Isnin, 22 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


49 mangsa ribut terima bantuan

Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Wee Jeck Seng (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut, Abd. Karim Makpol di Pekan Nanas, Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 21 Julai - Seramai 49 mangsa ribut di kawasan Pekan Nanas pada 26 Jun lalu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada 19 mangsa yang berdaftar dengan JKM melibatkan bantuan sebanyak RM6,100, manakala 30 lagi menerima bantuan daripada Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai berjumlah RM9,284.

Antara kawasan yang terlibat dengan kejadian itu ialah Kampung Batu 30, Pengkalan Raja, Lorong Warisan, Taman Impian serta beberapa kawasan di bandar Pekan Nanas.

Majlis penyampaian sumbangan telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Tanjung Piai, Taman Utama pagi ini.

Antara penerima ialah Lee Kiam Chai, 63, yang rumahnya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 yang mengalami kerosakan pada atap asbestos, siling dan genting yang memerlukan baik pulih dengan segera.

Beliau menerima sumbangan sebanyak RM400 iaitu RM200 daripada JKM dan Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Seorang lagi mangsa ialah Abd. Karim Makpol, 37, dari Taman Impian yang rumahnya mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan siling akibat diterbangkan angin.

"Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana bekerja, begitu juga dengan isteri. Mujur rumah kami tidak mengalami kerosakan yang teruk," katanya yang menerima bantuan sebanyak RM500.

Tiga masjid baharu dibina di DUN Kukup

Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT

PONTIAN 21 Julai - Tiga buah masjid baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada tahun ini iaitu dua daripadanya di bawah pembiayaan kerajaan negeri manakala satu lagi oleh syarikat korporat terkemuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, masjid yang akan dibina di Kampung Sungai Durian dan Kampung Sungai Boh masing-masing menelan kos RM1.5 juta manakala masjid di Kampung Sungai Dinar oleh pemilik stesen janakuasa arang batu di Tanjung Bin, Malakoff Berhad pula bernilai RM2 juta.

"Pembinaan tiga buah masjid pada tahun ini, diharap dapat memenuhi permintaan penduduk sekali gus menunaikan janji pilihan raya. Kami juga berharap kerajaan negeri melihat permohonan masjid baharu bagi Kampung Tenggayun sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Saya harap dengan kemudahan yang serba indah dan lengkap akan menjadi dorongan serta galakan kepada umat Islam meningkatkan keimanan serta ketakwaan pada bulan yang mulia ini," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan kenduri sekampung di Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali, Serkat, di sini semalam.

Parlimen Tanjung Piai termasuk DUN Kukup mempunyai 37 buah masjid dan 28 buah surau.

Menyentuh mengenai program bersama rakyat dalam bulan Ramadan, Suhaimi yang merupakan wakil rakyat Kukup berkata, beliau akan mengadakan lawatan bersama Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon ke 10 buah masjid dan surau untuk berbuka puasa dan bertarawih.

Menurutnya, kawasan yang terlibat adalah di mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Serkat, Sungai Karang, Air Masin, Telok Kerang dan Rimba Terjun dalam siri lawatan untuk mengenali jentera pentadbiran di peringkat akar umbi seperti penghulu, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau serta ketua-ketua cawangan.

"Saya berharap akan mendapat gambaran sebenar mengenai keperluan serta masalah penduduk untuk dimajukan kepada pihak berkenaan. Tumpuan bukan sahaja kepada kemudahan asas tetapi beberapa perkara lain seperti pendidikan, belia, ekonomi, kesihatan penduduk, kemiskinan," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved