Jumaat, 2 Ogos 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Semarakkan suasana Aidilfitri

Posted: 01 Aug 2013 11:56 AM PDT

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusangroup.com.my

Persembahan tarian berkonsepkan klasik Minangkabau Negeri Sembilan menyemarakkan lagi suasana sambutan hari raya di Pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Menjelang sambutan Aidilfitri kurang seminggu lagi, pusat beli-belah di ibu kota terus menjadi tumpuan orang ramai untuk membuat persiapan akhir.

Ketika ini pusat beli-belah bukan sahaja menawarkan potongan harga bahkan turut mengilhamkan dekorasi hiasan bagi menimbulkan 'mood' raya kepada pengunjung.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat beli-belah di ibu negara mendapati pelbagai dekorasi bertema Aidilfitri yang mengamit kenangan lalu menghiasi ruang legar utama premis tersebut.

Di Suria KLCC, pusat beli-belah itu membawa tradisi raya bertemakan Minangkabau ke ibu negara.

Pengerusi Suria KLCC Sdn. Bhd., Datuk Hashim Wahir berkata, pengunjung boleh bergambar di rumah kampung itu dan menghayati pelbagai dekorasi menarik sekitar itu.

"Persembahan bertemakan Minangkabau seperti medley tarian Negeri Sembilan, caklempung dan tari silat menyemarakkan lagi sambutan hari raya," katanya.

Hashim turut menyarankan agar orang ramai berkunjung ke kiosk-kiosk untuk mendapatkan baju raya atau kuih raya dari Kerepek La, Arzu, Hajaba, Sofia Iman, Cold Storage, Habib, Arabian Oud dan Crabtree & Evelyn.

"Malah, pelanggan yang berbelanja sebanyak RM500 ke atas sepanjang 5 Julai hingga 11 Ogos ini akan menerima sampul duit raya serta berpeluang untuk membuka kotak misteri Suria KLCC bagi memenangi hadiah bernilai RM100,00," ujarnya.

Di pusat beli-belah Berjaya Times Square pula, Aidilfitri diraikan dengan sambutan berganda sehingga 8 Ogos ini.

Menerusi tema Arab pada tahun ini, pengunjung akan disambut oleh maskot dua ekor unta yang tersergam gagah di pintu masuk utama pusat beli-belah itu.

Pengurus Kanan Promosi dan Pemasarannya, Tan Boon Leong berkata, kubah khas juga dibina di pintu masuk utama untuk memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri ala Arab itu.

"Sambutan Aidilfitri di sini kali ini lebih menarik kerana diadakan bersempena kempen ulang tahun ke-10 Berjaya Times Square yang dinamakan The Big Ten-rific Bash dan menawarkan ganjaran sehingga RM500,000," ujarnya.

Pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 di bazar Aidilfitri turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah dalam mesin kapsul layan diri terbesar yang disediakan.

Sementara itu di Mid Valley, tema Kenangan Klasik Raya sebagai penghargaan kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menghiasi Centre Court.

Menurut wakil pengurusan Mid Valley, hiasan set seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok termasuk rumah-rumah yang ditanda 'pangkah' memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman beraya bersama lagenda itu.

Malah, bazar-bazar menjual kuih, rendang, ketupat dan pakaian raya turut menjadi tumpuan orang ramai sambil ditemani sedutan filem tersebut yang menggeletek hati pengunjung.

Kempen Kenangan Klasik Raya yang berlangsung sejak 17 Julai hingga 11 Ogos ini turut mendapat kerjasama Maybank, Arkib Negara Malaysia, Sharp dan Saluran 555, History.

Demi kesejahteraan rakyat

Posted: 01 Aug 2013 11:56 AM PDT

Oleh HAKIMI ISMAIL
kota@utusangroup.com.my

PUTRAJAYA 1 Ogos - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) merangka pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan serta keselesaan masyarakat setempat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketika ini beberapa projek pembangunan sedang giat dijalankan antaranya projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), pembinaan universiti swasta dan projek menaik taraf surau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac lalu mengumumkan program pembangunan sebanyak 10,336 unit rumah bagi tujuan projek PPA1M Putrajaya.

Katanya, fasa pertama projek itu akan melibatkan pembinaan sebanyak 5,000 unit pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap pada suku keempat 2015.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan melihat seluruh warga Putrajaya mendapat manfaat daripada projek pembangunan yang dirangka," katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Peringkat Putrajaya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat.

Menurut Tengku Adnan, sebanyak empat projek pembangunan berteraskan kesejahteraan dan keselesaan rakyat sedang dilaksana di sini.

Projek berkenaan, tambahnya, termasuk pembinaan tadika dan taska bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan penduduk Putrajaya selain menaik taraf surau-surau terpilih.

"Selain itu, kementerian juga sedang membina kemudahan tempat letak kereta bertingkat untuk kegunaan pelawat dan penjawat awam di Kompleks Pejabat Kerajaan Presint 4 serta projek pembangunan pusat komersial di Presint 8," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menasihatkan komuniti Putrajaya memaklumkan kepada polis sekiranya pulang ke kampung terutama untuk menyambut Aidilfitri akan datang bagi mengelak kejadian jenayah.

Litrak sumbang lima buah Mitsubishi Lancer kepada PDRM

Posted: 01 Aug 2013 11:56 AM PDT

Ir. Ismail Md.Salleh (kanan) bersama Sally Saidi dan Abd.Aziz Yusof (kiri sekali) melihat kereta peronda lebuh raya sumbangan Litrak dalam majlis berbuka puasa Kumpulan Litrak di Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor, semalam.

SUBANG JAYA 1 Ogos - Sebanyak lima buah kereta peronda lebuhraya model Mitsubishi Lancer disumbangkan oleh Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) kepada unit peronda lebuhraya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan peruntukan hampir RM500,000.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Salleh berkata, ia bertujuan meningkatkan lagi keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya.

"Dengan model kenderaan terkini dan spesifikasi tinggi, saya percaya ia mampu melonjakkan lagi keyakinan masyarakat terhadap pelaksanakan perkhidmatan PDRM khususnya dan Kumpulan Litrak amnya," katanya dalam majlis Berbuka Puasa Kumpulan Litrak di Kompleks Operasi Litrak , Bandar Sunway, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Litrak, Sazally Saidi dan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Kuala Lumpur, Datuk Abd. Aziz Yusof.

Dalam perkembangan sama, Sazally berkata, tiga buah daripada kereta itu akan digunakan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan dua buah lagi untuk Lebuh Raya Sprint.

"Sejak sedekad lalu, pihak syarikat turut telah menyumbangkan kenderaan seperti Proton Waja, Ford Everest dan motosikal berkuasa tinggi jenis VFR," jelasnya.

Sementara itu, turut diadakan majlis penghargaan kepada para peserta Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) 2012 selain meraikan seramai 34 anak yatim dari Rumah Amal Nur Muhammad, Subang Murni menerima sumbangan duit raya daripada Litrak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved