Selasa, 23 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


2 remaja Orang Asli maut motosikal terbabit nahas

Posted: 23 Jul 2013 10:52 PM PDT

KUANTAN 24 Julai - Dua remaja Orang Asli terbunuh selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Km 146.1 Jalan Kuantan-Johor Baharu dekat Rompin malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim, nahas berlaku pukul 11.55 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Johor Baharu menghala ke Kuantan.

"Di tempat kejadian dipercayai Kie a/l Lee, 18, yang menunggang motosikal jenis Yamaha itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta tersebut.

"Akibat itu, mangsa dan rakannya, Ahwan a/l Sita, 15, masing-masing dari Perkampungan Orang Asli Batu 3 Jalan Sabak, Rompin mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala, tangan, kaki dan badan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, pemandu kereta jenis Proton Wira berkenaan, Sit Man Hang, 40, seorang peniaga berasal dari Kampung Chamang, Bentong hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja terbabit tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu yang sah semasa kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Bayi lelaki ditinggalkan di surau hospital

Posted: 23 Jul 2013 10:49 PM PDT

Oleh ANI AWANG

BUKIT MERTAJAM 24 Julai - Seorang bayi lelaki yang berusia kira-kira tiga bulan ditemui ditinggalkan di depan surau Hospital Seberang Jaya di sini semalam.

Bayi itu ditemui oleh orang awam yang menunaikan solat Asar di surau tersebut kira-kira pukul 4.35 petang.

Jurucakap polis berkata, bayi seberat lima kilogram itu dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu.

Katanya, bayi itu dibalut dengan selimut dan turut ditinggalkan bersama susu, tuala dan baju.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd. Lah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

Menurutnya, bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat dan menerima rawatan di hospital.

"Bayi itu berada dalam keadaan sihat, siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu yang membuang bayi terbabit," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved