Khamis, 25 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kerajaan negeri digesa wartakan fatwa anti-Syiah

Posted: 25 Jul 2013 02:29 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Julai - Mana-mana kerajaan negeri yang belum mewartakan fatwa anti-Syiah diminta segera berbuat demikian dalam usaha membanteras penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata walaupun fatwa itu telah diwartakan di peringkat kebangsaan, namun kerajaan negeri perlu mewartakannya di peringkat negeri masing-masing supaya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

"Seperti sedia maklum, hal ehwal agama terpulang pada kuasa negeri dan (pentadbir) negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama masing-masing dan menggazetkan fatwa ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic (MIB) serta penyerahan sumbangan Sahabat Korporat Tabung Haji di sini hari ini.

Jamil Khir menegaskan penyebaran amalan lain kepada umat Islam yang telah mempunyai pegangan seperti Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.

"Walaupun di negara ini (penganut) agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing, namun perbuatan mengembangkan fahaman lain kepada masyarakat Islam yang telah mempunyai pegangan adalah salah," katanya.

Kementerian Dalam Negeri telah mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri itu akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu di negeri berkenaan.

Mengenai permohonan rayuan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung pengurangan kuota haji Malaysia 20 peratus tahun ini, Jamil Khir berkata pihaknya masih menunggu jawapan mengenai perkara itu.

"Rayuan telah dibuat, namun jawapan mungkin diperoleh di saat-saat akhir," katanya. - BERNAMA

Jerebu: Kualiti udara di Seberang Jaya makin baik

Posted: 25 Jul 2013 02:14 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kualiti udara di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat tengah hari ini, turun ke paras sederhana di sebelah petang.

Laporan laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan IPU di Seberang Jaya pada pukul 4 petang ini berapa pada paras 100 iaitu di tahap sederhana berbanding 101 dan 102 antara pukul 12 hingga 2 petang ini.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Sekolah Kebangsaan (SK) Pegoh, Ipoh mencatatkan bacaan di paras tidak sihat. Lain-lain kawasan menunjukkan bacaan sederhana dan sihat.

Berikut bacaan IPU di beberapa kawasan di seluruh negara:

Tidak sihat (101-200):

1. SK Pegoh, Ipoh - 106

Sederhana (51-100):

1. Seberang Jaya - 100

2. Perai - 93

3. Seri Manjung - 92

- UTUSAN ONLINE

Peserta ratu cantik pertikai fatwa boleh dikena tindakan

Posted: 25 Jul 2013 01:34 AM PDT

PEKAN 25 Julai - Empat orang gadis Islam yang mempertikai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik boleh dikena tindakan di Mahkamah Syariah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata jika mereka nekad dengan keputusan untuk terus menyertai pertandingan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang syariah.

"Ini kerana jika sesuatu perkara itu telah difatwakan, ia telah menjadi satu undang-undang syariah, dan pihak yang melanggar undang-undang tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 165 Enakmen Kanun Tatacara Jenayah Syariah kerana menghina Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan kepada pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang di sini hari ini.

Empat gadis tersebut yang berumur antara 19 hingga 23 tahun bukan sahaja mempertikai larangan tersebut malah terus nekad menyertai pertandingan itu walaupun nama mereka digugurkan pihak penganjur.

Berhubung isu Syiah, Wan Abdul Wahid berkata mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyebaran fahaman itu atau mengajar ilmu agama tanpa tauliah di negeri ini, mereka boleh dikenakan hukuman denda atau penjara jika didapati bersalah.

"Setakat ini belum ada sebarang aktiviti penyebaran ajaran Syiah di negeri ini. Jika ada pun ia adalah kes terpencil dan dibawa oleh pihak luar. Muip bagaimanapun akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved