Selasa, 18 Oktober 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kg. Pantai Suri gamit pengunjung

Posted:

Kg. Pantai Suri gamit pengunjung

Kg. Pantai Suri gamit pengunjung

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my


Pengunjung hanya boleh menggunakan bot untuk datang ke Kampung Pantai Suri, Tumpat.


TUMPAT 17 Okt. - Kampung Pantai Suri merupakan sebuah perkampungan nelayan tradisional yang terletak di sebuah pulau dalam gugusan 30 buah pulau di muara Sungai Kelantan.

Perkampungan ini dengan keluasan kira-kira empat kilometer persegi, mula diteroka pada 1920.

Keistimewaan kampung itu adalah ia merupakan pulau yang paling hampir dengan Laut China Selatan. Jalan laut merupakan satu-satunya pengangkutan untuk ke kampung ini.

Lantaran itu, tidak hairanlah apabila tiada sebarang kenderaan beroda empat seperti kereta jauh sekali lori mahupun bas di dapati di Kampung Pantai Suri. Jika adapun hanya motosikal, selain basikal yang menjadi pengangkutan utama di sini. Selain itu, penduduknya lebih suka berjalan kaki untuk ke mana-mana sahaja. Keadaan itu sekali gus menjadikan Kampung Pantai Suri kemalangan sifar.

Ketiadaan kenderaan juga mengekalkan kesegaran dan suasana nyaman di Kampung Pantai Suri. Begitu juga alam flora dan fauna di kampung tersebut yang masih terpelihara sehingga kini. Ini menjadikan Pantai Suri destinasi percutian menarik bagi mereka yang ingin menikmati suasana desa dalam persekitaran cukup nyaman.

Terdapat kira-kira 500 penduduk di kampung ini dengan 100 peratus beragama Islam dan mereka masih berpegang teguh kepada adat seni budaya asli kehidupan masyarakat Melayu yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Kebanyakannya penduduk Kampung Pantai Suri merupakan nelayan, selebihnya bekerja sebagai kakitangan kerajaan, swasta, pertukangan, perniagaan dan sebagainya.

Jumlah penduduk yang kecil dengan bilangan rumah hanya kira-kira 70 buah, menjadikan warga kampung ini mempunyai ikatan persaudaraan amat erat sesama mereka. Boleh dikatakan setiap mereka mengenali antara satu sama lain, satu suasana yang amat sukar didapati di mana-mana tempat terutama di kawasan bandar.

Lantaran itu, jangan terkejut apabila kunjungan anda ke Kampung Pantai Suri akan disambut dengan meriah termasuk paluan kompang, bunga manggar serta persembahan tradisional seperti pencak silat.

Ini kerana, penduduk kampung tersebut sangat mengalu-alukan kedatangan orang luar yang pada mulanya pasti berasa ibarat 'rusa masuk kampung.' Manakan tidak, kerana setiap orang pasti akan memerhati kelibat anda memandangkan ada 'keluarga' baharu di kampung mereka.

Bagaimanapun, perasaan 'cuak' itu pasti hilang tatkala anda menerima layanan mesra daripada penduduk kampung.

Bagi pengunjung luar yang berminat berkunjung bagi menikmati keunikan dan keistimewaan kampung serta keindahan panorama serta alam semula jadi di kampung ini, mereka boleh tinggal di beberapa rumah yang menyediakan kemudahan inap desa atau homestay pada harga amat berpatutan.

Menurut Penghulu Mukim Teluk Ranjuna, Che Othman Che Ibrahim, walaupun kedudukannya agak terpencil, namun kerajaan tetap membawa kemajuan ke Kampung Pantai Suri demi kesejahteraan penduduknya.

Pun begitu, segala pembangunan yang berlaku di kampung berkenaan, jelas Che Othman, adalah hasil perpaduan dan semangat kekitaan penduduk yang sentiasa bergotong-royong dalam apa jua keadaan.

"Usaha kerajaan memajukan kampung dengan konsep gotong-royong iaitu menggunakan tenaga manusia, tidak ada kontraktor di sini misalnya untuk membina dewan dan sebagainya.

"Tanpa gotong-royong, tak mungkin dapat laksanakan pembangunan walaupun bahan-bahan (pembinaan disediakan) kerana tidak ada lori, kontraktor dan sebagainya," katanya di sini, baru-baru ini.

Che Othman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Inap Desa Kampung Pantai Suri mengakui, tanggungjawab untuk menjaga kampung tersebut amat besar kerana penduduknya bukan golongan berada dan kedudukan mereka dipisahkan oleh sungai serta hanya boleh berhubung dengan dunia luar melalui bot di Jeti Kok Majid ataupun Kuala Besar.

Lantaran itu, beliau melahirkan penghargaan kepada kerajaan terutama Kementerian Pelancongan yang membantu kemajuan penduduk kampung dalam sektor pelancongan menerusi program inap desa atau homestay.

Keunikan program inap desa di Kampung Pantai Suri juga membolehkannya tercalon dalam pertandingan Anugerah Pelancongan Homestay Utusan Bersih dan Indah 2011.

Hasil usaha gigih kementerian juga menyaksikan Kampung Pantai Suri semakin dikenali di kalangan pelancong dalam dan luar negara. Misalnya, pada tahun 2009, hampir 200 pengunjung domestik dan antarabangsa berkunjung dan menginap di Inap Desa kampung berkenaan.

Jumlah itu meningkat kepada lebih 300 orang tahun lalu dan pihak pengendali homestay menyasarkan peningkatan kepada 800 orang pengunjung dalam dan luar negara pada tahun ini.

Perkembangan sektor pelancongan di kampung itu juga telah membuka peluang pekerjaan dan ekonomi baharu kepada penduduk, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Ini diakui oleh seorang pengusaha Inap Desa, Ramly Ibrahim , 53, dan terlibat dalam 'perniagaan' tersebut sejak tahun 2000 lagi dengan menyediakan dua buah bilik serba lengkap dengan perabot untuk kemudahan pengunjung.

"Penglibatan dalam program inap desa atau Inap Desa ini membolehkan saya menambah pendapatan keluarga," katanya yang juga seorang nelayan.

Apa yang pasti, kunjungan ke Kampung Pantai Suri pasti menjanjikan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung kerana mereka boleh menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan di bawah pakej penginapan homestay.

Antara aktiviti tersebut adalah menyepat daun rokok, menjala ikan, membuat kuih spit, keliling kampung dengan basikal iaitu antara pengangkutan terpenting di sini, persembahan dikir barat, minum air kelapa, memasak kerabu nipah, mengupas kelapa, menyusuri sungai, bermain congkak, demonstrasi membuat kraftangan dan menyertai persembahan seni silat.

Selain itu, bagi pelancong luar negara, mereka juga berpeluang melalui majlis perkahwinan masyarakat Melayu di kampung berkenaan, yang pasti menjanjikan pengalaman cukup istimewa.

Full content generated by Get Full RSS.

16 sekolah tanding memasak hari ini

Posted:

16 sekolah tanding memasak hari ini

16 sekolah tanding memasak hari ini

KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Sebanyak 16 buah sekolah dari seluruh negara yang merupakan johan peringkat negeri akan berentap dalam Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Primula Beach Hotel di sini, esok.

Setiap pasukan yang diwakili oleh empat pelajar tingkatan empat itu akan beradu kehebatan untuk menyediakan masakan yang bertemakan 'masakan pengantin'.

Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Mohamad Nawawi Rani berkata, program anjuran Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran dengan kerjasama Nestle itu merupakan acara tahunan dan Terengganu dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-14 pada kali ini.

Katanya, sekolah-sekolah yang akan bertanding adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong mewakili Terengganu, SMK Dato' Onn (Johor), SMK St. Mary (Sabah), SMK Tiang Chambi (Kelantan), SMK St. Bernadette's Convent (Perak), SMK Putrajaya Persint 11 (Putrajaya), SMK Bintang Utara (Kuala Lumpur).

Sekolah lain adalah SMK Tinggi Perempuan Melaka (Melaka), SMK Kg. Nangka (Sarawak), SMK Seri Enggang Batu Lima (Kedah), SMK Perempuan Raja Zarina Pelabuhan Klang (Selangor), SMK Datuk Abdul Samad (Negeri Sembilan), SMK Penanti (Pulau Pinang), SMK Perampau Damai Muadzam Shah (Pahang), SMK Abu KM 7 (Perlis) dan SMK Pantai (Wilayah Persekutuan Labuan).

Mohamad Nawawi berkata, kesemua peserta termasuk guru pengiring dan ketua kontinjen akan mula mendaftar pagi esok kecuali wakil dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendaftar petang ini.

"Program tahunan kementerian itu adalah satu usaha untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut," katanya.

Menurutnya, majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah pertandingan itu dijangka disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian di Kementerian Pelajaran, Muhamad Roli Hassan.

Katanya, sempena pertandingan itu, demonstrasi masakan oleh Chef Muluk selain ceramah pemakanan oleh Nestle serta pertandingan MAGGI Kreatif Challenge turut diadakan.

Full content generated by Get Full RSS.

RISDA perlu 30 juta benih getah

Posted:

RISDA perlu 30 juta benih getah

RISDA perlu 30 juta benih getah

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 17 Okt. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memerlukan 30 juta benih untuk projek tanam semula getah pada awal tahun depan membabitkan kawasan seluas 41,000 hektar di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, bagi menghasilkan benih sebanyak itu, RISDA memerlukan kira-kira 300,000 tan metrik biji getah untuk diproses mengikut kaedah tertentu.

"Untuk itu kita membuat operasi gerakan mengutip biji getah. Kita turut menggalakkan sesiapa sahaja yang berminat khususnya pekebun kecil getah merebut peluang bagi menambah pendapatan dengan menjual biji getah kepada RISDA.

"Pihak RISDA akan membeli biji-biji getah tersebut dengan harga RM3 sekilogram yang akan dibayar secara tunai," katanya selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Bantuan Tanam Semula (TS 27) RISDA bagi kawasan Kok Lanas dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Pengarah RISDA negeri, Zahari Mat Amin.

Bantuan membabitkan 30 pekebun kecil getah bagi kawasan Kok Lanas itu melibatkan kos sebanyak RM134,178.40 dengan setiap peserta mendapat RM9,230 bagi setiap sehektar ladang yang disampaikan oleh Md. Alwi

Wan Mohamad Zuki berkata, kempen membeli biji getah bagi tujuan tersebut telah dilancarkan sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, Md. Alwi berharap pekebun kecil getah dapat memanfaatkan segala bentuk bantuan yang disalur dan menyusun tata kerja dengan penuh berdisiplin memandangkan kestabilan harga pasaran getah sekarang ini mampu menjana ekonomi mereka.

"Hasil getah sekarang bertambah baik. Secara purata setiap pekebun akan memperoleh hasil getah atas kadar RM1 sepokok, mudah-mudahan ekonomi mereka bertambah baik," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved