambah baik prestasi sukan negara pada masa depan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Multilateral Institut Sukan Negara (ISN) - Tarik Minat Kanak-Kanak Dalam Sukan di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Seramai 350 orang kanak-kanak daripada 10 buah sekolah sekitar Parlimen Muar mengambil bahagian dalam program anjuran ISN itu yang bertujuan menanam minat bersukan di samping melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Kanak-kanak tersebut diperkenalkan dengan lima sukan popular iaitu bola sepak, hoki, bola jaring, memanah dan ragbi selain turut terdapat aktiviti asas latihan fizikal dan elemen kemahiran multilateral.

Razali berkata, pada masa ini golongan ibu bapa terlalu menumpukan bidang pelajaran supaya anak-anak dapat memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau menjadi ahli profesional contohnya doktor, guru dan jurutera.

"Usaha melahirkan atlet atau ahli sukan sejajar hasrat Kementerian Pelajaran yang mahukan keseimbangan antara akademik dan sukan, bertujuan menambah baik prestasi sukan negara dalam penghasilan atlet bertaraf dunia," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd. Zahid Azmi, 11, menyifatkan program tersebut amat bermanfaat untuk generasi muda sepertinya memupuk minat dalam bidang sukan terutama kanak-kanak yang mempunyai bakat dalam bidang tersebut.

"Melalui program ini, saya dapat mengetahui undang-undang dalam beberapa jenis sukan, berkenalan dengan rakan baru dan melakukan aktiviti sukan kegemaran saya," ujarnya.

58 nelayan miskin terima bantuan jaring udang

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

KOTA TINGGI 14 April - Seramai 58 nelayan menerima peralatan jaring menangkap udang bernilai RM400 setiap seorang di pekarangan Nelayan Beach Resort, Teluk Ramunia, Pengerang, di sini sebagai bantuan dalam usaha meningkatkan hasil tangkapan.

Bantuan peralatan yang disampaikan oleh penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

"Ini adalah salah satu usaha dan janji yang ditunaikan kerajaan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka. Setiap tahun kerajaan akan mengeluarkan peruntukan bagi membantu golongan yang memerlukan ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian tersebut.

Yang turut hadir Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang, Abdul Fatah Alkhairi Mustapa dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pangkalan Sungai Musuh (PKNPSM), Zakaria Idris .

Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang turut meminta masyarakat nelayan agar tidak terpengaruh dengan pembangkang yang terbukti hanya pandai berbicara mengenai sesuatu hal namun tidak berjaya dalam pelaksanaan.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Johari Jalil, 74, bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan berjanji akan meningkatkan usaha menambah pendapatan keluarganya.

"Dengan bantuan ini, ia akan membantu serta memudahkan saya meningkatkan hasil tangkapan," kata bapa kepada sepuluh orang anak yang berasal dari Kampung Sungai Musuh, dekat sini.

Rakannya, Mohamad Basrah, 64, dari Kampung Baru Teluk Ramunia di sini, berkata, sokongan para nelayan tidak pernah berbelah bagi kepada kerajaan sedia ada kerana sentiasa mendapat bantuan berterusan.

"Terima kasih kepada kerajaan yang tidak putus-putus membantu nelayan seperti kami. Bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan bagi membeli dan menggantikan jaring yang rosak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved