Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Air terjun uji ahli KRESA

Posted:

Air terjun uji ahli KRESA

Air terjun uji ahli KRESA


SEBAHAGIAN ahli KRESA yang menjayakan aktiviti waterfall abseiling di air terjun Hutan Lipur Sungai Kancing, Rawang baru-baru ini


Walaupun sebahagian daripada kami sudah beberapa kali ke sana, namun suasana damai dan peluang mandi di air terjun pastinya tidak dilepaskan penulis.

Baru-baru ini, penulis bersama 20 ahli Kelab Rekreasi Shah Alam (KRESA) menjayakan aktiviti waterfall abseiling (canyoning) di air terjun tersebut.

Menamakan aktiviti ini Eksplorasi Air Terjun Hutan Lipur Sungai Kancing, Presiden KRESA, Saifful Pathil, 28, berkata, tujuan aktiviti itu diadakan adalah untuk memperkenalkan ahli baru kelab kepada aktiviti lasak waterfall abseiling.

Menurutnya, sebanyak lapan ahli baru menyertai aktiviti tersebut, selain ahli lama. Beliau berkata, sesi regangan otot dilakukan sebelum para peserta dibawa mendaki anak-anak tangga menuju ke air terjun pada pukul 9.30 pagi pada 10 Julai 2011.

Perjalanan peserta ke air terjun penuh santai dengan pemandangan sekeliling indah dengan kehijauan hutan tropika, selain deruan air terjun yang melingkar di sepanjang laluan begitu asyik didengari.

Pengalaman melalui kawasan berbatu di tebing jeram dan curam itu agak mencabar. Kami bernasib baik kerana keadaan cuaca yang baik memudahkan perjalanan. Jika hujan, tentu perjalanan menjadi sukar dan memakan masa lebih lama.

Kami mengambil masa kira-kira satu jam untuk tiba di destinasi aktiviti iaitu kaki air terjun tingkat enam yang jatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter.

"Sebelum melakukan aktiviti ini, kesemua peserta 'wajib' melakukan ujian keyakinan air (water confident).

"Ia memberi peluang kepada mereka yang tidak tahu berenang menikmati pengalaman timbul di permukaan air dengan memakai jaket keselamatan," kata Saifful.

Tepat pukul 11 pagi, para peserta kemudian mendaki ke puncak air terjun untuk bersedia melakukan aktiviti waterfall abseiling di tebing air terjun yang curam dan licin.

Saifful juga berkata, ciri-ciri keselamatan sukan ini mestilah diletakkan di tempat tertinggi bagi mengelak kemalangan.

"Peserta perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri dan memakai pakaian yang bercirikan keselamatan seperti topi dan jaket keselamatan.

"Sebelum menuruni air terjun, setiap peserta dinasihatkan untuk meneliti ikatan dan peralatan yang digunakan terlebih dahulu seperti harnest dan carabiner. Mereka juga perlu yakin," ujarnya.

Beliau menegaskan aktiviti waterfall abseiling ini tidak boleh dilakukan terburu-buru dan peserta perlu ambil masa untuk melihat tempat yang boleh dipijak dan jangan melompat seperti aktiviti abseiling biasa.

Setiausaha KRESA, Wan Mohd. Shuqrie Wan Ahmad, 26, berkata, aktiviti waterfall abseiling berbeza dengan aktiviti abseiling biasa.

"Beza kedua-dua aktiviti lasak ini ialah waterfall abseiling dilakukan di kawasan air terjun, manakala abseiling biasa boleh dilakukan di mana-mana kawasan yang sesuai termasuk di bangunan tinggi atau tebing bukit, misalnya di Batu Caves.

"Istimewanya, aktiviti ini ialah cara menuruni tebing air terjun yang licin, sekali gus menguji ketahanan mental dan fizikal seseorang dalam keadaan basah kuyup," katanya.

Beliau berkata, aktiviti itu lebih mencabar jika dilakukan di kawasan air terjun yang berlekuk dan mempunyai aliran air yang deras.

"Sambil turun, peserta akan dihujani air yang mengalir deras. Dalam kesejukan, stamina, ketangkasan dan kebolehan peserta akan dicabar serta merta.

"Sebab itulah, kami memilih lokasi Hutan Lipur Sungai Kancing kerana air terjun di sini sesuai untuk mengadakan aktiviti ini," katanya.

Seorang ahli KRESA, Farah Salwani Adlan berkata, aktiviti ini amat menyeronokkan.

"Apa yang perlu diutamakan ialah kita perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri dan bertenang sepanjang menuruni tebing air terjun," katanya.

Rakannya, Mohd. Shahreen Hamdi pula berkata, ini merupakan kali pertama beliau mencuba sukan lasak jenis ini.

"Pada mulanya, saya tidak yakin dengan ciri-ciri keselamatannya tetapi setelah mencubanya, saya ingin mencuba lagi," katanya.

Berada di Hutan Lipur Sungai Kancing untuk aktiviti ini membuatkan penulis merasakan waktu begitu pantas berlalu. Sebelum memulakan perjalanan turun, peserta menikmati makan tengah hari, mengemaskan tapak khemah dan memastikan tiada sampah yang ditinggalkan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved