Jumaat, 19 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Bekalan ayam daging cukup

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 18 Julai - Bekalan ayam pedaging di negeri ini dijangka cukup untuk menampung permintaan 3.4 juta penduduk sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi memandangkan pengeluaran tahunan dianggarkan 243 juta ekor ayam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, keyakinan tersebut adalah disebabkan pengeluaran itu melebihi permintaan penduduk negeri ini yang hanya memerlukan 60 juta ekor ayam.

"Negeri ini juga tidak mengimport ayam dari mana-mana negara secara langsung, namun sesetengah produk berasaskan daging ayam seperti burger yang diproses oleh pengilang mendapat kebenaran pengimportan menerusi rantaian pasaran.

"Justeru, saya yakin bekalan tersebut mampu memenuhi permintaan daging ayam untuk penduduk negeri ini, selain terdapat lebihan yang boleh dieksport ke Singapura dan negeri-negeri lain dalam negara ini," katanya selepas melakukan pemantauan di Bazar Ramadan Taman Suria di sini semalam.

Yang turut sama menemani Siew Kiong ialah Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PPDNKK) negeri, Ayub Abdul Rahman dan Ketua Penguat Kuasa PPDNKK, Rosle A. Hamid.

Beliau menambah, Johor mempunyai 838 buah ladang ayam yang dijamin mampu membekalkan ayam pedaging secara berterusan dan pengguna tidak perlu bimbang tentang isu keputusan bekalan.

Sementara itu, mengulas tentang harga ayam pula, beliau menjelaskan bahawa bekalan ayam yang mencukupi tidak akan membuatkan harga bahan mentah itu melambung tinggi.

"Harga yang diletakkan oleh pembekal dan peniaga masih dalam kawalan iaitu antara RM8.40 hingga RM8.70 dan jika ada berlaku kenaikan yang melebihi harga kawalan, tindakan sewajarnya akan diambil," tambahnya.

1,000 persatuan belia akan disaring

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

BATU PAHAT 18 Julai - Jabatan Belia dan Sukan negeri akan menjalankan saringan terhadap 1,000 persatuan dan pertubuhan belia di negeri ini bagi mengenal pasti tahap keaktifan persatuan itu sebelum menyalurkan sumbangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, jabatan itu terpaksa melakukan saringan semula terhadap pertubuhan belia kerana tidak mahu sumbangan yang disalurkan menjadi sia-sia tanpa sebarang faedah, gara-gara wujudnya persatuan yang tidak lagi aktif.

Menurutnya, kerajaan ketika ini mempunyai hasrat yang tinggi untuk mengaktifkan semula pertubuhan belia yang dilihat semakin 'layu' dengan menyalurkan sumbangan supaya pelbagai aktiviti dapat dijalankan.

"Jumlah bantuan yang bakal diterima sesebuah persatuan atau pertubuhan itu bergantung kepada program hendak dilaksana, selain itu kerajaan akan turut mengambil kira bilangan ahli dan sejarah program yang dilakukan.

"Bagaimanapun, bantuan itu akan disalurkan selepas Jabatan Belia dan Sukan negeri menyaring dan menyenaraikan persatuan belia yang aktif sahaja kerana kerajaan mahu peruntukan tersebut sampai kepada belia di peringkat akar umbi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, proses saringan tersebut juga selaras dengan saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin yang mahu setiap ahli persatuan dan pertubuhan belia terlibat secara langsung dalam usaha memacu pembangunan negeri.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan kerjasama setiap pejabat Belia dan Sukan daerah untuk mengenal pasti persatuan atau pertubuhan berkenaan.

"Bagi persatuan yang tidak menjalankan sebarang aktiviti sebelum ini kerana masalah kewangan, diminta mula bergerak dengan aktiviti kecil-kecilan atau secara kesukarelaan.

"Dengan cara ini, mungkin dapat membantu persatuan belia tersebut untuk kembali aktif dan menerima peruntukan daripada kerajaan bagi menjalankan aktiviti atau program yang lebih besar," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved