Jumaat, 19 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Hujan batu di Bandar Seri Alam

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
pengarang@utusan.com.my

ORANG ramai melihat kerosakan yang berlaku akibat dihempap bongkah-bongkah batu yang berterbangan dari sebuah kuari berhampiran di Jalan Bukit 2, Bandar Seri Alam, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 19 Julai - Suasana di Jalan Bukit 2, Bandar Seri Alam dekat sini, umpama 'hujan batu' apabila ketulan dan bongkah batu sehingga sebesar kereta berterbangan di udara petang ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu menyebabkan suasana kelam-kabut apabila pekerja beberapa kilang berhampiran bertempiaran lari menyelamatkan diri daripada dihempap bongkah batu yang berterbangan ekoran kerja-kerja meletupkan batu di sebuah tapak kuari yang terletak di atas sebuah bukit.

Lebih malang, seorang pekerja kilang warga Nepal maut manakala 10 lagi mengalami kecederaan selepas terkena serpihan batu yang terpelanting akibat letupan kuat itu.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Rizal Buang berkata, kejadian itu turut memusnahkan sebuah substesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala 18 kenderaan dan 14 kilang di kawasan berhampiran turut mengalami kerosakan teruk.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 1.14 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam masa 30 minit dengan kekuatan 37 anggota dibantu 16 anggota polis serta dua kakitangan TNB.

"Insiden ini berpunca daripada letupan kuat di kawasan kuari berhampiran dan serpihan batu itu kemudiannya terpelanting dalam jarak lingkungan satu kilometer.

"Dalam kejadian ini, pekerja Nepal berusia dalam lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena serpihan batu, manakala 10 orang yang lain turut mengalami kecederaan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat kemudiannya dihentikan selepas mendapati kawasan berkenaan bebas daripada sebarang ancaman dan kerja-kerja syarikat kuari berkenaan turut dihentikan serta-merta.

Sementara itu, seorang pekerja kilang di kawasan itu, Sahwanda Sunoto, 24, berkata, ketika kejadian dia sedang menjalankan kerja-kerja rutin di bahagian pentadbiran sebelum terdengar bunyi gegaran yang kuat.

Katanya, ketika letupan pertama dia masih meneruskan kerjanya sebelum kedengaran bunyi letupan dan disusuli gegaran yang lebih kuat sebelum menyelamatkan diri ke bahagian bawah kilang kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada waktu itu.

"Apabila saya turun, dua batu bersaiz besar menembusi bahagian siling dan menghempap kerusi serta meja kerja saya. Saya sangat bernasib baik kerana sempat turun, kalau tidak saya sudah meninggal dunia," katanya.

Seorang lagi pekerja, Mohd. Zaidi Chik, 36, memberitahu, sebelum kejadian, dia berada di kawasan luar kilang sedang berehat sebelum terdengar letupan sebanyak dua kali dan bunyi kali kedua lebih kuat berbanding sebelumnya.

"Selepas letupan kali kedua itu, saya nampak batu-batu berterbangan di langit sebelum jatuh ke bumi seperti hujan batu. Kejadian itu menyebabkan empat pekerja lain yang berada di luar mengalami kecederaan di bahagian kepala, kaki dan anggota badan lain.

"Saya kemudiannya terus melarikan diri ke dalam kawasan bangunan bagi mengelakkan diri terkena serpihan batu-batu yang berterbangan itu," katanya.

Budak 3 tahun tertinggal dalam kereta maut

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

SUBANG JAYA 19 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut akibat lemas setelah ditinggalkan selama enam jam dalam kereta oleh ibunya di sebuah sekolah di USJ4 di sini semalam.

Kanak-kanak malang itu, Nawal Iris Samsudin ditemui ibunya, Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan dan kaku pada pukul 5.30 petang sebelum dibawa ke klinik berhampiran tetapi disahkan sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ibu mangsa yang merupakan seorang guru meninggalkan anaknya itu di kerusi belakang kereta dari pukul 11 pagi kerana tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat di sekolahnya.

Beliau berkata, sebelum kejadian, wanita terbabit telah membawa anaknya bersama untuk menghantar adik perempuannya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

"Ibu kanak-kanak itu kemudian bergegas ke sekolah untuk menghadiri mesyuarat tanpa menyedari anaknya tertinggal dalam kereta.

"Ini kerana pada hari biasa, mangsa dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak tetapi dua hari kebelakangan ini, kanak-kanak itu dijaga oleh adik perempuannya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan.

Beliau berkata, ibu mangsa yang mengajar sesi petang di sekolah itu hanya menyedari tragedi menimpa anaknya apabila mahu pulang pada pukul 5.30 petang.

Mayat mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21 hari ini.

Sementera itu, Thaiveegan berkata, insiden tersebut menyebabkan ibu mangsa trauma dan polis masih menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.

"Buat masa ini, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti jika wujud unsur kecuaian dalam kes ini," katanya.

Dalam pada itu, keluarga mangsa yang ditemui di Hospital Serdang enggan ditemu bual oleh wartawan kerana terlalu sedih dan trauma dengan kejadian itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved