Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pelakon 80-an Putri Salbiah dituduh menipu

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

KUALA LUMPUR 11 Julai - Pelakon era 80-an, Putri Salbiah Megat Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berhubung pembelian empat lot tanah dan memalsukan dokumen, tiga tahun lalu.

Putri Salbiah, 49, kelihatan tenang ketika keenam-enam pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Dia yang pernah membintangi filem Ranjau Sepanjang Jalan dan Keluarga 99 itu didakwa atas empat pertuduhan menipu peguam, Ng Miow Hia dengan memperkenalkan Maajis Senan, 69, sebagai Ahmad SK. Duis dan Yang Azizah Mohamed Yaacob, 72, sebagai Sipah Duis @ Sipak Duez.

Ahmad dan Sipah adalah pemilik sebenar tanah di Lot 1230, 1231, 1232 dan 1233 di Mukim Rim, Jasin, Melaka.

Putri Salbiah didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Burger King, Tingkat Bawah Bangunan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di sini antara pukul 10.45 pagi, 1 April 2010 dan pukul 11 pagi, 23 Jun 2010.

Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Putri Salbiah didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memalsukan kad pengenalan atas nama Ahmad dan Sipah sebagai pengenalan bagi Maajis dan Yang Azizah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(j) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh menjadikan kesemuanya berjumlah RM30,000.

Menurut beliau, jumlah itu munasabah memandangkan tertuduh tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis dan ditangkap di Brunei dengan kerjasama pihak berkuasa negara itu sebelum dibawa ke Miri, Sarawak untuk direman.

Sementara itu, peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 bagi semua tuduhan kerana anak guamnya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi.

Beliau berkata, anak guamnya menjaga bapanya yang sakit di Brunei dan beliau akan memastikan tertuduh hadir pada setiap prosiding dan perbicaraan di mahkamah.

Ahmad Zamzani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi kesemua tuduhan dan menetapkan pengurusan kes pada 16 Ogos depan.

Dua didakwa bunuh pemandu lori

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

KUANTAN 11 Julai - Akibat perselisihan faham, dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu lori di kawasan lapang berhampiran stesen minyak Shell Kuantan Bypass dekat Kampung Chendering, hujung bulan lalu.

Khairul Jasmi Abdul Majid, 33, dan Mohd. Amir Adzhar Hassan, 29, didakwa membunuh Mohd. Zainuddin Mohd. Yusoff, 42, antara pukul 12 dan 12.20 tengah hari, 27 Jun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Ogos ini bagi mendapatkan laporan kimia dan membolehkan tertuduh-tertuduh melantik peguam bela.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, Mohd Zainuddin ditemukan oleh beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved