Jumaat, 25 November 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Bina segera jambatan Tok Guru

Posted:

Bina segera jambatan Tok Guru

Bina segera jambatan Tok Guru

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Penduduk menunjukkan kesan hakisan tebing yang kerap berlaku sepanjang musim banjir di Kampung Kuau, Bachok, Kelantan.


BACHOK 24 Nov. - Kira-kira 12,000 penduduk dari lima buah kampung di mukim Kuau dekat sini meminta kerajaan membaiki segera kerosakan jambatan Tok Guru Kuau, dekat sini yang roboh disebabkan arus deras di sungai berkenaan semalam.

Jambatan yang dibina sejak 14 tahun lalu itu adalah laluan utama penduduk termasuk ratusan pelajar dari Kampung Keluat, Pangkalan Cina dan Kampung Paya Teratai berulang-alik ke sekolah dan pusat bandar ini.

Seorang penduduk, Mohamed Abdul Razak, 58, berkata, proses membaiki atau membina semula jambatan sepanjang 90 meter itu pastinya akan melibatkan kos yang tinggi dan penduduk hanya mampu mengharapkan sama ada kerajaan Persekutuan ataupun kerajaan negeri membantu menyelesaikannya.

Katanya, ketiadaan laluan yang digunakan sejak sekian lama itu akan menyebabkan penduduk terbabit terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh iaitu melalui jalan Kampung Pangkalan Baru menerusi Pekan Beris Kubur Besar di Tawang sebelum sampai ke bandar Bachok.

"Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, SMK Badak dan SMK Nipah juga akan melalui jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding hanya empat kilometer jika menggunakan laluan jambatan berkenaan sebelum ini," katanya ketika ditemui di Kampung Keluat, dekat sini, hari ini.

Mohamed berkata, penduduk terbabit juga turut meminta kerajaan negeri mempercepatkan pembinaan jambatan baru di Kampung Pangkalan Cina yang tertangguh sejak sekian lama sebagai pilihan yang paling cepat sementara menunggu jambatan Tok Guru Kuau dibaiki.

Tambahnya, pembinaan tiang dan cerucuk bagi membina jambatan baru di Pangkalan Cina mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat berbanding kerja membaiki semua jambatan yang roboh semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk yang tinggal di tebing Sungai Kampung Kuau dekat sini meminta pihak berkenaan terutama kerajaan negeri menyediakan sistem perparitan dan saliran bagi mengatasi masalah hakisan tebing yang kerap berlaku setiap kali musim banjir.

Seorang penduduk di kawasan itu, Hamzah Jusoh, 43, berkata, ketiadaan parit dan longkang menyebabkan limpahan air hujan mengalir dengan deras dan berlaku runtuhan tanah berhampiran rumah penduduk.

Ujarnya, ketiadaan kemudahan itu juga menyebabkan rumah penduduk sering digenangi air sedalam 0.3 meter setiap kali musim banjir sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Sekitar belakang rumah kami yang hanya dalam jarak empat meter dari tebing sungai sudah ditambak dengan menggunakan simen pembetung bagi mengatasi masalah tanah runtuh," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

249 premis makanan tidak bersih

Posted:

249 premis makanan tidak bersih

249 premis makanan tidak bersih

KOTA BHARU 24 Nov. - Pengusaha premis makanan di negeri ini masih ramai gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menuntut mereka mendaftar dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan juadah yang disediakan selamat dan terjamin bersih.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan berkata, mengikut kajian Jabatan Kesihatan, pada Disember tahun lalu, terdapat 12,893 premis termasuk gerai, restoran, kantin, pasar dan juga kilang makanan di negeri ini.

"Sehingga kini cuma 1,107 premis atau 8.5 peratus sahaja yang telah berdaftar sedangkan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 mewajibkan semua premis makanan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutup Seminar dan Penyampaian Sijil Pengiktirafan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia-SK1M Peringkat Negeri Kelantan semalam.

Hadir sama Pengarah Perancangan Pembangunan Dasar, Standard dan Codex Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Shamsinar Abu Talib dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ahmad Nadzri Sulaiman.

Nordiyanah berkata, sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini, sejumlah 8,623 premis telah diperiksa dan didapati 249 buah daripadanya menunjukkan tahap kebersihan yang tidak memuaskan dengan markah kurang daripada 50 peratus.

"Jabatan Kesihatan juga telah mengenakan tindakan menutup sementara di bawah Akta Makanan terhadap 262 buah premis termasuk enam kilang makanan yang didapati tidak bersih," katanya.

Katanya, Jabatan Kesihatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha premis atau produk makanan yang didapati dengan sengaja melanggar peraturan itu.

Menurutnya, sepanjang tahun ini 32 kes sedang dalam proses tindakan mahkamah di bawah Akta Makanan 1983.

"Operasi membanteras penjualan produk makanan yang didapati melanggar perundangan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa. Sepanjang tahun ini, produk makanan bernilai RM79,831 telah dirampas dan kebanyakannya melibatkan kesalahan dari aspek pelabelan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Posted:

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Futsal OKU meriah dalam sunyi

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 24 Nov. - Bagi orang kurang upaya (OKU), biarpun mengalami kecacatan, mereka tetap mempunyai kebolehan, keinginan dan impian yang sama.

Dalam serba kepayahan yang kadangkala sering memerlukan panduan serta bimbingan, golongan ini sebenarnya tidak mahu mereka dibezakan dan cuba melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan.

Ini termasuk dalam sukan futsal, 'golongan istimewa' ini tidak melepaskan peluang untuk menyertai Kejohanan Futsal Orang Pekak Terengganu di gelanggang Futsal Uptown di Jalan Kamarudin di sini, baru-baru ini.

Kejohanan julung kali diadakan itu disertai 10 buah pasukan dari serata negeri ini yang dianjurkan oleh Persatuan Orang Pekak Terengganu.

Program itu berjalan lancar dengan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang melihat keunikan dalam corak pengendalian permainan.

Mereka memberi fokus sepenuhnya kepada bendera yang dipegang pengadil perlawanan sebagai isyarat, berbanding penggunaan wisel bagi mereka yang normal.

Perlawanan berlangsung dalam suasana agak 'sunyi dan sepi' apabila para pemain sekadar berinteraksi sesama mereka melalui isyarat tangan selain sesekali kedengaran tepukan para penonton.

Sebilangan daripada mereka ternyata cukup berbakat bermain bola sepak atau futsal, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada sebahagiannya mempunyai skil, kepantasan dan kebolehan tersendiri yang boleh dibanggakan.

Para pemain mampu mengawal bola serta membuat hantaran kemas yang menampakkan keserasian antara rakan sepasukan walaupun cacat pendengaran.

Bagi insan sebegini, kecacatan yang dialami tidak sekali-kali menghalang mereka menjalani kehidupan seperti insan normal lain termasuklah mengamal gaya hidup sihat dengan beriadah serta bersukan.

Kesemua 10 pasukan yang bertanding pada kejohanan itu disertai para peserta dari pelbagai peringkat usia termasuk dua pasukan jemputan kalangan pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Seberang Takir.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan SIF A muncul juara dengan mengalahkan MU FC 1-0 pada perlawanan akhir manakala tempat ketiga menjadi milik SIF B dan Bina FC di tempat keempat.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Harris Tengku Ismail berpuas hati dengan kejohanan pertama kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya berbangga dan berpuas hati dengan kerjasama serta sokongan pelbagai pihak bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar.

''Kami kagum dengan komitmen dan aksi hebat yang ditunjukkan para pemain biarpun mereka insan istimewa," katanya sambil dibantu seorang jurubahasa.

Tengku Arman turut berharap kejayaan menganjurkan kejohanan kali ini membuka peluang kepada Persatuan Orang Pekak Terengganu menjadi tuan rumah Kejohanan Futsal Orang Pekak Peringkat Kebangsaan tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved