Selasa, 25 Oktober 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Wujudkan perpaduan sejagat

Posted:

Wujudkan perpaduan sejagat

Wujudkan perpaduan sejagat

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


MOHAMAD Shahrom Osman menggunakan rangkaian radio amatur untuk berkomunikasi dengan Ibu Pejabat Pengakap Sedunia di Geneva, sempena perkhemahan antarabangsa JOTA dan JOTI di IPG Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD


KUALA LIPIS 25 Okt. - Ahli pengakap di semua peringkat termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT) diminta mewujudkan perpaduan sejagat berasaskan nilai kemanusiaan dan semangat sukarela selaras dengan penubuhannya sejak dahulu lagi.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, pertubuhan itu mampu membantu ke arah tersebut berdasarkan falsafah yang memberi penekanan terhadap aspek persaudaraan, kedamaian dan keamanan.

Menurutnya, ahli pertubuhan itu di seluruh dunia disemai dengan semangat persaudaraan yang tinggi, cintakan keamanan, kedamaian dan bersedia memberi pertolongan secara sukarela.

"Pengakap adalah satu pergerakan global yang boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira agama, kepercayaan, bahasa, budaya, etnik dan darjat seseorang ahlinya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jamboree On The Air (JOTA) ke-54 dan Jamboree On The Internet (JOTI) ke-15 peringkat antarabangsa di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pesuruhjaya Bahagian Latihan Persekutuan Pengakap Kebangsaan, Shukur Mohsin; Pengarah Jambori JOTA/JOTI, Sabri Saad dan Pengarah IPGTAA Lipis, Jaafar Idris.

Jambori selama tiga hari dari 15 hingga 17 Oktober lalu dihadiri seramai 350 ahli pengakap mewakili Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kota Bharu, IPGM Kuala Terengganu, IPGTAA Lipis, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pengakap Muda dan Pengakap Remaja sekolah menengah dari daerah Lipis, Pekan dan Kuantan.

Mohamad Shahrom yang juga Bendahari Persekutuan Pengakap Kebangsaan berkata, menerusi program tersebut, para ahli boleh berbincang mengenai pelbagai perkara ke arah mewujudkan keamanan dan kedamaian.

Terdahulu beliau berkata, perkhemahan tersebut merupakan platform kepada para ahli berinteraksi dengan ahli lain dari seluruh dunia menerusi perhubungan radio amatur dan Internet.

"Pengakap boleh berkomunikasi dengan lebih mudah menerusi peralatan canggih untuk bertukar fikiran dalam pelbagai perkara berasaskan persaudaraan sejagat," ujarnya.

Katanya, secara tidak langsung program tersebut menzahirkan pertubuhan itu merintis dalam bidang komunikasi sebagai modul latihan kepada pengakap kanak-kanak dan remaja di sekolah.

Full content generated by Get Full RSS.

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan

Posted:

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan

IPT pemangkin pembangunan kecemerlangan sukan


DR. Yuserrie Zainuddin (barisan tengah, enam dari kiri) bergambar bersama para pemenang Karnival Bola Keranjang tiga lawan tiga di Kompleks Sukan UMP, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


KUANTAN 25 Okt. - Kementerian Pengajian Tinggi berhasrat menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pemangkin dalam pembangunan kecemerlangan sukan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, program itu menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara dari kalangan atlet IPT.

"Penglibatan mahasiswa bagi pembudayaan sukan dilihat bukan sahaja mendedahkan diri mereka dengan gaya hidup berkualiti, malah mampu menerapkan sifat positif dalam diri mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Bola Keranjang tiga lawan tiga di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Sebanyak 102 pasukan dari 29 IPT seluruh negara menyertai karnival tersebut yang diadakan selama dua hari bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan UMP bersama kementerian dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) itu disertai 20 IPT.

Mengenai kejohanan tersebut, Saifuddin berkata, penganjuran akan mencungkil bakat baru dan melahirkan lebih ramai atlet di kalangan mahasiswa bagi mewakili sukan tersebut.

Sementara itu Daing Nasir berkata, UMP turut memikul tanggungjawab untuk mencari dan menggilap bakat baharu dalam sukan tersebut.

Menurutnya, kepercayaan itu menuntut suatu perancangan rapi dan strategik bagi memperkasa sukan bola keranjang sebagai sukan tumpuan.

Beliau juga mengharapkan karnival itu menjadi pendorong dalam memartabatkan UMP sebagai Pusat Sukan Tumpuan Bola Keranjang dan sokongan orang ramai diperlukan bagi memajukan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) B muncul johan kategori lelaki diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) C di tempat kedua, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam B di tangga ketiga.

Bagi kategori wanita pula dimenangi pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) A diikuti USM A di tangga kedua.

Full content generated by Get Full RSS.

Dua beranak rugi RM47,000

Posted:

Dua beranak rugi RM47,000

Dua beranak rugi RM47,000

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 25 Okt. – Dua beranak kerugian RM47,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Padang Piol dekat Jerantut, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, seorang suri rumah warga emas berusia 69 tahun sedang tidur di ruang tamu bersama anak perempuannya yang berusia 34 tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud (gambar) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur.

"Mangsa dan anaknya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan suspek yang menutup muka mereka sambil mengacukan parang.

"Suspek kemudian mengikat mangsa dengan wayar seterika sebelum menggeledah rumah dua beranak itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Katanya, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM1,000 bersama barang kemas bernilai kira-kira RM46,000.

Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, mangsa berjaya membuka ikatan mereka sebelum meminta bantuan jiran.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jerantut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

Mohd. Haris turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan melaporkan kepada polis jika meninggalkan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved