Rabu, 14 Ogos 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


JPJ bantu penduduk desa miliki lesen

Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Arifin Che Mat (kiri) menyerahkan replika lesen 'P' kepada seorang penduduk Orang Asli, Aging a/l Kemek sempena program SKSPJ di Kampung Damak, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 14 Ogos - Golongan belia, warga emas dan Orang Asli di kawasan luar bandar dan pedalaman akan dibantu memiliki lesen memandu di bawah program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSJPJ) menerusi sesi latihan dan pengujian yang sistematik.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Arifin Che Mat berkata, sejak dilancarkan 2009 lalu, mereka yang buta huruf diberi peluang mengikuti ujian dengan dibimbing oleh pegawai JPJ.

"Sehingga kini sebanyak enam juta orang berusia 18 tahun ke atas terdiri daripada belia, warga emas dan Orang Asli yang layak memiliki lesen, tetapi masih belum berbuat demikian berikutan kebanyakan mereka menggunakan motosikal di jalan raya tanpa mempunyai lesen memandu.

"Kita memberi keselesaan untuk mereka mendapatkan lesen, tetapi perlu menjalani ujian lebih mudah mengenai peraturan jalan raya dan pemanduan sekali gus mengurangkan kecelakaan membabitkan golongan berkenaan di jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan penutupan program SKSJPJ anjuran JPJ negeri di Kampung Damak di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man; Ketua Bahagian Penguat kuasa JPJ Pahang, Mohamat Johari Mat Nor dan Ketua Penguat kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain.

Menurut Arifin, penduduk dalam kalangan usia berkenaan termasuk Orang Asli yang buta huruf tidak perlu merasa rendah diri mendapatkan lesen tersebut kerana JPJ mempunyai mekanisme pengujian dan latihan yang lebih selesa.

"Program itu membuktikan keprihatinan pengurusan JPJ membantu penduduk tersebut memiliki lesen P yang sah di samping menerapkan pengetahuan tentang peraturan jalan raya dalam mengurangkan kemalangan membabitkan pemilik kenderaan tidak berlesen," ujarnya.

Katanya, sejak dilancarkan sebanyak 128 program itu dijalankan di seluruh negara melibatkan 54,329 calon berjaya memiliki lesen P.

Abdullah sedih anak maut dalam kebakaran menjelang Aidilfitri

Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT

Abu Bakar Harun (tiga kanan) dan Johari Hussain (kiri) melawat rumah Abdullah Osman (dua kiri) yang musnah terbakar di Felda Selendang Satu, Rompin, Pahang, kelmarin.

ROMPIN 14 Ogos - Ketibaan Syawal kali ini bagi seorang peneroka di Felda Selendang 1 di sini dan keluarga cukup menghibakan kerana mereka bukan sahaja kehilangan rumah, malah anak yang dikasihi turut rentung dalam kejadian dua hari menjelang hari lebaran.

Abdullah Osman, 58, tidak menyangka kejadian menyayat hati itu menimpa keluarganya pada saat segala persiapan menyambut hari raya siap sepenuhnya.

"Selama ini hanya terbaca di akhbar dan menonton berita di televisyen mengenai kejadian sama menimpa orang lain, tetapi bila saya sendiri menghadapinya, saya terasa amat perit dan sukar untuk digambarkan.

"Sesiapapun akan bersedih terutama apabila kehilangan anak yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Namun, saya reda dengan ketentuan-Nya dan takdir yang tertulis ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Johari Hussain di rumahnya yang terbakar di sini, semalam.

Terdahulu, pada 6 Ogos lalu, seorang remaja OKU, Mohd. Faizzudin Abdullah, 14, rentung selepas gagal diselamatkan selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu di Felda Selendang 1 di sini.

Menurut Abdullah, anak kelima daripada lapan beradik itu tidak boleh berjalan tetapi mampu bergerak dengan cara mengesot menggunakan kedua belah tangannya.

"Ketika kejadian saya dan isteri, Zaimah Abdul Majid, 45, baru sahaja keluar dari rumah ke Mersing, Johor untuk servis kereta dan sempat berpesan kepada anak-anaknya supaya menjaga diri masing-masing.

"Kebiasaannya arwah akan berada di bahagian depan rumah tetapi entah bagaimana ketika kejadian arwah berada di biliknya," jelasnya sambil memberitahu dua anaknya turut berada di rumah ketika kejadian namun sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, Abdullah sekeluarga kini ditempatkan di sebuah inap desa berhampiran tapak rumah mereka buat sementara waktu sehingga kediaman mereka siap sepenuhnya.

"Kerajaan negeri dan Felda akan berusaha membantu bagi meringankan beban mangsa termasuk menghulurkan sumbangan tokensebanyak RM5,000 dan RM10,000 bantuan bencana.

"Pihak Felda juga bersetuju mempercepatkan pinjaman berjumlah RM35,000 bagi membina rumah dengan segera di atas tapak asal," jelasnya.

Paya terbiar di Lanchang sesuai dimaju ternakan ikan

Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT

TEMERLOH 14 Ogos - Jabatan Pertanian Pahang diminta membuat kajian menyeluruh terhadap 165 hektar sawah dan paya terbiar di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang untuk dimajukan dengan projek ternakan ikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, terdapat banyak paya dan sawah terbiar di dalam DUN Lanchang dipercayai sesuai untuk projek ternakan ikan air tawar atau sebagainya.

Menurutnya, projek tersebut jika dimajukan secara terancang akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Pahang khususnya di daerah ini selain Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGKKG) dan Taman Deerland di Bukit Rengit, Lanchang.

"Saya yakin jika usaha itu direalisasikan, sudah tentu akan memberi manfaat besar kepada industri pelancongan selain meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

"PKGKKG dan Taman Deerland yang terdapat di Lanchang berjaya menarik lebih 10,000 hingga 15,000 pelancong dalam dan luar negeri setiap minggu.

"Jika projek ternakan ikan itu diwujudkan, bilangan pelancong akan bertambah seperti temasya menangkap ikan air tawar di Paya Lanar, Lanchang yang berjaya menarik 2,000 pelancong tempatan mengambil bahagian dalam temasya tersebut yang diadakan setiap tahun," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di Taman Bahagia Permai di sini baru-baru ini.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, kedua-dua kawasan terbabit amat sesuai dimajukan dengan projek ternakan ikan kerana mempunyai bekalan air yang mencukupi dan berhampiran dengan jalan raya serta mudah bagi pelancong untuk melawat.

Tambahnya, kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama serta bantuan supaya paya dan sawah itu dimajukan dengan projek tersebut sebagai salah satu daya tarikan baharu pelancong ke negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved