Ahad, 25 September 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Johor ketiga kadar penurunan jenayah

Posted:

Johor ketiga kadar penurunan jenayah

Johor ketiga kadar penurunan jenayah

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 24 Sept. - Indeks jenayah di Johor menurun sebanyak 20.69 peratus tahun lalu iaitu daripada 26,305 kes pada 2009 kepada 20,648 kes pada 2010.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penurunan sebanyak 5,387 kes menunjukkan polis Johor berjaya mengekang jenayah daripada berleluasa.

Katanya, kejayaan itu sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Johor tidak selamat untuk dikunjungi berikutan wujud risiko diculik.

"Dakwaan itu tidak benar kerana sepanjang tahun ini hanya enam kes penculikan dilaporkan dengan empat daripadanya berjaya diselesaikan dan dua lagi masih dalam siasatan.

"Daripada jumlah tersebut, hanya satu kes melibatkan warga asing yang berpunca daripada pertikaian hutang di antara rakan kongsi perniagaan. Perangkaan ini menunjukkan jumlah yang sangat kecil dan terkawal," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam menyiarkan laporan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed yang memetik kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu sesiapa yang berkunjung ke Johor akan diculik semasa menghadiri majlis di luar negara.

Jelas Mohd. Mokhtar, kadar jenayah di negeri ini terus menurun sebanyak 4.42 peratus sehingga bulan lalu dan kini Johor berada dalam rangking ketiga terbaik dalam penurunan kes jenayah.

Jelasnya, kontinjen polis negeri ini juga berada pada kedudukan kelima teratas dalam menyelesaikan kes jenayah iaitu pada kadar 49.92 peratus sepanjang tahun lalu.

Anak buruh ladang terima Anugerah Pelajaran Diraja

Posted:

Anak buruh ladang terima Anugerah Pelajaran Diraja

Anak buruh ladang terima Anugerah Pelajaran Diraja


Raja Zarith Sofiah menerima RM25,000.00 daripada Muhammad Miqdad Che Mohd Rozi untuk Tabung Endowment UTM sambil diperhatikan Prof. Dr. Zaini Ujang sempena Konvokesyen UTM, semalam.


JOHOR BAHRU 24 Sept. - Menggunakan peluang semaksimum mungkin sepanjang empat tahun menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), membuahkan hasil buat Azad Anugerah Ali Rasol apabila dikurniakan Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-47 di sini hari ini.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum itu yang merupakan anak kepada seorang buruh ladang di Bekok, Segamat, menerima anugerah tersebut daripada Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

"Saya cukup gembira dengan kejayaan ini kerana segala usaha yang dilakukan selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Kejayaan ini bukan sekadar daripada semangat percaya dengan kemampuan diri, tetapi ia juga hasil daripada memberi tumpuan semasa kuliah, mengulang kaji dan aktif dalam persatuan.

"Selain itu saya datang daripada keluarga susah, ibu bapa banyak bergolok-bergadai untuk membesar dan menyekolahkan saya dan adik-beradik lain. Apa yang saya capai hari ini sebenarnya 'anugerah dan hadiah' untuk mereka dan secara kebetulan mereka menamakan nama saya 'Anugerah'," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut.

Jelas Azad Anugerah, kejayaan yang diperoleh juga adalah hasil sokongan dan dorongan isterinya Siti Aminah Setu, 24, yang kini sedang menuntut Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kimia di Universiti Oxford, United Kingdom.

Pada konvokesyen hari ini, lebih 74 mahasiswa lepasan ijazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada pelbagai fakulti menerima sijil dan pingat selaku Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Lepasan Ijazah.

Sementara itu, graduan PhD Sains Komputer Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Sultan Noman Qasem, 31, dari Yemen berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang sering diidamkan.

Penerima terbaik PhD Kejuruteraan Elektrik Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Rasyidah Mohamad Idris, 35, pula menyifatkan anugerah tersebut bakal menjadi pendorong kepadanya berusaha lebih gigih.

Bagi penerima terbaik Sarjana Sains Matematik dari Fakulti Sains, Mohd. Ariff Admon, 24, disiplin yang baik merupakan antara penyumbang terbesar kejayaannya itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved