Sabtu, 17 Ogos 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sistem pengairan dinaik taraf - Tajudin

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@yahoo.com

TAJUDIN Abdul Rahman (kiri) ditemani beberapa pegawai dan kakitangan kementeriannya meninjau sebahagian kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di Seberang Perak, Pasir Salak, semalam.

PASIR SALAK 16 Ogos - Kira-kira 6,000 petani terutama pesawah di sekitar Seberang Perak dan Sungai Manik yang menghadapi masalah bekalan air kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju untuk menaik taraf sistem pengairan di kawasan itu.

Berita baik itu diumumkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajudin Abdul Rahman ketika mengadakan lawatan di kawasan sawah padi Seberang Perak, di sini hari ini.

Tajudin berkata, kerja-kerja menaik taraf itu melibatkan kawasan seluas 6,318 hektar di Mukim Sungai Manik dan Labu Kubong termasuk membaiki tali-tali air di kawasan berkenaan.

"Masalah utama yang dihadapi oleh petani ialah berlaku kehilangan air melalui resapan tanah di sepanjang tali air selain mendapan serius berpunca daripada hakisan tebing.

"Justeru, tujuan projek ini adalah untuk menaik taraf sistem pengairan sedia ada agar dapat membekalkan air yang mencukupi untuk seluruh kawasan pengairan Sungai Manik dan Seberang Perak," katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Menurut Tajudin, langkah tersebut wajar diambil memandangkan masalah kekurangan air akan mengurangkan pendapatan petani sekali gus menjejaskan matlamat untuk meningkatkan hasil padi daripada 3.5 tan metrik sehektar kepada 6.5 tan metrik sehektar.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan di beberapa kawasan sekitar Sungai Manik pada 2009 melalui lima fasa dan disiapkan sepenuhnya pada 2011 dengan kos RM70.7 juta.

"Saya harap pelaksanaan projek seumpama ini bukan sahaja dapat memudahkan petani, malah mampu meningkatkan pendapatan mereka dan menyumbang kepada perkembangan sektor pertanian secara keseluruhan," ujarnya.

Kes tembak: Bantu polis salur maklumat

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

IPOH 16 Ogos - Polis sering berdepan masalah untuk mendapatkan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah termasuklah membabitkan kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka sendiri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, meskipun masyarakat sedar mengenai peningkatan jenayah bunuh dan tembak-menembak sebagai sesuatu yang membimbangkan, namun polis sukar mendapatkan kerjasama daripada orang awam termasuk saksi kejadian.

"Apabila kita hendak mendapatkan kerjasama khususnya untuk mereka memberikan keterangan dan lain-lain yang boleh membantu siasatan polis, amat jarang sekali kita dapat.

"Orang ramai seharusnya merasa bertanggungjawab untuk memberi apa jua maklumat termasuk keterangan yang boleh membantu siasatan, justeru kerjasama ini dapat memastikan operasi polis berjalan lebih lancar dan kemas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam yang dinaikkan pangkat daripada Asisten Komisioner Polis kepada Deputi Komisioner Polis berkuat kuasa 2 Ogos lalu.

Pada majlis tersebut, Mohd. Shukri turut menyampaikan sijil ucapan tahniah kepada Ketua Jabatan Pengurusan Perak, Senior Asisten Komisioner Zulkapli Ahmad; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid; Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abd. Gaffar Muhamad; Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba; Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dan Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon.

Beliau diminta mengulas mengenai tiga kejadian tembak yang berlaku di negeri ini iaitu di Kampung Simee di sini, Chemor dan Simpang Empat, Semanggol baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat, Mohd. Shukri berkata, hanya tiga rumah yang dilaporkan dipecah masuk sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri setakat ini.

Selain itu katanya, pihak polis juga berjaya mengekalkan penurunan indeks jenayah sebanyak 12.57 peratus untuk lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Setakat ini, kita juga telah menyelesaikan sebanyak 52.27 peratus kes yang telah dilaporkan kepada pihak polis," katanya.

17 peniaga kecil terjejas ekoran kerja baik pulih gerai belum siap

Posted: 16 Aug 2013 10:48 AM PDT

ASMAH Azim menunjukkan deretan kedai EMBA yang masih tidak boleh digunakan kerana masalah teknikal hingga menjejaskan perniagaan peniaga di Bagan Ajam, Tasek Gelugor, semalam.

TASEK GELUGOR 16 Ogos - Pendapatan 17 peniaga di premis Ekonomi Melayu Bagan Ajam (EMBA) di Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam di sini terjejas berikutan kerja-kerja baik pulih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang masih belum disiapkan.

Peniaga nasi dan kuih muih, Asmah Azim, 62, berkata, mereka sebelum itu dimaklumkan kerja-kerja berkenaan hanya mengambil masa dua bulan tetapi kini sudah melebihi tempoh tersebut.

"Kerja-kerja baik pulih dimulakan 1 April dan kami diberi jaminan akan siap sepenuhnya hujung Mei lalu.

"Namun sampai sekarang kedai itu baru 90 peratus siap dengan tiada penyaluran bekalan elektrik dan air," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di premis perniagaan terbabit mendapati struktur bangunan telah siap sepenuhnya tetapi disebabkan tiada bekalan elektrik dan air, lot gerai di situ tidak boleh digunakan.

Peniaga minuman, Ronyzam Abdul Ghaffar, 36, pula memberitahu, dia kesal dengan pihak pengurusan projek itu yang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk membela nasib peniaga kecil seperti mereka.

"Kehilangan mata pencarian menyebabkan kehidupan kami dibebani dengan masalah hutang termasuk sewa rumah, ansuran bulanan kenderaan dan kos hidup lain.

"Kita hairan apa lagi yang tidak kena dengan proses itu kerana kami difahamkan peruntukan telah disalurkan," ujarnya.

Sementara itu, peniaga nasi berlauk, Saripah Baki, 44, menjelaskan, selain hilang mata pencarian, kehidupannya lima beranak semakin dihimpit kesusahan.

"Saya ibu tunggal yang menyara anak-anak dengan berniaga dan kelewatan menyiapkan kedai ini mengundang pelbagai masalah terutama dari segi pendapatan.

"Kalau kami diberi sagu hati sementara menantikan siapnya gerai ini bolehlah tahan juga tetapi kelewatan mereka menyiapkannya terpaksa kami menanggung kesannya," jelasnya.

Menurut peniaga yong tau fu, Huszaimi Abu Hassan, 40, dia terpaksa berhutang dengan ahli keluarganya untuk menjelaskan pelbagai kos tanggungan kerana hampir tiga bulan tidak dapat berniaga di situ.

Huszaimi berkata, sebelum ini mereka telah beberapa kali bertemu dengan pihak pengurusan projek berkenaan meminta lot kedai disiapkan segera namun jawapan yang diterima amat mengecewakan.

"Kami disuruh bersabar hingga kerja siap sepenuhnya tapi persoalannya sampai bila?" soalnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved