Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rindu si kecil

Posted: 24 Jul 2013 10:45 PM PDT

SHAH (bukan nama sebenar), 10, mengakui amat merindui kehadiran ibunya sejak ibunya ditahan dan kini sedang menjalani program pemulihan dadah di sebuah pusat pemulihan dadah.

Sudahlah ibu tiada, lebih malang lagi sejak dua tahun lepas, ayahnya telah menghilangkan diri tanpa khabar berita menyebabkan kehidupan adik-beradik ini tidak terbela.

"Tak seronoklah ibu tidak ada waktu raya nanti. Nanti kami nak beraya dengan siapa?" kata Shah perlahan sambil tangan menguis tanah dengan ranting kayu apabila ditanya perasaannya menyambut raya tanpa ibu di sisi.

Mujur cuma sebentar menungannya. Selepas itu Shah aktif kembali bermain bersama rakan-rakan kejiranannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Kesedihan Shah dan adik-adiknya itu turut dikongsi oleh ibu saudara mereka, Noris, 60, (bukan nama sebenar) yang kini dipertanggungjawabkan menjaga empat adik-beradik berkenaan yang berumur 10, 4, dan si kembar berusia tiga tahun.

Noris memberitahu, empat lagi adik-beradik berkenaan dijaga oleh ibu-ibu saudara lain iaitu yang berumur, 17, 16, 14 dan sembilan tahun.

Bukan sahaja Shah, malah adik-beradiknya yang lain juga kerap kali bertanya kepada Norisah mengenai ketiadaan ibu mereka dan adakah dia akan beraya bersama mereka nanti.

"Shah adalah anak yang paling tersentuh hatinya berbanding adik-beradik lain. Selain paling manja dengan ibunya, Shah juga sudah mula memahami apa yang berlaku terhadap ibunya. Sementara adik-adik lain masih kecil dan tidak faham apa yang berlaku.

"Sehinggakan adiknya yang berumur empat tahun, Adam (bukan nama sebenar), apabila ditanya di manakah ibu mereka, selalunya mereka sendiri akan menjawab ibu balik kampung, tanpa diajar oleh sesiapa," kata Noris.

Jelas Noris, biarpun keadaan adik-beradik itu agak terumbang-ambing kerana keadaan keluarga serta kehidupan ibu dan ayah mereka, setidak-tidaknya mereka masih merasai nikmat kasih sayang seorang ibu.

"Anak-anak ini telah lama menanti kepulangan ayah mereka. Dari sehari ke sehari, sehinggakan akhirnya mereka berhenti bertanya di manakah ayah mereka.

"Kini apabila ibu mereka menjalani rawatan pemulihan, anak-anak ini pastinya akan terasa kehilangan terutama menjelang Syawal nanti. Hampir setiap malam, anak-anak ini akan menangis merindui kehadiran ibu mereka," katanya.

Begitupun katanya, sebagaimana hari-hari biasa, dia akan cuba membuatkan anak-anak itu rasa gembira dan akan membawa mereka bertemu dengan ibu mereka apabila dibenarkan.

Kanak-kanak itu katanya, sentiasa hidup dalam belenggu kesusahan. Satu persatu masalah datang dalam keluarga mereka dan kini terpaksa pula hidup sendiri.

"Bagi saya, biarlah anak-anak ini berpisah daripada ibu mereka dahulu demi kebaikan mereka juga. Lagipun ibu mereka juga rela untuk menjalani rawatan demi memastikan anak-anaknya terbela di kemudian hari," katanya.

Jelas Noris, tiada siapa yang kebal daripada melakukan kesilapan. Namun kekhilafan itu bakal ditebus oleh ibu mereka dengan cuba memperbaiki diri serta memulihkan diri daripada masalah ketagihan yang semakin membelenggu.

Apa yang menjadi masalah jelas Noris, bagaimana untuk membuatkan anak-anak itu gembira ketika raya nanti.

Niat di hati ingin membeli sepasang dua baju raya untuk mereka. Namun memandangkan dia juga tidak bekerja dan hanya mengharapkan pemberian daripada anak-anaknya, Noris jelas tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

"Pada hari-hari biasa, apa sahaja yang ada saya masak, mereka akan makan, tanpa banyak kerenah. Shah akan ke sekolah dan balik pada petang hari.

"Menjelang raya yang tidak berapa lama lagi, pastinya mereka juga berkehendakkan baju-baju baru dan sambutan raya dengan kuih-muih. Namun tidak tahulah sama ada ia tercapai atau dapat memuaskan hati mereka," katanya.

Kepada yang mahu menyumbang bantuan kepada adik-beradik ini boleh menghubungi talian 017-3631620 (Afidah) untuk maklumat lanjut. - ROSMAH DAIN

Aksesori anak rekaan ibu bapa

Posted: 24 Jul 2013 10:45 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Tetamu selebriti hadir bersama anak masing-masing.

lazimnya hanya ibu bapa sahaja yang memahami dan mengetahui kehendak serta cita rasa anak-anak mereka.

Daripada pakaian hingga kepada barang keperluan, aksesori dan mainan anak-anak dipilih berdasarkan minat dan cita rasa mereka.

Justeru, langkah yang dibuat oleh Bloom & Grow (B&G) Baby and Maternity Distribution (M) Sdn Bhd., memberi peluang kepada ibu bapa untuk mereka sendiri barangan dan aksesori kanak-kanak merupakan sesuatu yang bijak.

Menurut Pengurus Negara (Malaysia) B & G Baby and Maternity Distribution (M) Sdn Bhd., Jonathan Horsley, kebanyakan daripada produk B & G direka oleh golongan ibu bapa yang sukar memperoleh aksesori menyamai standard atau jangkaan mereka.

Horsley yang ditemui pada majlis pelancaran katalog B & G di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini menambah, sebagai ibu bapa mereka lebih tahu apa yang dikehendaki oleh anak-anak.

"Kami memilih rangkaian produk yang terbaik, paling selamat, memenangi pelbagai anugerah dan praktikal untuk pilihan ibu bapa.

"Kami tampilkan rangkaian penuh peralatan bayi seperti set hidangan, beg bayi dan aksesori, alatan permainan dan pembelajaran, alat mendukung, aksesori mandian, alat bantuan tidur yang selamat, botol susu dan sebagainya,

"Kami mengedarkan item-item pilihan khusus ini di pelbagai rangkaian kedai aksesori bayi dan ibu serta gedung beli-belah terkemuka seluruh negara serta laman beli-belah dalam talian.

"Alat bantuan hidangan, kerusi tinggi kanak-kanak, kaca mata hitam perlindungan UV, alat permainan yang unik, beg sekolah comel, bagasi yang boleh ditunggangi, ponco renang, lampin mesra alam dan abah-abah kerusi antara item yang pastinya akan memberi kegembiraan kepada anak dan ibu bapa,'' ujar Horsley.

Membuat penampilan sulung pada majlis pelancaran katalog Musim Bunga/Panas 2013 ini adalah rangkaian kaca mata hitam Squids, Totseat dan Label-Label.

Sementara itu, sekumpulan anak-anak kecil yang berusia daripada satu tahun menggayakan koleksi terkini aksesori bayi dan ibu bapa daripada rangkaian komprehensif musim bunga/panas ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran katalog B & G ini ialah pelawak tempatan Harith Iskandar bersama-sama isterinya Jezamine Lim dan anak mereka, Zander, 15 bulan, pembaca berita televisyen Sheahnee Lee Iman bersama anaknya Iman dan pelakon Sharifah Sofia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved