Jumaat, 18 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Sumber pendapatan peniaga terjejas

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian peniaga pasar malam di Jalan 9/48A, Bandar Baru Sentul berkumpul bagi membantah tindakan DBKL menutup pasar malam di kawasan itu sehingga menjejaskan periuk nasi mereka di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 18 April - Kira-kira 300 peniaga pasar malam di Jalan 9/48A, Bandar Baru Sentul hari ini berkumpul bagi membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup pasar malam di situ sehingga menjejaskan periuk nasi mereka.

Penutupan pasar malam di situ didakwa bagi memberi laluan kepada projek sambungan bagi Fasa 2 Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pasar Malam Bandar Baru Sentul, Jalani Abdul Latif berkata, tindakan itu disifatkan tidak berperikemanusiaan dan mahu pihak berkuasa tempatan itu segera menyelesaikan masalah mereka.

Menurutnya, notis perintah penutupan tapak pasar malam yang berkuatkuasa pada 21 Mac lalu itu turut menyebabkan peniaga kehilangan sumber pendapatan untuk menyara keluarga mereka.

'DBKL sewajarnya menyediakan tapak baharu sebagai ganti bagi membolehkan kami terus berniaga bukan mengambil tindakan menutup pasar malam ini.

'Jika DBKL boleh memberi laluan untuk kerja-kerja projek lebuhraya tersebut, nasib kami juga perlu dibela,' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jalani berkata, DBKL sebenarnya telah mengenalpasti satu tapak baharu untuk peniaga berpindah iaitu di Jalan 11/48A, Sentul Raya.

'Apa yang mengecewakan tanpa sebarang alasan pemindahan peniaga ditangguhkan. Kami difahamkan ada pihak-pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan pemindahan itu dengan alasan menyebabkan gangguan dan kesesakan lalu lintas,' katanya.

Peniaga soto Azlan Harun, 55, berkata, dia kini buntu memikirkan nasib dan masa depannya selepas penutupan pasar malam di situ.

'Saya hanya mampu berniaga di sini sahaja, tidak ada tempat lain. Kami tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu nasib,'katanya.

Turut berkongsi perasaan, Zainab Mohd. Nor, 57, yang berniaga kuih putu piring di situ.

'Saya mempunyai pelanggan tetap yang menggemari putu piring tanpa mengira bangsa dan agama.

'Memandangkan sudah hampir sebulan tidak berniaga, kehidupan kami sekeluarga sangat sukar,' katanya.

Zayrina Anafri, 30, pula berkata dia dan suami hanya mengharapkan pendapatan melalui perniagaan di tapak pasar malam di situ.

'Keadaan ini menyebabkan mata pencarian utama kami terjejas.

'Kami amat berharap agar DBKL dapat membela nasib peniaga kecil seperti kami,'ujarnya.

LRA Wangsa Maju ditutup semula

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 18 April - Perjalanan pelan catuan bekalan air di beberapa kawasan sekitar wilayah Gombak terjejas ekoran kekerapan penutupan loji rawatan air (LRA) Wangsa Maju.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas), Priscilla Alfred berkata, penutupan itu disebabkan tahap kekeruhan yang tinggi pada air mentah di Sungai Gombak.

'Penutupan oleh Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. (PNSB) itu dilakukan antara pukul 4.45 petang hingga 12 tengah malam, semalam.

'Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai pihak yang mengawalselia sungai di Selangor juga sedia maklum mengenai perkara ini,' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Priscilla berkata, penyaluran bekalan air di beberapa kawasan kecil di sekitar Puchong turut terjejas selepas berlaku kerosakan injap di Jalan Bangau, Puchong, semalam.

'Kerja-kerja pembaikan injap berkenaan dilakukan dengan segera dan bekalan air telah dibuka kepada pengguna pada pukul 5 petang hari yang sama,' jelasnya.

Tambahnya, pelaksanaan pelan catuan peringkat pertama, ketiga dan keempat masih diteruskan sehingga diputuskan semula oleh kerajaan negeri Selangor dan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

Bincang isu rumah ibadat haram

Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan

KUALA LUMPUR 17 April - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan satu sesi taklimat mengenai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) untuk semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin depan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sesi taklimat dan pertemuan tersebut bagi menjelaskan kepada mereka mengenai isu-isu pembinaan rumah ibadat secara haram dan kaedah yang dilakukan oleh kementerian itu dalam menangani perkara berkenaan.

"Saya dan timbalan menteri, Datuk Dr. Loga Bala Mohan akan mengadakan sesi taklimat di bangunan Parlimen supaya isu pembinaan dan pembukaan rumah ibadat bukan Islam membabitkan kuil, tokong dan gereja dapat diuruskan dengan baik.

"Ia juga melibatkan pelbagai agensi di bawah kementerian ini seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang perlu bertindak mengikut undang-undang terhadap pembinaan rumah ibadat di atas tanah kerajaan dan tanah milik persendirian yang dibuat tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Permuafakatan Komuniti 1 Malaysia (K1M) Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Yang turut hadir Loga Bala, Pengerusi Permuafakatan K1M Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Yusri Ahmad; Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aziman Hassan dan 49 wakil K1M.

Tengku Adnan menjelaskan, kementerian itu akan membantu menukar status lot-lot kedai yang dijadikan premis rumah ibadat kepada status yang sah bagi mengelak kekeliruan dan pertelingkahan melibatkan penganut agama lain kerana premis seumpama itu tidak boleh dijadikan rumah ibadat.

"Kita akan kaji kesemua aspek kewujudan rumah-rumah ibadat tersebut tanpa mengira lokasi dan jika perlu kita akan mencadangkan tapak baharu mengikut keperluan sebenar komuniti di sesebuah kawasan.

"Jika perlu perkara ini kita akan bawa ke Parlimen untuk dijadikan satu akta dan peraturan RIBI yang khusus," katanya.

Menurutnya, sehingga kini kementeriannya berjaya menangani hampir 17 kes rumah ibadat yang dibina secara haram terutama melibatkan kuil-kuil Hindu dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian tersebut sedia menjadikan 49 buah K1M yang ditubuhkan melalui Jabatan Penerangan Negeri di seluruh Wilayah Persekutuan sebagai anak angkat dengan menyediakan sumbangan sebanyak RM1.4 juta.

"K1M yang bertindak sebagai mata, telinga dan mulut kerajaan perlu dibantu dengan dana sedemikian rupa bagi memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang boleh mendekatkan kerajaan kepada rakyat.

"Ia merupakan langkah yang penting dalam memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai pelbagai isu yang sering diputar belit oleh pihak pembangkang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved