Selasa, 23 Julai 2013

Utusan Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pemotoran


Toyota Camry dipertingkatkan

Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

CAMRY versi 2013 sebenarnya tiada perubahan daripada segi luaran kerana penambahbaikan ditumpukan pada bahagian dalaman.

KERETA eksekutif sedan paling popular di Malaysia sejak enam tahun ini, Toyota Camry telah menyaksikan penambahbaikan terbaharunya tahun ini. Generasi Camry yang dipasang tempatan dilancarkan di negara ini tahun lalu.

Terdapat tiga varian Toyota Camry yang dijual iaitu 2.5V, 2.0G dan 2.0E dengan empat warna untuk dipilih iaitu Attitude Black, Silver Metallic, Medium Silver Metallic dan White Pearl CS.

Versi 2013 sebenarnya tiada perubahan daripada segi luaran kerana penambahbaikan ditumpukan pada bahagian dalaman. Maka versi 2013 mengekalkan semua kekuatan model ini yang menyebabkan ia pilihan popular dalam kelasnya.

Camry dikenali kerana reka bentuknya yang disifatkan memiliki imej premium; keselesaan kelancaran pemanduan dan kesenyapan, dan tentunya jenama Toyota yang dipercayai ramai.

Sebagaimana dengan kesemua produk dan perkhidmatan lain, Toyota sentiasa memenuhi jangkaan pelanggan. Dalam konteks Camry ini, maklum balas daripada pelanggan dikaji secara teliti bagi mengenal pasti keperluan mereka dan kawasan-kawasan yang perlu ditambah baik.

Toyota juga mementingkan aspek keselamatan. Dengan struktur badan yang teguh. Sistem gantungan depan yang dikemaskini, sistem gantungan belakang direka semula dan aerodinamik membantu menjadikan generasi terbaharu Camry dalam kedudukan stabil. Struktur badan direka untuk membantu menyerap kesan impak pelanggaran dan membantu meminimumkan kesan impak terhadap penumpang.

Besi berkekuatan tinggi diguna sebagai tiang B dan panel yang diperteguhkan bagi membantu menguruskan keseluruhan pecahan badan jika berlaku perlanggaran di bahagian tepi badan kereta. Kerangka kerusi juga direka khas bagi membantu menyerap kesan pelanggaran.

Satu ciri penambahbaikan yang dimaksudkan ialah pemasangan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC) pada varian 2.0G dan paling tinggi 2.5V tetapi model asas 2.0E terus tidak akan memilikinya.

VSC adalah istilah khas Toyota untuk sistem kawalan kestabilan elektronik. Secara asasnya, sistem ini pada awal ciptaannya menggunakan sensor dan membrek bagi membantu menstabilkan kereta anda dalam situasi di mana anda lazimnya terbabas.

Bagi penulis pemotoran, kami menyarankan anda meneliti ciri keselamatan ini. Wajib ada semasa mahu membeli sesebuah kereta. Jangan terlalu terdorong oleh rupa bentuk semata-mata. Pastikan ada sistem kestabilan kenderaan kerana ia banyak memberi manfaat kepada pemilik.

Satu ciri baharu yang merupakan gerak tindak jurutera Toyota hasil daripada maklum balas pelanggan ialah kesemua varian Camry memiliki alat penyambungan ISOFIC pada kerusi belakang untuk memudahkan kerusi bayi dipasang dengan mudah dan selamat.

Sementara reka bentuk luaran tidak diusik, ruang dalaman Camry 2.5V kini menggunakan warna hitam berbanding beige. Ruang dalaman hitam juga diguna pada Camry 2.0G tetapi Camry 2.0E kekal dengan warna beige.

Sarung kulit pada 2.5V dan 2.0G telah ditambah baik bagi memberikan rasa kemewahan. Pemilik Camry 2.0G kini menikmati kemudahan keluar masuk kenderaan mudah menerusi Sistem Masuk dan Nyala Pintar yang selama ini hanya ada pada Camry 2.5V.

Sama seperti sebelum ini, pelanggan boleh menempah Camry dengan aerokit yang direka khas bagi memberi rupa lebih sporty. Terdapat juga Toyota Premium Security and Solar Film yang memberikan kesejukan dalam kabin kereta.

Daripada aspek hiburan, Camry 2013 ini dipasang dengan sistem canggih DVD Audio Video Navigation (AVN) yang ditawarkan secara opsyen dan pemasangan dilakukan oleh kakitangan terlatih di pusat aksesori UMW Toyota Motor. Sistem ini memaparkan reka bentuk baharu dengan paparan sentuh 7-inci dan juga boleh beroperasi dengan arahan suara.

Toyota Camry 2.5V ditawarkan pada harga sama dengan model sebelum ini iaitu RM180,917.10 sementara Camry 2.0G naik RM1,000 iaitu RM158,915.30 dan

Camry 2.0E kekal pada RM149,915.30 (semua harga atas jalan dengan insurans).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved