Isnin, 15 April 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Adik bakar abang kandung

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 15 April - Gara-gara marah akibat ditegur kerana jarang pulang ke rumah, seorang adik menjadi hilang pertimbangan sehingga tergamak membakar abang kandung sendiri di hadapan ahli keluarganya di Felda Palong 8 dekat sini, semalam.

Insiden mengejutkan itu berlaku pada pukul 5.30 petang apabila suspek berusia 21 tahun berang setelah menerima panggilan telefon daripada abangnya yang berusia 28 tahun yang menegurnya kerana jarang pulang ke rumah.

Perasaan marah itu semakin meluap apabila dia sekali lagi ditegur sebaik sahaja tiba di rumah, menyebabkan suspek yang hilang pertimbangan bertindak mencurahkan petrol ke muka dan badan abangnya sebelum menyalakan api menyebabkan mangsa melecur teruk.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, mangsa yang tinggal di Batu Kikir dekat sini, telah pulang ke rumah keluarganya di Felda berkenaan sebelum bapanya memaklumkan yang suspek jarang pulang ke rumah dan dibimbangi terlibat dalam aktiviti dadah.

Beliau berkata, semasa adik-beradik itu 'berperang mulut', suspek yang ketika itu membawa minyak dipercayai petrol untuk diisi ke dalam motosikal bapanya telah cuba membakar kereta abangnya kerana terlalu marah apabila ditegur.

"Mangsa cuba menghalang suspek membakar kenderaan tersebut menyebabkan adiknya bertambah marah lalu bertindak menyimbah minyak itu di bahagian muka dan badannya.

"Suspek kemudian terus menyalakan api mengakibatkan abangnya terbakar dan kejadian cemas itu disaksikan oleh ibu bapa serta isteri abangnya sebelum suspek bertindak melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Palong sebelum dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dekat sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di belakang badan, kepala, muka, dada dan kedua-dua belah tangan akibat melecur.

"Polis berjaya menahan suspek pada pukul 8 pagi ini di rumahnya dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Maut ditembak depan keluarga

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan di tempat Tan Kok Soon dibunuh di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland, Seremban, kelmarin.

SEREMBAN 15 April - Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak secara kejam di hadapan isteri dan dua anaknya ketika sedang menikmati makan malam di dalam sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland dekat sini petang semalam.

Mangsa, Tan Kok Soon, 56, maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki pada pukul 6.55 petang, ketika beberapa pelanggan lain turut berada di restoran berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Zazali Hashim memberitahu, suspek yang dipercayai warga tempatan dan memakai topi keledar penutup penuh itu dipercayai datang ke restoran terbabit dengan menaiki motosikal.

Katanya, suspek kemudian meluru ke arah mangsa lalu melepaskan tiga das tembakan dari arah belakang lelaki itu menyebabkannya tersungkur di hadapan isteri dan dua orang anaknya.

"Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini malam tadi.

Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan sebanyak tiga kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan penyerang mangsa menggunakan pistol jenis semi automatik.

Jelas beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar dekat sini untuk tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk tujuan pengebumian.

"Polis masih menyiasat motif kejadian dan juga sedang mengenal pasti pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved