Rabu, 19 Oktober 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Wanita Arab pertama terima Hadiah Noble

Posted:

Wanita Arab pertama terima Hadiah Noble

Wanita Arab pertama terima Hadiah Noble


Tawakkul Karman bersama tiga anaknya yang turut berbangga dengan kejayaan ibu mereka.


DI kalangan rakyat Yemen, beliau digelar wanita besi dan ibu revolusi. Seorang wanita biasa yang berjuang menuntut perubahan dalam masyarakat yang konservatif dan masih dibelenggu dengan semangat berpuak-puak, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Tawakkul Karman merupakan antara wajah penting dalam kebangkitan rakyat menentang rejim kuku besi Presiden Ali Abdullah Saleh.

Tawakkul, 32, telah lama menjadi aktivis hak asasi manusia. Tetapi kemuncak segala-galanya bermula apabila beliau ditahan pada Januari lalu.

Penahanan wanita itu telah mencetuskan tunjuk perasan yang disertai beratus ribu rakyat yang menuntut pengunduran Ali dan pembentukan negara demokrasi.

Ketika barisan nama pemenang Hadiah Noble diumumkan baru-baru ini, Tawakkul berada di tempat di mana setiap hari beliau berada sejak lapan bulan lalu iaitu dalam khemah kumpulan antikerajaan di Dataran Perubahan, terletak di bulatan di tengah-tengah kota Sanaa yang menjadi simbol kepada kebangkitan revolusi Yemen.

"Hadiah tersebut bukan untuk saya tetapi untuk seluruh rakyat Yemen kerana perjuangan, bangkit menentang (Ali) dan konco-konconya.

"Sebagai pemimpin yang zalim dan diktator mereka memang marah dengan penganugerahan ini kerana ia dianggap tidak adil," kata Tawakkul ketika ditemui di khemahnya ketika sedang sibuk menerima ucapan tahniah daripada aktivis lain.

Wanita itu - yang berkongsi anugerah tersebut dengan Presiden Liberia, Ellen Sirleaf Johnson dan aktivis keamanan Liberiat Leymah Gbowee - merupakan wanita Arab pertama memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

Dengan anugerah itu bermakna jawatan kuasa Noble secara tidak langsung memberi penghormatan kepada gelombang kebangkitan yang melanda Asia Barat ketika ini yang bermula dengan usaha menjatuhkan pemimpin Tunisia, Mesir dan Libya.

Di Yemen, berjuta-juta orang telah keluar membuat bantahan di ibu negara, Sanaa dan bandar-bandar sekitar negara tersebut sejak akhir Januari lalu. Begitupun Ali masih enggan meletak jawatan.

Tawakkul dan aktivis-aktivis muda yang lain telah mengetuai kebangkitan, iaitu satu pergerakan yang agak unik di negara yang dianggap masih mundur di penghujung selatan Semenanjung Arab itu, di mana sebahagian besar rakyatnya amat konservatif dan pemilikan senjata berleluasa dengan hampir setiap rumah mempunyai pistol atau senapang sendiri.

Seperti majoriti wanita Yemen, Tawakkul suatu ketika dulu mengenakan Niqab, pakaian tradisonal berbentuk jubah menyelubungi seluruh tubuh dan yang kelihatan hanyalah sepasang mata.

Bagaimanapun tahun lalu beliau berubah kepada gaya yang lebih sederhana dengan hanya mengenakan tudung yang menutup rambut. Beliau memberitahu mahu bertentang muka dengan para rakan aktivisnya yang lain.

Beliau juga merupakan ahli Parti Islah, iaitu parti pembangkang Yemen. Tetapi pembabitannya dalam bantahan antikerajaan telah mencetuskan kritikan hebat daripada golongan konservatif parti itu. Sebahagiannya telah mengecam beliau dalam khutbah-khutbah di masjid,

Rejim Ali pula berusaha untuk melemahkan beliau dengan menyebarkan gambar Tawakkul berada dalam khemah kumpulan tunjuk perasaan bersama rakan-rakan lelaki.

Sebahagian gambar itu telah diubahsuai seolah-olah beliau berdua-duaan dengan lelaki.

Hakikatnya, golongan wanita merupakan antara kumpulan terbesar yang terbabit dalam bantahan antikerajaan. Kumpulan antikerajaan itu juga mendapat sokongan daripada kumpulan puak-puak negara itu.

Mereka juga berjaya meneruskan bantahan secara aman walaupun persekitaran di sekeliling mereka huru hara apabila pasukan keselamatan beberapa kali melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dan beberapa bandar telah bertukar menjadi medan perang. Ia membabitkan pertempuran antara unit tentera dan kumpulan yang menentang Ali.

"Ali dan konco-konconya tidak akan mengheret Yemen ke dalam kancah peperangan kerana kami tidak akan melawan.

"Kami memilih keamanan dan kami tidak akan menggunakan keganasan dalam revolusi ini. Sebenarnya kami boleh tamatkan revolusi ini dalam beberapa hari saja bukan berbulan-bulan seperti sekarang kerana kami tidak mengangkat senjata. Kami hanya memilih keamanan.

"Jangan bimbang tentang Yemen, Yemen bermula dengan aman dan revolusi ini juga akan berakhir dengan aman dan kita akan memulakan sebuah negara demokrasi dengan aman," katanya.

Sementara itu ketika Tawakkul menerima ucapan tahniah yang tidak putus-putus, suaminya, Mohammed al-Nahmi setia duduk di sisinya dalam khemah tersebut.

"Beliau memang layak menerima hadiah ini. Sebelum beliau menjadi isteri saya, beliau adalah rakan dan teman dalam kesusahan," kata Mohammed.

Ibu kepada tiga anak itu, berasal dari bandar di wilayah Taiz di selatan Yemen. Bandar yang dikenali kerana memiliki sebilangan besar golongan kelas pertengahan dan para intelektual universiti yang sekian lama menjadi penentang dasar kerajaan Ali.

Bapanya, Abdul Salam Karman, suatu ketika dahulu merupakan menteri hal ehwal undang-undang di bawah pemerintahan Ali tetapi telah meletak jawatan kerana membantah amalan rasuah dalam kerajaan.

Tawakkul telah menganjurkan bantahan dan tunjuk perasaan seawal tahun 2007 lagi. Ketika itu antara aktivitinya adalah mengadakan perjumpaan di luar pejabat kerajaan di Sanaa yang digelar Dataran Kebebasan.

Beliau berkempen untuk mendapatkan hak-hak yang lebih besar kepada golongan wanita dan menamatkan pencabulan ke atas wartawan.

Bersama tujuh wartawan wanita lain, beliau menubuhkan Wartawan Wanita Tanpa Rantai (WJWC), sebuah organisasi yang memperjuangkan kebebasan akhbar.

Ketika rusuhan pertama kali meletus di Tunisia pada Disember 2010 iaitu selepas seorang penjual buah-buahan, Mohamed Bouazizi, membakar diri kerana kemiskinan, Tawakkul mengetuai bantahan di Yemen untuk menyokong rakyat Tunisia.

Beliau menghantar mesej-mesej melalui telefon bimbit menggesa rakyat menyertainya.

Bantahan kecil-kecilan membabitkan tidak lebih 200 orang itu disuraikan dengan tembakan meriam air dan belantan.

Ekoran itu pada 23 Januari pihak berkuasa menahan Tawakkul. Langkah tersebut bertujuan memberi amaran tetapi telah memakan diri apabila telah mencetuskan gelombang tunjuk perasaan golongan wanita di jalan-jalan raya di Sanaa dan beberapa bandar lain, sesuatu yang sukar dilihat di Yemen sebelum ini.

Tawakkul dibebaskan keesokan harinya dan menjelang petang beliau mengetuai satu lagi bantahan.

Semangat wanita itu disemarakkan lagi dengan bantahan di Mesir yang berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak.

Sehari selepas Hosni berundur pada Februari lalu, penunjuk perasaan di Yemen bersama-sama dengan Tawakkul dan rakan-rakannya berjaya menawan persimpangan utama di tengah-tengah Sanaan yang kemudian dikenali sebagai Dataran Perubahan.

Sejak 17 Februari lalu, kem penunjuk perasaan terus berada di dataran tersebut walaupun pasukan keselamatan berulang kali melepaskan tembakan. Antara yang terus kekal berada disitu ialah Tawakkul Karman.

Full content generated by Get Full RSS.

Guru memupuk kreativiti si kecil

Posted:

Guru memupuk kreativiti si kecil

Guru memupuk kreativiti si kecil

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar IRWAN MAJID


Guru memainkan perangan penting dalam memupuk kreativiti kanak-kanak.


SETIAP kanak-kanak sebenarnya berpotensi menjadi seorang yang kreatif. Bagaimanapun ia turut bergantung kepada pembimbing mereka terutama guru untuk mencungkil daya kreativiti tersebut.

''Sebaiknya usaha ini kena dilakukan oleh guru ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah lagi,'' kata Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Sri Prof. Dr. Rohaty Mohd Majzub.

Beliau memberitahu dua perkara yang perlu diutamakan dalam usaha untuk merangsangkan kreativiti kanak-kanak.

Pertama, ia harus dimulakan pada peringkat prasekolah kerana itu merupakan masa yang cukup sesuai bagi menggalakkan pembangunan kanak-kanak.

Katanya, di situlah letaknya cabaran kepada guru mahupun pengasuh dan ibu bapa untuk menggalakkan kanak-kanak ini melalui pengalaman yang membantu mengembangkan daya kreativiti.

''Keduanya, kumpulan pemikir juga perlu merancang untuk membangunkan modal insan menjelangnya Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bermula peringkat prasekolah lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama pada Bengkel dan Seminar Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Bengkel sehari itu dianjurkan Fakulti Pendidikan Sains Sosial, Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Rohaty berkata, biasanya guru akan tertekan dengan bebanan kurikulum akademik sehingga tidak mempunyai masa untuk membangunkan kreativiti kanak-kanak.

''Tambahan pula tekanan daripada ibu bapa sendiri yang mengharapkan anak-anak mereka lulus cemerlang dalam bidang akademik,'' katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru juga menghadapi tekanan masa bagi menyelesaikan tugas-tugas pentadbiran.

Bagaimanapun kata Dr. Rohaty, masih terdapat pelbagai cara untuk guru-guru menggalakkan kreativiti di kalangan kanak-kanak.

''Sediakan satu persekitaran kelas yang membolehkan yang anak-anak muda ini meneroka dan bermain melalui aktiviti kurikulum,'' katanya.

Selain itu katanya, guru-guru perlu bersedia supaya dapat menyesuaikan diri untuk menerima idea yang akan diberikan oleh kanak-kanak.

Guru-guru juga tidak boleh memaksa kanak-kanak untuk menerima idea yang diberikan oleh mereka.

Jelasnya, suasana itu akan dapat merangsang kanak-kanak melaksanakan idea itu dengan lebih seronok tanpa halangan.

"Guru hanya perlu memberikan bimbingan dan jangan cuba untuk menyekat idea itu supaya kanak-kanak ini merasa lebih bebas tanpa rasa tertekan.

''Guru juga tidak boleh terlalu bergantung kepada sukatan pelajaran, bahan bacaan bercetak dan latihan semata-mata,'' katanya.

Katanya, guru sepatutnya menunjukkan yang dia juga seorang aktif berfikir dan bersemangat mahu mempelajari sesuatu yang baru.

''Guru juga perlu memberikan lebih masa untuk membolehkan kanak-kanak ini meneruskan projek yang sedang dilakukan sekalipun telah melebihi jadual,'' katanya.

Selain itu katanya, guru juga tidak perlu terikut dengan sukatan pelajaran, bahan bacaan dan latihan kerana ini tidak akan memberi peluang untuk kanak-kanak itu merasai sendiri pengalaman termasuk menggunakan tangannya.

''Guru perlu mengenal pasti perbezaan individu dalam pembelajaran dengan mengambil kira jenis pelajar dan kebolehan mereka,'' tambahnya.

Jelasnya, apa yang penting guru-guru prasekolah sepatutnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menggunakan sepenuhnya ruang bilik darjah bagi menerap dan memupuk kreativiti mereka.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved