Khamis, 2 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Hindari fenomena fitnah

Posted:

Hindari fenomena fitnah

Hindari fenomena fitnah

DATUK AZIZ JAMALUDIN MOHD. TAHIR ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

HANYA satu daripada 8,149 surat layang yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan mempunyai asas yang kukuh. Ini bermakna dalam tempoh dua tahun proses penyiasatan terhadap isi kandungan surat layang yang diterima, hanya 0.013 peratus boleh dijadikan asas pendakwaan.

Fenomena ini memberikan rumusan bahawa masyarakat Malaysia amat cenderung melakukan tuduhan tanpa bukti yang kukuh dan kadang kala hanya semata-mata ingin menyusahkan orang lain.

Selain surat layang, kecanggihan teknologi turut menyemarakkan penyebaran fitnah dalam masyarakat. Menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) misalnya, ada berita yang disebarkan kononnya seorang pelakon telah meninggal dunia walhal dalam situasi sebenar, pelakon tersebut masih sihat walafiat. Menerusi email turut disebarkan kononnya akan berlaku malapetaka besar jika orang yang dilihat memperjuangkan Islam tiba-tiba disabitkan kesalahan melakukan jenayah seks luar tabie.

Ketika ura-ura Tenaga Nasional Berhad bakal melaksanakan tarif baru elektrik, ramai yang membuat spekulasi bahawa kerajaan sudah tidak berwang untuk menampung subsidi. Penstrukturan semula subsidi itu didakwa akan menyebabkan rakyat akan menerima kesan secara langsung kerana terpaksa membayar harga barangan yang mahal di samping mengikat perut atas alasan peningkatan kos sara hidup.

Fenomena sedemikian amat mudah dipercayai oleh sebahagian besar anggota masyarakat yang malas berfikir dan membuat analisis terhadap faktor persekitaran yang melanda seluruh dunia. Kenaikan tarif kerana harga bahan bakar yang digunakan untuk menggerakkan janakuasa elektrik sudah meningkat.

Harga petroleum bukanlah sesuatu yang boleh dikawal oleh kerajaan kerana ia tertakluk kepada permintaan dan penawaran. Jika permintaan bertambah manakala penawaran berkurangan, harganya akan terus meningkat tinggi sehingga boleh mewujudkan inflasi jika tanpa kawalan ketat. Peningkatan inflasi akan menyebabkan rakyat hidup menderita dan seterusnya bakal membawa kepada pergolakan sosial.

Apa yang menjadi bahan propaganda sesetengah pihak ialah kegagalan kerajaan untuk bertindak mengawal harga. Tetapi, dalam masa yang sama apabila kerajaan menentukan mekanisme harga, ada pihak yang mendesak agar pasaran dibiarkan bebas. Bila pasaran diberikan kebebasan untuk menentukan harga sesuatu barangan, golongan terbabit sekali lagi menyalahkan kerajaan kerana tidak campur tangan.

Golongan ini sebenarnya adalah mereka yang boleh dikategorikan sebagai ektremis. Golongan ini sengaja mencari alasan untuk menyalahkan orang lain dengan membuat tudingan tanpa memperjelaskan permasalahan sebenar yang berlaku. Mereka sengaja tidak ingin melihat sebuah kerajaan yang stabil, kerana mereka mempunyai kepentingan untuk mengambil alih pemerintahan walhal pandangan yang diberikan masih belum dapat dibuktikan berkesan.

Mereka lebih suka bermain dengan ramalan, spekulasi dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Golongan ini boleh dianggap sebagai pengacau. Pengacau merupakan kumpulan yang amat dibenci oleh Islam, kerana setiap kata-kata dan tindakannya cenderung kepada aksi melampau.

Sejarah kemunculan golongan pelampau dalam Islam turut menjadikan fitnah sebagai senjata tajam yang bertujuan menikam keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Semasa pemerintahan Saidina Uthman Affan misalnya, pengacau agama bukan sahaja bertindak secara melampau, malah menaburkan fitnah sehingga membawa kepada pembunuhan khalifah.

Bagaikan tidak terdaya untuk menafikan kelemahan dalam pemerintahannya, Khalifah Uthman Affan terus diasak dengan api kebencian. Resapan api kebencian dan kemarahan dalam sesetengah rakyat menyebabkan mereka lebih mudah membunuhnya.

Saidina Ali bin Abi Talib yang dilantik sebagai pengganti menyifatkan situasi itu sebagai fitnah yang mencelakakan umat Islam. Struktur masyarakat hampir tidak terkawal dan huru-hara terjadi di mana-mana. Kekecuhan dan kekacauan tersebut dikenali sebagai al-ghaugha.

Al-ghaugha menjadi satu bentuk gerakan massa. Mereka berkumpul atas dasar rasa marah yang meluap-luap. Kemarahan menjadi suatu kuasa yang mewujudkan sengketa dan konflik. Akhirnya, atas kebijaksanaan Khalifah Ali bin Abi Talib, gerakan tersebut dapat ditenteramkan. Usaha memulihkan keadaan kepada pesekitaran yang lebih mengambil masa yang panjang dengan keringat yang lebih besar.

Meruntuh atau menghancurkan sesuatu yang sedia ada adalah lebih mudah berbanding membina semula puing-puing kehancuran. Ini terlalu banyak yang dapat kita pelajari dari sejarah bagaimana membina semula tamadun yang hancur adalah lebih sukar daripada meruntuhkannya. Menghapuskan fitnah menjadi tanggungjawab yang amat besar dituntut oleh Islam.

Dalam menjelaskan situasi kacau bilau, Khalifah al-Makmun berkata: "Setiap kejahatan dan kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama dan merosakkan orang-orang yang hidup dalam limpahan kasih sayang. Mereka adalah pencuri, perompak dan orang-orang yang sombong."

Dalam menangani perkara ini, Allah SWT berfirman: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya." (a-Anfal: 25)

Abdullah bin Saba' telah dikenal pasti sebagai orang yang menganjurkan sikap al-ghaugha. Abdullah terus menerus menaburkan fitnah sehingga berjaya mencetuskan peperangan antara Aisyah dengan Ali, Muawiyah dan Ali (Perang Siffin) dan akhirnya melahirkan kumpulan Khawarij yang bukan sahaja bergabung dengan Muawiyah untuk membunuh Ali bin Abi Talib malah turut bersubahat dengan Bani Umayyah untuk membentuk Dinasti Abbasiyah.

Fitnah dalam pandangan Islam adalah amat berbahaya. Allah SWT berfirman: "Dan (ingatkah bahawa angkara) fitnah, iaitu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (al-Baqarah: 191)

Walaupun ada mereka yang mendakwa dirinya memperjuangkan Islam, tapi pada dasarnya mereka turut menyebarkan fitnah dengan berselindung di sebalik fakta yang separuh benar. Pencerakinan maklumat disekat, kerana maklumat yang tidak menyokong pendiriannya dianggap tidak penting, sebaliknya fakta samar-samar menjadi sesuatu yang sengaja didendangkan secara lantang bagi menimbulkan lebih banyak kekeliruan.

Sebagai orang Islam, kita sentiasa diwajibkan menambahkan ilmu agar tidak mudah tertipu dengan pelbagai dakyah, fitnah dan ramalan yang tidak berasas. Kita diwajibkan mempertingkatkan keimanan dan tentunya, tanpa kesihatan yang baik, kita tidak mampu untuk membuktikan setiap tingkah laku kita selaras dengan cita-cita luhur. Kita sebenarnya sedang berperang dengan diri kita sendiri, kerana kitalah sebenarnya yang membenarkan fitnah terus berkembang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Menanti ketegasan Hadi

Posted:

Menanti ketegasan Hadi

Menanti ketegasan Hadi

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Abdul Hadi Awang berkomunikasi melalui telefon. Perwakilan Muktamar tahunan Pas ke-57 menunggu amanat daripada Presiden parti mereka.


HARI ini, tirai Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-57 akan dibuka dengan rasminya oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Biarpun muktamar kali ini akan dihiasi dengan pertarungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden namun apa yang hendak disampaikan oleh Abdul Hadi tetap menjadi perhatian.

Ia kerana Abdul Hadi bukannya berucap ketika Pas berada dalam keadaan selesa seperti tahun 2008, apabila parti itu bersama-sama rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mencapai kejayaan agak cemerlang dalam pilihan raya umum pada tahun tersebut.

Tetapi Abdul Hadi akan melangkah ke podium dengan senaskhah ucapan yang akan menentukan hala tuju Pas selepas ini terutamanya bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak menjadi 'kuburan' kepada perjuangan politik parti itu.

Mungkin istilah tersebut nampak keterlaluan tetapi sentimen ini turut dikongsi bersama oleh sebahagian penyokong dan ahli-ahli Pas yang semakin resah melihat kerjasama dalam pakatan pembangkang yang tidak menguntungkan parti tersebut.

Justeru mereka ingin melihat sejauh manakah Abdul Hadi akan menunjukkan ketegasan bagi memastikan Pas tidak lagi menjadi 'mangsa' mainan politik DAP dan PKR.

''Kita tidak mahu mendengar ucapan retorik atau sekadar mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja, yang kita mahu dengar ialah bagaimana hendak memartabatkan semula Pas sebagai parti dominan dalam pembangkang,'' kata seorang penyokong parti itu dari Kedah.

Penyokong berkenaan yang akan turut memeriahkan muktamar kali ini sebagai pemerhati berkata, Abdul Hadi tidak boleh lagi beretorik apatah lagi berhati-hati demi menjaga hati rakan sekutu Pas.

''Abdul Hadi kena tunjuk ketegasan bahawa Pas mahu menjadi pemain utama bukannya dilayan ibarat melukut di tepi gantang,'' katanya yang juga seorang ustaz.

Sememangnya Abdul Hadi perlu teliti dalam penyampaian ucapan dasarnya kali ini. Beliau tidak boleh menghalakan kritikan dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan BN semata-mata.

Dalam keadaan Pas sedang melakukan persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya dan begitu ghairah mencanangkan menggantikan UMNO, beliau perlu menyampaikan satu ucapan yang mampu menunjukkan kesungguhan Pas untuk kembali menjadi parti pembangkang utama.

Ucapan dasar beliau juga akan menjadi kayu pengukur sejauh manakah ia mampu untuk menghakis tanggapan bahawa Abdul Hadi sekarang bukanlah seperti mana Abdul Hadi yang dahulunya begitu lantang dan penuh dengan karisma kepimpinan sehingga ia dihormati oleh kawan dan lawan.

''Sebab itulah ucapan dasar kali ini cukup penting untuk beliau kerana ia akan turut menjadi penilaian utama kepada pihak-pihak di luar Pas terutamanya orang Melayu sejauh manakah Pas mahu berubah.

''Abdul Hadi perlu memberikan isyarat yang jelas ke arah mana beliau mahu membawa Pas selepas ini kerana ahli Pas sendiri tidak mahu tema ucapannya sekadar gah pada nama sahaja,'' kata seorang pemimpin Pas daripada golongan profesional kepada penulis.

Fakta ini sememangnya sukar dinafikan kerana walaupun suatu ketika Abdul Hadi dalam ucapannya begitu tegas menyatakan bahawa sudah tibanya Islam memimpin, namun ia akhirnya tidak ubah sekadar retorik sahaja.

Dalam realiti sebenar, laungan Islam memimpin itu senyap begitu sahaja apabila PKR dan DAP bersuara seolah-olah tidak bersetuju dengan gesaan tersebut.

Kesudahannya, hasrat dan niat Abdul Hadi serta Pas tidak ke mana, sebaliknya dalam percaturan politik yang berlaku Pas dilihat sekadar menuruti apa sahaja kehendak kedua-dua parti berkenaan.

Atas sebab itulah, muktamar hari ini perlu dijadikan medan kepada langkah politik Pas yang lebih jitu, tegas dan konsisten dalam perjuangan Islam dan bukannya dipengaruhi dengan cita-cita untuk menguasai Putrajaya sahaja.

Dalam amalan politik yang berteraskan demokrasi seperti Malaysia, tidak salah jika Pas turut menyimpan hasrat untuk memerintah negara tetapi biarlah ia disertai dengan perancangan yang mampu menanam keyakinan kepada rakyat terutamanya orang Melayu untuk memilih mereka.

Tetapi buat masa ini, orang Melayu terutamanya golongan atas pagar tidak melihat Pas mempunyai keupayaan tersebut, apatah lagi sejak berkawan dengan PKR dan DAP.

Dalam banyak isu termasuklah berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam, Pas dilihat lebih suka bermain cara selamat demi menjaga hati rakan sekutu mereka.

Justeru adalah penting bagi Abdul Hadi membentangkan satu ucapan dasar yang boleh memberikan harapan kepada penyokong-penyokong Pas bahawa selepas muktamar ini parti itu bukanlah 'alat mainan', 'kuda tunggangan' atau 'pak turut' kepada sesiapa.

Pembentangan hujah mengenai perjuangan menegakkan negara berkebajikan juga harus disampaikan secara berhati-hati oleh Abdul Hadi bagi mengelakkan Pas dianggap telah meninggalkan perjuangan negara Islam buat selama-lamanya.

Apatah lagi berikutan prestasi kerajaan-kerajaan negeri di bawah pembangkang termasuk di Kedah dan Kelantan yang diperintah oleh Pas, rakyat melihat begitu banyak kepincangan berlaku.

Ia termasuklah kegagalan menunaikan janji-janji yang telah dibuat dalam manifesto pilihan raya dan jika konsep negara berkebajikan pun mempunyai janji-janji 'bulan dan bintang' sudah tentulah ia tidak akan diterima oleh rakyat.

Oleh itu biarlah apa yang hendak dijanjikan Abdul Hadi dan Pas adalah realistik dan bukan hanya sekadar janji kosong bagi meraih undi semata-mata.

Mungkin pembangkang boleh mendabik dada atau memutar belitkan fakta bahawa sokongan rakyat kini semakin meningkat kepada mereka tetapi pada masa ini semua orang tahu populariti pembangkang semakin merudum berikutan pelbagai masalah melanda mereka sama ada dari segi politik mahu pun moral.

Turut menjadi perhatian sejauh manakah Abdul Hadi berani untuk menyatakan secara terbuka bahawa dalam pilihan raya umum akan datang Pas seharusnya menjadi peneraju utama bagi pakatan pembangkang.

Ini kerana penyokong dan ahli Pas tidak mahu lagi parti itu berada dalam keadaan sekarang dilayan sebagai parti ketiga oleh kedua-dua parti tersebut.

''Perlu ada ketegasan daripada Abdul Hadi, di mana sepatutnya Pas berada dalam pilihan raya akan datang.

''Kita tidak mahu orang Pas hanya digunakan untuk mengarak bendera orang lain sahaja atau dipergunakan ketika kempen tetapi kemudian seolah-olah tidak dihargai dan dihormati,'' kata seorang teman sekampung penulis yang juga penyokong tegar parti itu.

Justeru pemimpin, ahli dan penyokong Pas meletakkan harapan tinggi kepada Abdul Hadi untuk memastikan ucapan dasar beliau bukan sahaja menunjukkan hala tuju yang jelas tetapi juga meningkatkan kembali martabat parti itu.

Ia memandangkan Pas hanya nampak hebat berlawan dengan UMNO tetapi dilihat 'tunduk' apabila berhadapan dengan sekutunya, PKR dan DAP sehingga dilayan bagaikan parti 'kelas tiga' dalam pembangkang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved