Sabtu, 30 November 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Mohon ke negeri asal terbanyak

Posted: 27 Nov 2013 10:50 AM PST

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 27 Nov. - Kementerian Pendidikan kini menghadapi masalah lambakan permohonan pertukaran guru yang meruncing untuk ditukarkan ke negeri asal masing-masing khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kelantan mencatatkan permohonan pertukaran guru tertinggi iaitu seramai 2,483 orang berbanding 173 kekosongan yang ada.

Bagi Kedah pula katanya, seramai 1,523 orang guru kelahiran negeri itu memohon ditukarkan ke negeri asal berbanding hanya 200 kekosongan manakala Terengganu menerima permohonan pertukaran seramai 1,267 orang guru berbanding 200 kekosongan.

"Di Kelantan terdapat lebih 30,000 orang guru dan ada lagi 2,483 orang yang memohon balik ke negeri itu sedangkan hanya ada 179 kekosongan, ini bermakna seramai 2,304 orang gagal mendapat tempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diberikan taklimat sempena lawatan rasmi beliau ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Idris diminta mengulas keluhan seorang guru yang disiarkan dalam ruangan Cuit di Utusan Malaysia hari ini yang masih gagal ditukarkan ke negeri asalnya, Terengganu meskipun beberapa kali memohon sejak lapan tahun lalu berkhidmat di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor.

Guru itu, Farita Idayu Jusoh yang amat menyintai profesion itu kini dalam keadaan kemurungan dan berkemungkinan terpaksa menamatkan kerjayanya setelah berjauhan dengan suami yang bertugas di Terengganu sejak sekian lama.

Idris seterusnya berkata, berdasarkan masalah lambakan permohonan pertukaran guru itu, Kementerian Pendidikan tidak mampu menampung hasrat guru terbabit memandangkan jumlah kekosongan yang begitu terhad.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak tidak menyalahkan kementeriannya berhubung perkara itu.

"Kita sebenarnya bukan tidak izinkan guru bertukar ke negeri asal masing-masing tetapi permohonan yang diterima terlampau ramai sedangkan jumlah kekosongan amat kecil," ujarnya.

Idris bagaimanapun mengakui wujud masalah 'keciciran' membabitkan guru yang berkali-kali memohon ditukarkan ke negeri asal dan beliau memberi jaminan, pihaknya akan memberi perhatian mengenainya.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan cuba sedaya upaya menangani masalah tersebut dan bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi membantu guru-guru terbabit.

"Sebab itulah, selepas ini kita akan membuat pengambilan guru baharu mengikut keperluan negeri masing-masing," tambahnya.

Dr. Halil dilantik Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran

Posted: 27 Nov 2013 10:50 AM PST

PUTRAJAYA 27 Nov. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengumumkan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dari Sarawak yang juga bekas Rektor Institut Pendidikan Guru, Datuk Dr. Halil Dolhan dilantik sebagai Pengerusi, sementara bekas Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim sebagai Timbalan Pengerusi SPP.

Ahli-ahli SPP terdiri daripada bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Abdul Halim Abdul Razak; bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Dr. Imran Idris; bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Jamaluddin Yahaya.

Yang turut dilantik sebagai ahli ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Azmi Che Mat.

Pelantikan itu mengikut Fasal (2) Perkara 141A Perlembagaan Persekutuan.

"Pelantikan-pelantikan tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun bermula tarikh mereka mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia.

"Dengan pelantikan ini, saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan percaya bahawa mereka akan dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab sebagai anggota SPP mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved