Jumaat, 2 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rindu beraya dengan mak ayah

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

BAGI mereka yang tidak punya kemampuan untuk membuat persiapan menyambut hari raya, tentunya akan berada dalam keadaan sedih dan hiba.

Lebih-lebih lagi mereka yang hidup sebatang kara, ditinggal suami atau disisih oleh ibu bapa kerana sebab-sebab tertentu.

Apakah perlu keadaan itu dibiarkan berterusan atau perlukah dicari jalan penyelesaian? Usaha boleh dilakukan untuk menangani isu yang berbangkit tetapi bagaimana dengan pihak yang satu lagi?

Adakah mereka akan menerima semula anak yang telah dibuang dari hidup mereka. Sanggupkah mereka memaafkan dan mengampunkan dosa si anak?

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca pada minggu ini. Kisah sedih yang berlaku kepada seorang wanita yang disisih keluarga kerana bernikah dengan lelaki yang tidak direstui oleh ibu bapanya.

Sedihnya lagi, suami yang diharap menjadi tempat bergantung hidup sepanjang hayat kini meringkuk dalam penjara. Dalam menanti suami yang akan dibebaskan dalam tempoh lapan tahun, rindunya kepada mak ayah tiba-tiba menerpa.

Kepada saya Shida (bukan nama sebenar) meluahkan perasaannya untuk kembali ke kampung bertemu ibu bapa dan memohon maaf.

Namun di hatinya timbul rasa bimbang jika kepulangannya bersama anak-anak tidak diterima oleh ibu bapa dan keluarga. Apa kata kita ikuti cerita Shida untuk iktibar dan renungan bersama. Begini kisahnya:

"Usia saya mencecah 30 tahun. Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Amin (bukan nama sebenar) yang saya kenali semasa menuntut di universiti lebih kurang 10 tahun lalu.

"Pernikahan kami tidak direstui oleh orang tua saya kerana mereka tidak berkenan dengan suami.

"Walaupun begitu ayah menjadi wali pernikahan saya dengan Amin tanpa majlis besar-besaran. Selepas menjadi suami isteri, kami berdua dihalau oleh ayah dan dia tidak membenarkan kami kembali lagi ke kampung.

"Saya membawa diri bersama suami dengan harapan satu hari nanti ayah akan menerima kami semula.

"Saya reda dengan takdir Allah dan hidup saya yang sulit selepas itu. Bohong kalau saya katakan saya tidak rindu dengan mereka tetapi kata-kata ayah tidak dapat saya lupakan, malah suami juga enggan mengalah.

"Kami dikurniakan sepasang anak, seorang lelaki yang kini berusia sembilan tahun dan perempuan, tujuh tahun. Rumah tangga kami bahagia kerana suami seorang yang bertanggungjawab dan mengambil berat.

"Namun kebahagiaan itu selalu diuji dengan pelbagai perkara yang tidak diingini membabitkan pekerjaan suami. Tugas suami di sebuah syarikat kontraktor ternama mengundang banyak masalah kepadanya.

"Saya tahu dia terpaksa melakukan perkara yang di luar kehendaknya semata-mata untuk membereskan kerjanya.

"Sebagai isteri saya selalu menasihatinya supaya berhati-hati dan mencari pekerjaan lain tetapi suami tidak endahkan dengan alasan, semua orang buat kerja ini kalau hendak mendapat apa yang diingini.

"Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Suami kemudian terperangkap dan didakwa kerana memberi rasuah. Sabit kesalahan dia dihukum penjara lapan tahun.

"Saya tidak tahu perasaan saya ketika hukuman dijatuhkan, sama ada saya sedih, atau tidak. Air mata saya menitis tetapi dalam hati saya kosong.

"Kini sudah setahun lebih suami berada dalam penjara. Selama itu, saya sendirian menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak dan menguruskan sakit demam dan keperluan mereka setiap hari.

"Ketika sedih begini saya teringatkan ayah dan mak di kampung, adik-adik dan saudara mara yang sudah hampir 10 tahun tidak saya temui.

"Rindu saya kepada mereka semakin mendalam sehinggakan setiap malam saya menangis mengenangkan apa yang telah berlaku dalam hidup saya. Mungkin sebab selama ini, suami ada di sisi, jadi saya tidak begitu sedih.

"Apakah ini hukuman yang harus saya terima akibat daripada perbuatan saya melawan cakap mereka semasa saya hendak bernikah dulu?

"Memikirkan perkara ini, saya menjadi sebak dan merasa berdosa dengan perbuatan saya. Tambahan pula tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, kerinduan saya semakin memuncak.

"Sebelum ini walaupun saya tidak pulang beraya bersama keluarga selama 10 tahun, saya tidak merasa sedih sebegini, kerana saya pulang beraya di kampung suami. Layanan mentua kepada saya, alhamdulillah... baik dan mesra.

"Kini keadaan telah berbeza, saya teringin untuk menyambut raya di kampung bersama ayah, mak dan adik-adik, tetapi saya takut mereka tidak menerima saya.

"Sejak disisih keluarga, saya selalu berdoa agar satu hari Allah akan membuka pintu hati ayah untuk menerima saya dan keluarga semula. Saya mahu anak-anak saya kenal atuk dan nenek mereka serta sepupu-sepupu mereka yang lain.

"Saya tidak ada masalah dengan mak sebab saya tahu mak juga rindukan saya tetapi yang menjadi masalah adalah ayah.

"Sehingga kini, saya tidak pernah putus berdoa dan berharap Allah akan makbulkan doa saya. Saya tahu, ayah akan menempelak saya semula dengan apa yang berlaku kepada suami tetapi saya nekad akan mencuba untuk kembali ke kampung tahun ini.

"Biarlah apa mereka nak kata, nak hina atau nak halau saya dan anak-anak, saya reda. Saya telah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. Saya berdoa agar tahun ini saya dapat mencium tangan kedua-duanya semula seperti dulu di pagi raya untuk memohon ampun dan maaf.

"Walaupun saya tahu mereka akan marah tetapi saya akan cuba. Saya harap ayah dan mak akan maafkan saya," kata Shida menamatkan ceritanya dengan suara yang sebak.

Siapa pun yang berada dalam kedudukan Shida akan mengambil keputusan yang sama. Kadang kala kita tidak sedar kesilapan yang dilakukan.

Perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa akan membawa banyak masalah. Saya faham perasaan Shida dan berharap agar kepulangannya akan diterima oleh ayahnya dan ahli keluarga yang lain.

Mak ayah mana yang tidak sayangkan anak. Ibu bapa tahu apa yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun jika anak tidak mahu mengikut, apalah daya mereka.

Terguris hati dan perasaan macam mana sekalipun, saya pasti ibu bapa Shida mengharapkan Shida dan anak-anaknya kembali ke pangkuan mereka.

Yang menjadi penghalang sekarang adalah kerana suami Shida berada dalam penjara.

Mungkin ini agak berat untuk mereka menerimanya tetapi tidak salah jika Shida mencuba. Insya-Allah mana tahu, hati mereka akan cair melihat wajah kedua-dua cucu yang tidak pernah ditatap selama ini.

Kepada Shida, teruskan berdoa, kerana setiap permintaan hamba-Nya itu, insya-Allah akan didengar oleh Allah SWT. Moga hari raya tahun ini adalah yang paling indah buat Shida dan anak-anak.

Menutup kata, "Kasih ibu bagaikan air sungai yang tidak henti mengalirnya, tidak akan pernah surut dan berhenti mengalir selagi ada bulan dan mentari."

Salam

Mencari sinar Ramadan

Posted: 01 Aug 2013 11:52 PM PDT

Rencana dan gambar AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

Ahmad Nazlan Idris (kiri) ketika meninjau keluarga Normizan Zakaria di Kampung Berembang, Ulu Tembeling, Pahang baru-baru ini.

SYAWAL yang hampir tiba pasti menjadi harapan kepada setiap umat Islam untuk menyambutnya dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

Malah keadaan itu juga menjadi harapan setiap keluarga agar Ramadan yang dilalui membawa makna.

Namun, jauh di pelosok sebuah kampung di pedalaman Jerantut, harapan keriangan dan kesyukuran itu menjadi tanda tanya kepada dua buah keluarga.

Tanpa kita sedari, dua keluarga ini hidup serba kekurangan dan tinggal dalam rumah yang daif

Rumahnya langsung tidak sempurna. Atau mungkin tidak layak untuk dipanggil sebuah rumah dengan dinding yang berlubang-lubang.

Salah sebuah rumah keluarga ini pula ditutup menggunakan plastik hitam sebagai dinding dan tingkap.

Memang sukar untuk kita percayai. Dalam negara yang sekian lama sudah mencapai kemerdekaan dan ramai yang mengejarkan kemajuan serta kekayaan, tanpa disedari masih ada keluarga hidup dalam serba kekurangan.

Mana silapnya? Agak sukar untuk dijawab.

Untuk menemui dua keluarga daif terbabit, penulis berkesempatan mengikuti tinjauan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris baru-baru ini.

Ahmad Nazlan yang baru dipilih sebagai Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini memberitahu, beliau mendapat maklumat mengenai kehidupan dua keluarga tersebut dan mahu meninjau sendiri kehidupan mereka.

"Kita dapat maklumat ada keluarga miskin dan daif di pedalaman. Saya mahu tinjau sendiri dan akan cuba membantu mereka sedaya mampu," katanya ringkas sebaik sahaja hendak memulakan perjalanan dari Jerantut.

Untuk sampai ke Kampung Bantal, perjalanan mengambil masa satu jam dari Jerantut ke Kuala Tahan menggunakan jalan darat.

Dari Kuala Tahan perjalanan diteruskan menggunakan bot panjang yang mengambil masa tiga jam.

Keadaan lebih mencabar apabila paras air Sungai Tembeling cetek dan bot perlu ditolak jika tersekat di jeram.

Memang ada jalan darat dari Kuala Tahan ke kampung berhampiran iaitu Mat Daling sebelum boleh menyeberangi sungai untuk ke Kampung Bantal.

Namun jalan darat itu lagi sukar dan sering kali mengambil masa lima jam atau lebih disebabkan laluannya berbukit-bukit dan lebih 'parah' jika hari hujan selain ia memerlukan kenderaan pacuan empat roda.

Sebaik sahaja sampai di Kampung Bantal setelah tiga jam perjalanan menaiki bot panjang dari Kuala Tahan, saya bersama Ahmad Nazlan menggunakan motosikal yang mengambil masa 10 hingga 15 minit kerana perlu melalui laluan atau lorong-lorong kecil sebelum sampai ke dua buah rumah berkenaan yang terletak agak jauh.

Rumah pertama yang terletak di Kampung Mogol berhampiran Kampung Bantal, didiami Masnizam Zakaria, 31, yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling dengan pendapatan sekitar RM625 sebulan.

Tinggal di rumah milik datuknya, Masnizam hidup dengan menampung adik perempuannya, Rozmah Zakaria, 24, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU); ibunya, Ajrah Ali Talib, 70, dan anak saudaranya (anak kepada Rozmah), Mohd. Syabil Asraf, 7.

Dengan rumah yang berlubang-lubang sejak sekian lama, keluarga itu hanya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM250 sebulan untuk Rozmah.

Sementara itu, rumah kedua ditinjau yang terletak di Kampung Berembang didiami abang kepada Masnizam iaitu Mohd. Normizan Zakaria, 38, yang tinggal bersama isterinya, Rozita Mahat, 24, dan dua anak mereka iaitu Noralia Maisara, 7, dan Mohd. Akil Iqbal, 3.

Mohd.Normizan juga bekerja sebagai tukang kebun di sekolah yang sama dengan pendapatan sama seperti adiknya.

Keluarga ini hanya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi pihak isterinya sebanyak RM300 bulan.

Rumah Mohd. Normizan lebih daif. Hanya ditutup dengan plastik hitam sebagai dinding bahagian atas dan tingkap.

Dua buah rumah keluarga ini dibina atas tanah milik orang lain.

Masnizam ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, keluarganya pernah ditawarkan rumah PPRT sejak lebih 10 tahun lalu. Namun rumah itu sehingga kini belum siap sepenuhnya.

Menurutnya, dia sekeluarga memang sudah lama menginginkan sebuah rumah yang selesa untuk berteduh terutama apabila musim hujan dan banjir.

Mengenai sambutan Ramadan dan Syawal, Masnizam memberitahu, yang penting ahli-ahli keluarganya dapat makan serta minum mengikut sekadar yang mampu.

Masnizam juga sempat membisikkan nasib adik perempuannya yang dikategorikan sebagai OKU kerana sebelum ini pernah 'dianiaya' oleh orang-orang tidak bertanggungjawab.

"Itulah nasib kami, bukan sahaja tinggal dalam rumah seperti ini, malah kehidupan kami juga tidak menentu,'' katanya.

Dari Kampung Mogol, saya dan Ahmad Nazlan menaiki motosikal untuk bertemu keluarga Mohd. Normizan.

Mohd. Normizan ketika ditemui memberitahu, rumah yang didiami itu dibina sendiri dengan bantuan penduduk.

"Inilah sahaja rumah yang mampu saya bina. Memang kami sekeluarga mengharapkan sebuah rumah yang lebih selesa.

"Tetapi sehingga kini hasrat itu belum nampak lagi,'' katanya.

Tambahnya, jika hari hujan rumahnya itu pasti akan dimasuki air.

Sementara itu, Ahmad Nazlan ketika ditanya Utusan Malaysia memberitahu, beliau akan cuba sedaya upaya membantu dua keluarga terbabit.

"Saya memang terkejut dengan keadaan dua keluarga ini. Jangan tanya mana silapnya. Tetapi sekarang yang penting kita cuba membantu mereka sedaya mungkin.

"Harapan saya, semua pihak harus sama-sama membantu keluarga ini,'' katanya yang begitu tersentuh apabila melihat kehidupan dua keluarga berkenaan.

Orang ramai yang berhasrat membantu dan menghulurkan bantuan kepada dua keluarga terbabit boleh menghubungi pembantu peribadi Ahmad Nazlan iaitu Ahmad Nizam Mohd. Hassan melalui talian 013-9231053.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved