Rabu, 25 Mei 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Upah penyiasat buktikan kecurangan

Posted:

Upah penyiasat buktikan kecurangan

Upah penyiasat buktikan kecurangan

Oleh ROSMAH DAIN
Gambar RASHID MAHFOF dan NOOR AZLINA JAAFAR

SESUNGGUHNYA menerima hakikat sesuatu kebenaran itu sangat pahit. Namun ramai yang sanggup menerima kenyataan itu dan rela mengenepikan risiko yang bakal dihadapi.

Justeru demi untuk 'melihat' kebenaran itu jugalah menyebabkan ramai yang pada mulanya berasa sangsi dengan kesetiaan pasangan masing-masing sanggup mengupah penyiasat persendirian untuk mendapatkan apa yang dikatakan kebenaran di sebalik setiap rasa kecurigaan.

Malah mengupah penyiasat persendirian atau PI kini merupakan satu trend.

Ini diakui oleh Aziz Ariarasa Abdullah, Pengurus Perunding MVD International Sdn. Bhd., sebuah agensi penyiasat persendirian di ibu negara.

Katanya, kerana merasa curiga dalam hubungan rumah tangga ramai di kalangan suami atau isteri secara diam-diam mengambil pendekatan mengupah penyiasat persendirian untuk melihat sejauh mana kebenaran akan kesangsian yang bermain di fikiran mereka.

Aziz Ariarasa menjelaskan, syarikatnya banyak menerima e-mel atau permintaan untuk menyiasat individu atau sasaran yang dimaklumkan.

''Dalam prosedur kerja, sekurang-kurangnya tiga hari diperlukan untuk menjalankan siasatan secara mengekori sasaran sebelum penyiasat kami membuat laporan.

''Apa yang diperlukan ialah alamat. Kalau ada gambar sasaran lagi bagus, nombor telefon, nombor kereta dan beberapa maklumat lain. Lagi banyak maklumat lagi memudahkan kerja penyiasat.

''Apabila pelanggan itu datang semula, pihak kami akan maklumkan segala yang berlaku berdasarkan laporan dan gambar-gambar yang dirakam oleh penyiasat kami,'' jelasnya.

Aziz memberitahu, dalam siasatan itu sasaran tidak akan tahu dirinya diekori kerana mereka mempunyai cara tersendiri dan penyamaran ketika melakukan siasatan.

Biasanya satu kumpulan dianggotai oleh empat orang penyiasat. Mereka akan cuba tidak mendedahkan diri dan tidak akan berlaku 'sentuhan fizikal' dengan sasaran.

Justeru, lagi dekat kedudukan jarak penyiasat dengan sasaran lagi baik agar memudahkan siasatan.

Malah sekiranya ingin merakamkan gambar, pihak penyiasat akan menggunakan gajet yang tercanggih yang pastinya tidak akan diketahui oleh sesiapa bahawa pergerakan mereka sedang dirakam sama ada dalam bentuk video mahupun gambar statik.

Menurut Aziz Ariarasa, ada di kalangan pelanggan yang mahu mendapatkan jawapan bagi siasatan dalam masa sehari.

Namun katanya, itu adalah satu keadaan yang agak mustahil kerana dikhuatiri sasaran yang diekori tidak keluar atau tiada aktiviti menunjukkan perjumpaan berbentuk kecurangan berlaku.

''Kita sebagai penyiasat persendirian mempunyai batas tertentu. Kta tidak boleh menyiasat sehingga ke dalam bilik atau rumah mahupun tempat yang private.

"Tetapi penyiasat boleh memberi maklumat dari bahagian luaran mahupun alamat tempat yang dikunjungi sasaran.

"Apa yang berlaku di dalam rumah atau bilik, kami tidak boleh rakamkan," jelasnya.

Apabila ditanya siapakah yang paling banyak membuat aduan, katanya, kaum Melayu dan mereka yang beragama Islam paling banyak bertanya untuk mendapatkan perkhidmatan syarikatnya.

Namun, katanya kos untuk perkhidmatan itu agak tinggi dan ramai yang tidak mampu.

Katanya, sebaik sahaja permintaan untuk melakukan siasatan dipersetujui, mereka perlu bayar yuran sebanyak 50 peratus sebelum bayaran penuh dijelaskan selepas laporan diserahkan.

''Upah untuk perkhidmatan ini sahaja bermula dengan empat angka," katanya yang enggan menjelaskan secara terperinci yuran sebenar yang diperlukan untuk perkhidmatan penyiasat persendirian.

Menurut Aziz Ariarasa, jika dipecahkan mengikut jantina, 60 peratus daripada si pengadu adalah wanita manakala bakinya 40 peratus lagi lelaki. Dalam seminggu kata beliau, syarikatnya boleh menerima kira-kira 10 kes.

Tegasnya, bukan semua kes yang disiasat berakhir dengan bukti bahawa pasangan curang.

''Bagaimanapun perkhidmatan kita banyak digunakan oleh golongan ekspatriat yang bertugas di luar negara dan mahu kita siasat pasangan mereka yang tinggal di sini.

''Kita siasat atas permintaan pelanggan. Jika mereka mahu kita siasat, kita siasat. Selepas itu urusan rumah tangga mereka kita tidak akan masuk campur," katanya.

Apabila ditanya apakah kebaikannya mendapatkan perkhidmatan penyiasat persendirian ini, menurut Aziz Ariarasa sebagai individu yang mengupah, mungkin ia satu tindakan yang akan menjawab dan merungkai segala persoalan yang selama ini memberatkan minda mereka.

Mungkin tegasnya, selepas terungkai segala persoalan mereka akan menjadi lebih tenang dan seterusnya membuka jalan ke arah pembaikan permasalahan rumah tangga mereka.

''Ada isteri mengupah penyiasat persendirian apabila mengesyaki suaminya bersekedudukan. Di sini pihak kami hanya akan menjalankan siasatan dan melaporkan di mana kedudukan suami mereka.

''Seterusnya pelanggan yang akan memaklumkan kepada pihak berkuasa seperti pihak agama di sesuatu tempat mengenai kes suaminya yang berkhalwat sebelum serbuan dilakukan,'' jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tugas penyiasat persendirian remeh

Posted:

Tugas penyiasat persendirian remeh

Tugas penyiasat persendirian remeh

JANGAN teruja dengan apa yang dilihat di kaca televisyen. Itu semua tidak betul," demikian kata Aziz Ariasa Abdullah apabila ditanya mengenai bagaimana rasanya menjadi penyiasat persendirian.

Tegasnya, menjadi seorang penyiasat persendirian perlu mempunyai minat yang mendalam.

Ia adalah satu bidang profesional yang amat mencabar dan memenatkan.

''Ini bukan satu bidang yang glamor. Macam dalam televisyen, pakai kaca hitam, pegang pistol dan tampak kacak.

''Kerjaya ini memerlukan seseorang yang amat komited tidak boleh mendedahkan diri, letih, tidak cukup tidur, kerja yang tidak menentu dan memerlukan tindakan berdasarkan fikiran yang rasional.

''Apa yang pasti pekerjaan ini bukan satu bidang untuk cari 'makan'," jelasnya.

Apabila ditanya apakah seorang penyiasat persendirian itu dari kalangan mereka yang pernah berkhidmat dari unit beruniform, itu tidak semestinya kata Aziz Ariarasa, kerana orang biasa juga boleh menjadi penyiasat asalkan ada keyakinan diri, berpengalaman dan bijak menelaah situasi.

Katanya lagi, tindakan penyiasat persendirian yang biasa ialah mengekori sasaran yang sudah pasti ada teknik tertentu.

Bagi MVD International Sdn. Bhd., Bridging Intelligence Worldwide sendiri, syarikat itu ditubuhkan sejak tahun 2000 dengan tapak asalnya di Cheras.

Hasil daripada pelbagai kegiatan menyelesaikan masalah yang bersangkutan dengan peribadi, ia berkembang pesat sehingga ke hari ini berada di Bangsar, Kuala Lumpur dan ramai juga pelanggannya dari luar negara.

Tambahnya, setiap kes yang diambil akan diberi perhatian secara individu dengan setiap pelanggan yang datang akan diberikan motivasi dan rundingan terlebih dahulu sebelum siasatan dijalankan.

Tambah Aziz Ariarasa yang juga merupakan bekas pegawai polis, di negara ini hanya terdapat 15 syarikat yang menyediakan khidmat penyiasat persendirian yang sah dan mempunyai lesen di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 seksyen 2(a) (kawalan, perkhidmatan, keselamatan dan lesen 2(b) yang boleh menjalankan penyiasatan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

MVD International Sdn. Bhd. katanya, mempunyai 25 orang penyiasat persendirian yang berumur antara 25 hingga 40-an terdiri daripada lelaki dan wanita.

''Mereka yang bertugas di luar akan menjalankan proses siasatan dan risikan menerusi pengekoran manakala yang berada di pejabat akan menjalankan penyiasatan menerusi dokumen-dokumen khas, komputer, Internet dan sebagainya untuk menyokong siasatan yang sedang dijalankan,'' jelasnya.

MVD International Sdn. Bhd. boleh dihubungi menerusi talian 03-2282 3535 ataupun menerusi laman sesawang www.mvdinternational.com.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved