Sabtu, 20 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Masyarakat diminta salurkan maklumat mengenai Syiah

Posted: 19 Jul 2013 11:20 PM PDT

JERLUN 20 Julai - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menggesa masyarakat Islam negeri ini memainkan peranan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan Syiah di kawasan mereka dalam usaha mengekang penularan ajaran itu.

Katanya, maklumat termasuk berkaitan aktiviti pengikut ajaran itu boleh disalurkan kepada pemimpin setempat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mahupun beliau sendiri.

"Saya sendiri sedia menerima sebarang maklumat berhubung Syiah ini. Jika ada anggota masyarakat yang mendapat maklumat atau menyaksikan aktiviti Syiah ini laporkan segera.

"Kerajaan negeri memandang serius ajaran Syiah ini dan akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan akidah umat Islam di negeri ini,'' katanya di majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Kubang Sepat Ayer Hitam di sini hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam berkata, beliau menerima laporan tentang pengikut ajaran tersebut yang kini bertapak di Jitra yang bersempadan dengan kawasan itu.

"Sebagai wakil rakyat kawasan ini saya juga bimbang ajaran Syiah ini akan menular ke kawasan ini. Kita akan berusaha mengekangnya dan memerlukan bantuan anggota masyarakat juga,'' katanya.

Kelmarin Mukhriz membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan sekatan penyebaran syiah mengikut jejak langkah beberapa negeri lain dalam usaha membendung penularan ajarannya dalam kalangan penduduk negeri itu.

Katanya, tindakan itu dianggap tepat dalam usaha membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam. - UTUSAN ONLINE

Haram bagi wanita Islam sertai ratu cantik - Mufti

Posted: 19 Jul 2013 08:31 PM PDT

KUALA LUMPUR 20 Julai - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengulangi gesaan agar wanita Islam tidak menyertai pertandingan ratu cantik kerana perbuatan itu adalah haram dan berdosa.

Beliau berkata fatwa berhubung perkara itu telah diwartakan pada 8 Feb 1996 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.

"Justeru itu pihak penguat kuasa diminta agar melaksanakan undang-undang sepertimana yang diwartakan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas berhubung laporan akhbar semalam bahawa empat gadis Islam adalah antara 20 peserta yang terpilih sebagai finalis pertandingan Miss Malaysia World 2013 pada 2 Ogos depan.

Pemilihan finalis dibuat dalam satu sesi temuduga tertutup pada 12 Julai lepas dan majlis memperkenalkan mereka diadakan baru-baru ini. - BERNAMA

Majlis Fatwa haramkan shisha

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Julai - Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa shisha adalah haram.

Berikutan itu, Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan tersebut serta sebarang aktiviti yang berkaitan dengannya.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan termasuk meneliti maklumat serta bukti perubatan mengenai mudarat akibat shisha.

"Muzakarah khas yang bersidang pada Rabu lalu telah membincangkan isu shisha dan mendapati bahawa semua dapatan saintifik menerusi pelbagai kajian komprehensif sama ada di peringkat negara mahu pun antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan yang amat merbahaya dan penularannya membimbangkan khususnya dalam kalangan remaja serta wanita.

"Setelah meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan saintifik mengenai kesan kemudaratan besar akibat menghisap shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi termasuklah pembentukan generasi akan datang, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah membincangkan isu pengharaman shisha sejak 2011 tetapi menangguhkan keputusan mengenainya sehingga data-data lebih kukuh dan menjurus kepada situasi mutakhir berlaku di Malaysia dapat dibuktikan.

Baru-baru ini pula, isu pengharaman shisha dibangkitkan semula apabila Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Pengumuman fatwa itu turut mendapat perhatian kerajaan negeri Perak apabila menimbang kemungkinan mengikuti jejak Perlis selain Melaka yang terlebih dahulu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan hadis.

Katanya, pengharaman shisha juga adalah berlandaskan kaedah fiqhiah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam maqasid syariah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara.

"Pengharaman shisha juga adalah kerana jelas memudaratkan kesihatan, membazir serta mensia-siakan masa dan harta selain dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji yang perlu dihindari semua umat Islam," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved