Sabtu, 17 Ogos 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Mangsa kebakaran terpaksa pindah

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Mangsa kebakaran di Kampung Chubadak, Sentul bukan dipaksa berpindah dari pusat perlindungan, sebaliknya mereka terpaksa dipindah berikutan tempat itu ditempah lebih awal untuk majlis perkahwinan.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika memperjelas isu yang dimuat dalam artikel Malaysiakini semalam bertajuk \Mangsa Kebakaran Dipaksa Pindah Dari Pusat Perlindungan\, dan \Menteri Digesa Timbang Rayuan Mangsa Kebakaran\.
"Mangsa kebakaran di Kampung Chubadak ini, yang ditempatkan di Pusat Komuniti Taman Ibukota, terpaksa berpindah kerana tempat itu akan diguna untuk kenduri perkahwinan dan telah ditempah lebih awal. Pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sebelum ini telah menawarkan rumah kepada mangsa tersebut di PPR (Projek Perumahan Rakyat) Bukit Jalil pada 13 Ogos yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran di Kampung Chubadak berlaku pada 8 Ogos lepas, ketika umat Islam mula menyambut Aidilfitri dan selang dua hari kemudian, Kampung Puah Bahagia pula terbakar, menyebabkan 31 rumah setinggan musnah.
Tengku Adnan berkata, semua keluarga mangsa kebakaran yang bersetuju untuk berpindah akan menerima sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000 serta bantuan bencana RM300 daripada DBKL selain disediakan lori bagi membantu mereka berpindah ke PPR Bukit Jalil.
"Saya juga telah menyampaikan bantuan ihsan sebanyak RM500 dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan bantuan sebanyak RM300 kepada keluarga mangsa terlibat. Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah menyampaikan bantuan sebanyak RM3,000 kepada keluarga mangsa terlibat," katanya.
Tengku Adnan berkata mangsa kebakaran yang setuju berpindah akan turut ditawar membeli rumah berkenaan dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan akan menyediakan kemudahan pinjaman bagi urusan pembelian.
"Rumah yang ditawarkan untuk disewa di PPR Bukit Jalil juga akan dipasang kemudahan elektrik dan air serta-merta, serta dikecualikan bayaran sewa selama tiga bulan.
"Bagi keluarga yang bersetuju untuk berpindah juga dan mempunyai masalah berkenaan persekolahan anak, pihak DBKL akan membantu menyediakan perkhidmatan bas dari PPR Bukit Jalil ke stesen LRT dan Monorel berdekatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, DBKL akan mempertimbang untuk menyediakan rumah di kawasan berdekatan, jika terdapat kekosongan. - BERNAMA

Rumah staf stesen tv hangus

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Mahadi Abdullah melihat perabot di dalam rumahnya yang musnah dalam kebakaran di tingkat 20 Kuaters Kerajaan Blok H di Jalan Duta, semalam.

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sebuah rumah didiami seorang kakitangan sebuah stesen televisyen musnah dalam kebakaran di tingkat 20 Blok H Kuarters Kerajaan, Jalan Duta di sini hari ini.

Unit apartmen mangsa yang terletak di tingkat 20 itu dikatakan terbakar selepas percikan bunga api menyambar kain dalam bilik tengah kediaman tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.

Kejadian itu disedari oleh jiran yang tinggal di Blok G setelah melihat api marak dalam bilik berkenaan lalu menjerit meminta keluarga mangsa segera keluar menyelamatkan diri.

Seorang penduduk, Zainal Sharif berkata, dia yang tinggal di tingkat 15 blok yang sama, terdengar bunyi bising jeritan penghuni di bangunan bersebelahan memaklumkan mengenai kebakaran itu ketika sedang menonton televisyen di rumahnya.

"Saya terus keluar ke balkoni dan terkejut melihat api sedang marak di sebuah rumah di tingkat paling atas.

"Saya kemudian naik ke tingkat 20 untuk membantu keluarga tersebut dan sempat membawa keluar anak-anak mereka dan barang berharga," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Japari Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.09 tengah hari dan tiba di lokasi kebakaran dalam tempoh 10 minit.

"Api berjaya dikawal daripada merebak dalam masa 20 minit tetapi rumah tersebut musnah 100 peratus.

"Sebuah rumah terletak bersebelahan pula hanya terbakar lima peratus iaitu bahagian balkoni," katanya.

Menurut Japari, kebakaran bermula dari bilik tengah dan ketika kejadian pemilik rumah sedang tidur dalam sebuah bilik manakala isterinya memasak.

Beliau berkata, kesemua ahli keluarga berkenaan termasuk anak berusia dua hingga lapan tahun sempat menyelamatkan diri.

Persatuan penjaja akhbar rai vendor

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Dr. N. Muneandy (empat dari kiri) dan Pengerusi Eksekutif ABN Sdn. Bhd., Tan Sri K. K. Eswaran (empat dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Persatuan Penjaja Akhbar Klang dan Shah Alam dalam majlis makan malam di Klang, semalam.

KLANG 17 Ogos - Seramai 400 vendor dan ahli keluarga hadir dalam majlis makan malam ke-18 anjuran Persatuan Penjaja Akhbar Klang dan Shah Alam di Klang Executive Club semalam.

Presiden Persatuan Penjaja Orang India Selangor dan Wilayah, Datuk Dr. N. Muneandy berkata, majlis itu diadakan bertujuan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat di antara pihak persatuan dan pengedar-pengedar akhbar.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Penjaja Akhbar Klang dan Shah Alam, M. Perumal manakala Utusan Melayu (M) Berhad diwakili oleh Pengurus Kanan Pengedarannya, Rosman Zulkifli dan Penolong Pengurus Pemasaran Wilayah Tengah, Mohd. Azman Mansor.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved