Sabtu, 30 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Akta Hasutan: Tian Chua gagal rayuan batal pertuduhan

Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST

Tian Chua

PUTRAJAYA 29 Nov. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Lim Yee Lan memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu.

Para peguamnya, Amer Hamzah Arshad dan Eric Paulsen ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu memberitahu, mereka akan berbincang sama ada untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan atau meneruskan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 September lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan tersebut.

Terdahulu, Amer Hamzah berhujah agar pertuduhan terhadap Tian Chua dibatalkan atas alasan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap anak guamnya merupakan pendakwaan terpilih.

Peguam bela menghujahkan, pihaknya bukan mempertikaikan budi bicara Peguam Negara untuk mendakwa tetapi terdapat beberapa individu lain yang melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan tetapi tidak dituduh di mahkamah.

Ketika menjelaskannya dengan lebih lanjut di luar mahkamah, Amer Hamzah menyatakan, perkara ini bukan secara kebetulan kerana terbukti mereka yang didakwa di mahkamah terdiri daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan penyokong-penyokongnya termasuk peguam dan golongan penuntut universiti.

Sehubungan itu ujarnya, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menghentikan pendakwaan terpilih kerana tindakan sedemikian jelas merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim berhujah agar rayuan itu ditolak atas alasan kuasa menentukan pendakwaan adalah di tangan Peguam Negara dan hujah yang menyatakan beliau menjalankan pendakwaan terpilih merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di ibu negara.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan yang antaranya menyatakan serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Saman 12 penduduk TTDI cabar kesahihan projek MRT ditolak

Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 12 penduduk Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) bagi menentukan kesahihan pelaksanaan projek mega, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), yang berdekatan dengan hartanah mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop memutuskan demikian dengan kos RM10,000 semasa prosiding di kamar hakim dengan kehadiran peguam Shaharuddin Ali dan Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili penduduk tersebut dan peguam Hadi Mukhlis dan Gregory Das mewakili MRT Corp.

Penduduk-penduduk terbabit membangkitkan persoalan undang-undang itu untuk mengetahui sama ada MRT Corp. telah mematuhi beberapa peruntukkan yang relevan bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan.

Mereka bagaimanapun memohon supaya mahkamah melupuskan kes saman itu seperti diperuntukkan di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 berdasarkan penentuan persoalan undang-undang, tanpa mendengar perbicaraan penuh.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada Februari lalu, Ho Lee Yoke, 55, dan 11 yang lain selaku penduduk yang memiliki rumah teres di Jalan Pinggir Zaaba mendakwa, MRT Corp. mempunyai tanggungjawab untuk memastikan projek itu dilaksanakan mengikut undang-undang dan selamat.

Mereka selaku pihak plaintif juga menuntut pampasan setelah mendakwa projek itu terletak bertentangan dengan hartanah mereka.

Pihak plaintif mendakwa, mereka telah menerima notis pada Februari 2011 yang menunjukkan, tanah mereka, antara lain, mungkin diambil bagi projek MRT jajaran pertama yang meliputi laluan dari Sungai Buloh-Kajang.

Plaintif menyatakan, mereka telah bersetuju untuk menjual hartanah kepada MRT Corp. yang dinamakan sebagai pihak defendan selepas beberapa siri mesyuarat di antara kedua-dua pihak.

Namun begitu menurut pihak plaintif, mereka telah menerima surat bertarikh 24 Julai tahun lalu daripada MRT Corp. menyatakan, hartanah mereka tidak diperlukan.

Pihak plaintif antara lain, memohon suatu perisytiharan, projek tersebut adalah haram dan menyalahi undang-undang selain mereka berhak mendapat pampasan.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi saksama dan ganti rugi khas, RM22,000 serta perintah injunksi bagi menghalang MRT Corp. daripada meneruskan sebarang pembangunan dan kerja-kerja pembinaan di bawah projek MRT Fasa 1.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved