Jumaat, 31 Januari 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Simpan kenangan manis

Posted: 31 Jan 2014 05:43 AM PST

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

Penyampai Berita NTV7, Tiang Kah Chee, Seah Song Fan dan Goh Wee Ping di Bandar Utama, baru.baru ini.

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 31 Januari (hari ini) menandakan masyarakat Cina menyambut tahun baharu yang membawa signifikan cukup bermakna. Ia bukan sahaja bermakna kepada masyarakat Cina malah kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Perayaan Tahun Baharu Cina sebenarnya lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).

Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada Tahun Baharu Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru. Tahun ini pula jatuh pada tahun kuda.

Di Malaysia, kemeriahan sambutan perayaan ini boleh dilihat di pusat membeli-belah. Semua perhiasan mula bertukar kepada warna merah, malah, penjualan limau Mandarin juga boleh dilihat di merata tempat.

Tidak ketinggalan dalam menyambut perayaan itu adalah golongan selebriti. Berkongsi pengalaman dan nostalgia ialah tiga rakan baik iaitu Tiang Kah Chee, Seah Song Fan dan Goh Wee Ping yang menyambut Tahun Baharu Cina sebagai seorang selebriti. Mereka adalah pengacara sebuah rancangan bual bicara di ntv7. Banyak cerita yang dikongsi bersama dan sambutan tahun kuda disambut berbeza oleh ketiga-tiga mereka.

Cahaya kehidupan

Penyampai berita Mandarin 7, Tiang Kah Chee berkata, sambutan Tahun Baharu Cina sememangnya menyimpan banyak kenangan yang diingati sampai sekarang.

"Saya masih ingat kenangan ketika Tahun Baharu Cina semakin menjelang. Saya akan bersama rakan-rakan sekampung pergi ke sebuah tokong Cina. Tambahan, rumah saya betul-betul dekat dengan tokong tersebut.

"Kami akan duduk di situ sambil melihat cahaya lampu yang dipasang. Budak-budak seperti kami memang seronok ketika bermain dengan lampu-lampu itu.

"Di situ (tokong) ada orang buat persembahan pentas. Memang meriah kerana selain cahaya, kami juga akan menikmati makanan yang dijual serta menyaksikan beberapa orang yang akan mengecat muka mereka menjadi seperti patung," katanya yang berasal dari Sitiawan, Perak.

Terus mengimbau kenangan semasa perayaan itu, Kah Chee memberitahu, sebelum itu mereka sekeluarga akan bergotong-royong membersihkan rumah.

"Memang seronok kerana kami akan berkumpul dan sama-sama melakukan kerja di rumah. Ada yang mengemas ruang tamu, ada yang menyapu. Ada juga yang membuat kuih dan sebagainya. Semangat kekeluargaan kami memang terserlah ketika itu ditambah dengan kehadiran saudara-mara yang lain.

"Namun, pada tahun ini, saya tidak akan merasakan keseronokan itu lagi memandangkan saya hanya akan balik kampung pada hari ketiga Tahun Baharu Cina.

"Perasaan sedih itu memang ada. Namun, kesibukan saya bukan satu alasan untuk saya tidak pulang ke kampung. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyambut satu-satunya perayaan yang menghimpunkan seluruh ahli keluarga saya," kata Kha Chee yang sudah dua tahun berkahwin.

Menurutnya lagi, ini merupakan kali kedua dia akan memberikan angpau berbeza dengan sebelum berkahwin.

"Adat orang Cina selagi belum kahwin tidak boleh bagi angpau. Lain dengan sekarang, saya sudah kahwin dan saya pula yang kena bagi angpau.

"Tetapi, saya tidak kisah semua itu kerana yang penting saya dapat membuatkan ibu bapa saya gembira. Tentang perbelanjaan, saya hanya mengamalkan berbelanja secara sederhana.

"Saya tidak ada bajet yang khusus untuk perayaan ini. Bila balik kampung saya akan lihat apa yang tidak ada dan saya akan beli. Lagipun, ibu bapa saya tidak suka membazir dan saya akan dimarahi mereka jika membeli terlalu banyak barang. Oleh itu saya hanya beli apa yang patut sahaja," tutur wanita berusia 30 tahun ini.

Angpau RM5,000

Berbeza dengan pelakon dan pengacara, Goh Wee Ping yang menyifatkan Tahun Baharu Cina sebagai 'lubuk' untuknya mengumpul duit.

Mana tidaknya, kata Wee Ping, dia mampu mengumpul duit angpau sehingga RM5,000 setiap kali perayaan itu diraikan.

"Itu keistimewaan dan keunikan sambutan Tahun Baharu Cina. Selain makan-makan, kita juga boleh mengumpul dan menyimpan duit," kata pemuda yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.

Apa yang lucu tentang sambutan ini buat Wee Ping apabila semasa kecil, dia dan adik-beradiknya yang lain seolah-olah menjadi 'hamba abdi'. Kata Wee Ping, mereka memang takut setiap kali menjelangnya perayaan itu.

"Bukan apa, setiap hari rumah kami akan dikunjungi beratus-ratus orang. Ayah saya memang ramai kawan. Setiap kali selesai orang yang datang, saya dan abang serta kakak akan diarah untuk mengemas rumah.

"Itu yang kami jadi takut. Ia membuatkan kami fobia dan tidak mahu menyambut Tahun Baharu Cina. Tetapi, biarpun begitu, kami rasakan kepenatan dan kegembiraan dalam masa yang sama," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik.

Jika orang lain berkumpul dengan keluarga, lain pula halnya dengan bekas pengacara Deal Or Not Deal, Wee Ping, 42, kerana pada tahun ini dia berkemungkinan tidak akan pulang ke rumah. Menurutnya, kerja yang berlambak membuatkan dia tidak sempat pulang.

"Mungkin saya akan balik sekiranya kerja saya sudah disiapkan. Walaupun lambat saya harap ibu bapa saya tidak marah.

"Lagipun, biasanya ibu dan ayah saya akan datang ke Kuala Lumpur atau berlepas ke Hong Kong untuk meraikan perayaan ini," katanya.

Mengenai perbelanjaan pula, Wee Ping turut berbelanja secara sederhana.

"Semua serba ringkas. Memang perayaan ini tidak seronok bagi saya sekarang tidak sama seperti dulu. Kalau dulu, setiap kali perayaan ini tiba, kami sekeluarga akan membeli pakaian baru. Semuanya baru," bicaranya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perayaan itu, Wee Ping memberitahu yang menarik semasa sambutannya adalah upacara membakar mercun.

"Mercun akan dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran yang membawa maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.

"Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar," katanya.

Bagi orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, setiap keluarga yang pulang disambut dengan makan besar sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.

Makanan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.

Menurut seorang lagi selebriti ini, Seah Song Fan, keluarga mereka akan balik bersama dan berkumpul pada malam sebelum Tahun Baharu Cina.

"Kami akan balik lebih awal dan berkumpul. Pada malam itu, kami akan makan bersama. Itu yang seronok.

"Sebab itu, saya tidak sabar untuk pulang ke kampung saya di Teluk Intan. Pada tahun lepas saya meraikan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur kerana kerja. Kira tahun ini saya mahu sambut dua kali ganda meriah untuk menebus sambutan tahun lalu," ujarnya.

Menurut Song Fan, Tahun Baharu Cina kali ini sangat bermakna kerana dia berpeluang meraikannya bersama keluarga pada hari pertama perayaan itu.

"Tahun ini memang saya ambil cuti awal-awal sebab hanya ketika perayaan ini sahaja semua ahli keluarga dapat berkumpul. Saya mahu semua keluarga saya ada. Bajet pula saya hanya melakukannya secara sederhana," katanya.

Tambah Song Fan, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, ada upacara sembahyang dilakukan sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang.

"Kami akan berkumpul bersama pada pagi itu dan sembahyang bersama-sama di depan altar yang disediakan di dalam rumah. Selepas itu, baru kami akan berkunjung ke rumah saudara mara.

"Kami akan bersama-sama menikmati makanan serta kuih-muih yang disediakan. Sama juga dengan perayaan kaum lain," katanya.

Sama seperti orang lain, Song Fan juga tidak ketinggalan untuk membeli segala keperluan untuk sambutan Tahun Baharu Cina meskipun begitu, dia hanya mengamalkan berbelanja secara sederhana.

Sedikit lucu mengenai Tahun Baharu Cina buat Song Fan adalah dia masih menerima angpau kerana dia masih belum berkahwin.

"Saya sendiri jadi malu kerana umur tahun ini sudah 34 tahun tetapi masih dapat angpau. Sebab itu saya berazam untuk berkahwin supaya lepas ini saya pula boleh bagi angpau," tuturnya dalam tawa mengakhiri perbualan.

Josh Gad bakal The Thing?

Posted: 31 Jan 2014 05:43 AM PST

MAMPUKAH Josh Gad (kanan) melakonkan watak The Thing untuk filem The Fantastic Four.

FILEM The Fantastic Four memang popular di kalangan penggemar siri komik walaupun para pelakon yang membawakan watak-watak adisatria dalam filem itu sering bertukar ganti.

Antara watak hero dalam filem itu adalah watak The Thing yang kini dikatakan sedang dalam proses pencarian pelakon yang sesuai untuk melakonkan watak tersebut.

Khabar angin mula bertiup kencang dengan menyebut nama pelakon Josh Gad sebagai pelakon yang sesuai untuk melakonkan watak tersebut.

"Khabar angin tentang siapakah pelakon yang akan diuji bakat bagi melakonkan watak The Thing sedang bertiup kuat. Kali ini giliran Josh Gad pula yang antara disebut-sebut bakal melakonkan watak The Thing yang juga dikenali sebagai Ben Grimm," kata sumber.

Pada filem The Fantastic Four sebelum ini watak itu telah dilakonkan oleh Michael Chiklis. Namun, sejauh mana kemampuan Josh dalam melakonkan watak The Thing yang bertubuh seperti batu-bata itu hanya para penonton sahaja yang dapat menilainya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved